Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa pihak
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
(MESTECC) untuk meneliti dengan cermat rumusan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian
Operasi Lynas Advanced Material Plant (LAMP) 2018 yang telah diterbitkan supaya
keputusan yang diambil oleh kerajaan berobjektif dan adil untuk semua pihak.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan, dalam
kenyataannya mengatakan, berdasarkan rumusan Jawatankuasa Eksekutif (Bahagian
8), LAMP merupakan kilang kimia yang menghasilkan nadir bumi dan bukannya loji
nuklear atau aktiviti perlombongan.
Kenyataan yang dipetik daripada laman sosial
facebooknya menyebut, LAMP berisiko rendah tetapi tetap perlu mengambil
pendekatan prinsip awasan dan pengurusan risiko bagi memastikan rakyat dan alam
sekitar terpelihara.
“Dalam hal ini, terdapat tiga perkara pokok yang perlu
diberikan perhatian daripada laporan jawatankuasa eksekutif tersebut: pertama,
pematuhan LAMP terhadap standard keselamatan, kesihatan serta alam sekitar
mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia.
“Kedua, pengurusan sisa radioaktif dan bahan buangan
terjadual yang dihasilkan oleh LAMP. Ketiga, tahap impak kesihatan manusia dan
alam sekitar bagi setiap aktiviti yang dijalankan di tapak premis LAMP.”
Tambahnya, berdasarkan laporan tersebut, LAMP
disifatkan: pertama, telah mematuhi piawaian ditetapkan, masih berada pada
tahap selamat, tidak bercanggah dengan mana-mana akta dan memenuhi pra syarat
yang telah ditetapkan.
“Pihak LAMP telah disaran dengan pelbagai syor daripada
pihak jawatankuasa eksekutif terutama yang melibatkan prosedur pengurusan sisa
buangan (residu) Water Leached Purification Residue (WLP), Nuetralization
Underflow Residue (NUF) dan penemuan beberapa logam berat seperti nikel,
plumbum dan merkuri.
“Walau bagaimanapun timbul konflik antara LAMP dan
pihak MESTECC sepertimana yang dilaporkan oleh The Financial Daily hari ini (6
Disember) bertajuk ‘Lynas slams ministry’s decision as policy based on
politics’.
“Tindakan kementerian meminta residu dihantar ke luar
negara atau balik semula ke Australia adalah tidak konsisten dengan syor
daripada pihak jawatankuasa eksekutif yang meminta LAMP untuk mengenal pasti
lokasi dan membina fasiliti pelupusan kekal (PDF) terlebih dahulu bagi residu
WLP.”
Nasrudin mengatakan, sekiranya lokasi PDF tidak
diluluskan, barulah pihak LAMP membawa keluar residu WLP tersebut.
“Oleh sebab itu, PAS mengharapkan agar pihak MESTECC
bertindak lebih objektif dan adil supaya syor-syor dari pihak jawatankuasa
eksekutif yang tidak berkepentingan politik dipenuhi secara adil dan
menguntungkan semua pihak.”
No comments:
Post a Comment