Wednesday, May 9, 2012

Sekarang dapat duit, dah habis duit esok?

'DURIAN RUNTUH', ANTARA REALITI DAN HARAPAN GENERASI KEDUA FELDA

'Durian runtuh' yang diumumkan YAB Perdana Menteri di Felda Jengka 8 hari ini sangat di alu-alukan. Namun tidak memeranjatkan saya. Ia telah dimaklumkan 4 hari yang lalu kepada saya dan telah pun saya sebut dengan tepat dalam kenyataan media saya dan di ulang dalam ceramah-ceramah saya.

Meskipun jumlah 1.689 bilion yang diagihkan kepada 112,635 orang peneroka Felda adalah agak besar, tetapi tidaklah sampai 'peneroka tersandar dalam kejutan' seperti PM katakan sebelum ini di Felda Triang 3, Bera. Ia diberi dalam tiga fasa untuk Peneroka, Penerokawati dan Generasi Kedua. Bonus Khas dua bulan setengah gaji untuk 23 ribu kakitangan Felda sesuatu yang tidak berbaloi dengan pengorbanan mereka lebih 25 tahun berkhidmat dengan Felda.

ANAK tidak pernah menolak sebarang pemberian atau insentif yang mahu diberikan kepada para peneroka. Tetapi biarlah kita berhujah secara matang. Kenapa baru sekarang setelah lebih 55 tahun Felda ditubuhkan?
Adakah ini sandiwara politik kerana bimbang akan senario perubahan sikap warga Felda kepada Barisan Nasional?

Siri-siri saman di Kemahang 3, Gugusan Serting, Bera, Jengka, Maokil dan yang terkini di Gugusan Chini, kawasan Parlimen Pekan; tempat PM sendiri?

Gelombang kebangkitan anak-anak muda Felda dapat disaksikan melalui sokongan mereka bersama program-program ANAK dan ceramah Pakatan Rakyat. Saya yakin ini dalam makluman PM dan membimbangkan beliau. 54 Parlimen yang ada Felda adalah kubu terakhir BN.

Walau bagaimanapun, memandang kehadapan; adakah berbaloi gula-gula one off seperti ini? Berapa lama lagi BN nak bermain politik dengan taktik lama untuk mendodoikan rakyat agar terus menyokong mereka?

Atau; ini dilakukan untuk 'menutup mulut' peneroka agar jangan mempersoalkan keghairahan Kerajaan menyenaraikan Felda Global Venture di Bursa Malaysia?
Penipuan mereka melalui 7 buah Bank iaitu CIMB,BIMB,Maybank, OCBC, Am Islamic Bank, Muamalat dan Affin Bank yang diperalat membiayai pinjaman tawaran saham FGVH sangat ketara. Borang pinjaman yang dikosongkan jumlah pinjaman, interest 5 peratus, borang dalam bahasa Inggeris, tidak ditaklimatkan isi kandungannya dan tidak dinyatakan risiko kerugian seperti 'Surat Tanggung Kerugian' adalah antara penipuan dan pengkhianatan kepada para peneroka!

125 peneroka Felda adalah sebahagian daripada ribuan lagi peneroka yang telah tertipu kerana menandatangani Borang Perjanjian Pinjaman yang mereka tidak tahu apa-apa. Mereka tidak dapat membezakan antara 'durian runtuh' dengan pinjaman saham FGVH. Mereka memfailkan Injunksi di Mahkamah Tinggi Seremban semalam kerana teramat bimbang daripada risiko pinjaman yang boleh sahaja TERGADAI aset mereka.

Perdana Menteri beri jaminan tanah peneroka tidak akan tergadai. Adakah PM tidak membaca hampir 70 mukasurat dalam Borang Pinjaman FGVH yang secara jelas dinyatakan dengan terperinci nasib peneroka jika harga saham merudum dan segala risiko di tanggung Peneroka?

Adakah PM tidak mengambil iktibar nasib Felda Cahaya Baru, Felda Sg Buaya, Felda Labu Johnson dan Sendayan yang hilang tanah mereka dan hidup menderita seperti pepatah ' menang sorak kampung tergadai'?

Mana pergi pemimpin BN tatkala Amanah Saham Negeri-negeri gulung tikar hingga menyebabkan rakyat hilang harta dan diisytiharkan muflis kerana meminjam bank untuk melabur?

Amanah Saham Johor adalah bukti yang amat jelas. Adakah PM, Ahmad Maslan dan Isa Samad boleh beri jaminan bertulis yang saham FGVH tidak rugi sepertimana nasib pelabur Amanah Saham Negeri-negeri dan juga saham-saham lain seperti KUB, BERNAS dsbnya?

PM tidak perlu sebut ' haram jadah' yang di ulang dua kali dalam ucapannya tadi kalau dia rasional. Datuk Ahmad Maslan tidak perlu hentam dan cabar saya seperti diungkapkannya tadi. Kenapa terlalu marah hingga tega memaki hamun di hadapan khalayak ribuan warga Felda. Sebagai pemimpin biarlah ada wawasan. Peneroka Felda sudah ada tanah dan rumah. Untuk survive, telah memadai. Daripada 1.6 juta warga Felda, 65 peratus adalah generasi kedua. Ini tempoh peralihan yang sangat kritikal untuk mereka.

Mana dia halatuju anak muda Felda?

Perumahan mereka, pendapatan yang lebih stabil atau mereka cuma penonton yang melihat para kroni pemimpin BN memunggah kekayaan setiap hari?
Fikir dulu mana rumah Generasi Ke 2 daripada beri peruntukan RM5 ribu baiki rumah untuk masyarakat lain.

Tidakkah kewujudan Techno Plant Sdn adalah untuk tembolok pemimpin Umno?
Sama juga wujudnya Felda Global Venture bagi tujuan memindahkan harta peneroka berbilion ringgit untuk digunakan UMNO/BN bagi PRU 13?

Saya cabar PM umum peruntukan RM1,689 bilion datang dari mana?
Berapa yang kroni bayar kepada Isa Samad, Sabri Ahmad, adik PM Nazir Razak(CIMB)para penasihat umpamanya Omar Ong(Ethos) dan lain-lain?

Mereka ini ibarat Sadeq Sigara dalam Filem 3 Abdul yang membuat untung dengan menipu peneroka... akhirnya peneroka dilelong dengan harga yang murah!

ANAK konsisten dengan perjuangan bagi kehidupan Generasi Kedua Felda. Para cendekiawan, intelektual dan umumnya anak-anak peneroka bersedia untuk menerajui perubahan di Felda. Seharusnya mereka di beri peluang merencana transformsi di Felda.

Kenapa Isa Samad dilantik PM sebagai Pengerusi Felda?
Mana perginya karisma puluhan ribu cerdik pandai anak-anak peneroka?
Tidak layakkah mereka jadi Pengerusi Felda dan memegang jawatan penting dalam Anak-anak Syarikat Felda?

Kenapa semuanya dibolot Isa Samad dan kroni-kroninya?

Seharusnya halatuju Felda diterajui oleh Anak Felda. Penambahbaikan Koperasi Felda, pengendalian kebun peneroka, aktiviti tanam semula, pembangunan infrastruktur, pengembangan Anak-anak Syarikat dll berilah kepercayaan dan amanah ini kepada mereka. Bukan diterajui oleh ' para lanun' yang tidak ada seinci tanah pun di Felda!

Pengumuman PM bukan suatu Transformasi. Sebenarnya beliau dan pemimpin BN lah 'jaguh kampung' yang tidak punya kreativiti strategik. ANAK dan Pakatan Rakyat menawarkan gagasan seperti Buku Jingga yang bersifat menyeluruh untuk tempoh yang panjang. Pengagihan Tanah Felda Plantation, penubuhan Universiti Felda, Kouta penguasaan Anak Peneroka dalam Anak-anak Syarikat Felda; hakikatnya inilah pemikiran global yang menjanjikan kehidupan lebih meyakinkan untuk Anak-anak peneroka Felda.

Bagi saya, pengumuman PM tidak lebih untuk mengekalkan kuasa politik BN di Felda semata-mata. Ia mungkin menyukakan peneroka tetapi amat mengecewakan anak muda Felda. Generasi ke 2 dan ke 3 akan terus termenung panjang memikirkan nasib mereka pada hari-hari mendatang yang kian suram...

MAZLAN ALIMAN
Presiden ANAK

Ulasan
Dr. Rosli Yaakop, 09 Mei 2012

Dari mana Felda ambil wang bayar durian runtuh?

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan di Felda Jengka 8 seramai 112,635 peneroka Felda akan mendapat durian runtuh RM5,000 setiap orang. Isteri mereka – dibayar kemudian – akan juga mendapat RM5,000 se orang. Kemudian, anak-anak mereka akan mendapat RM5,000. Kalau keluarga peneroka mempunyai 5 orang anak, anak-anak mereka akan mendapat RM1,000 se orang. Jumlah kesemuanya RM15,000 bagi se tiap keluarga peneroka. Kalau setiap keluarga mempunyai ahli seramai 7 orang (ayah, ibu dan lima orang anak), maka secara puratanya, mereka akan mendapat RM2,143 seorang. Satu jumlah yang biasa sahaja, tidak memeranjatkan.

Dengan membayar durian runtuh RM15,000 bagi setiap keluarga, Felda akan membelanjakan RM1.69 bilion. Ini bayaran “one-off” yang boleh meringankan beban kewangan peneroka sekadar sementara. Wang itu bolehlah digunakan untuk menampung belanja kenduri kendara, melupuskan hutang atau belanja pergi umrah untuk dua orang. Bagi peneroka yang cermat, bolehlah meningkatkan tabungan. Namun, majoriti peneroka yang menerima bayaran “one-off” ini akan membelanjakan wang ini untuk penggunaan, bukan pelaburan. Maklumlah, ini “rezeki terpijak.”

Tentu rasa sayang peneroka kepada kerajaan UMNO-BN terus bersemarak, maklumlah ini kali pertama dalam 55 tahun sejarah Felda, peneroka mendapat wang tunai yang begitu besar, walaupun pada hakikatnya, nilai wang ini tidak seberapa dalam ukuran sekarang. Satu ekar tanah di Felda sekarang sudah berpuluh ribu malah dalam ratusan ribu harganya. Undi mereka sudah dibeli dengan harga murah (demolition price) dan Perdana Menteri cukup yakin, majoriti peneroka akan terus mengundi UMNO-BN di dalam PRU13 yang bakal diadakan bila-bila masa sahaja sekarang, besar kemungkinan dalam bulan Jun ini. Dengan bayaran ini, UMNO-BN mengharapkan 58 kerusi yang menjadi simpanan tetapnya akan terselamat dari disambar Pakatan Rakyat.

Dari manakah datangnya wang sebanyak RM1.69 bilion yang akan ditaburkan kepada peneroka itu?

Felda Global Ventures Holdings Berhad akan mengapungkan 2,188,890,900 unit saham di Bursa Malaysia pada harga Tawaran Awam Awal - TAA (Initial Public Offer – IPO) RM4.65 se saham. Ini bermakana, ia akan menjana RM10.18 bilion. Dari jumlah ini, Felda akan mendapat RM5.62 billion. Ini kerana sebahagian besar, iaitu, 1,208,890,900 unit saham adalah milik Felda. FGVHB akan hanya menjana RM4.56 bilion dari pengapongkan saham ini. Jumlah ini relatif kecil untuk bercatur di dalam perniagaan peringkat global. Lagi pun, sebahagian besarnya akan diguna untuk membayar hutang dan kos penanaman semula.

Dengan melupuskan kesemua kepentingannya kepada FGVHB, Felda Badan Berkanun hanya mendapat RM5.65 bilion. Dari jumlah ini, RM1.69 bilion akan dibelanjakan untuk membayar RM15,000 durian runtuh kepada setiap keluarga peneroka. Baki yang ada pada Felda BB hanyalah RM3.96 bilion. Harus diingat bahawa Felda BB berbelanja kira-kira RM2 bilion setahun. Wang yang baki itu hanya cukup untuk menampong perbelanjaan 2 tahun. Selepas itu, wang pembayar cukai perlu disuntikkan kembali kepada Felda BB.

Harta yang dilupuskan kepada FGVHB adalah harta peneroka. Ia akhirnya akan dipindah milik, melalui jual beli saham di pasaran, kepada pelabur-pelabur bukan peneroka termasuklah taukeh-taukeh besar dan pelabur-pelabur asing yang memang sudah sedia kaya. Maknanya, yang dijual adalah harta peneroka. Oleh itu, wang yang dikatakan durian runtuh itu sebenarnya adalah hak peneroka. Tidak ada durian runtuh sebenarnya. Felda menjual hak peneroka kepada orang lain, dan sebahagian kecil dari wang itu diberikan kepada peneroka. Peneroka menerima wang yang dijana dari titik peluh mereka sendiri.

Siapakah yang sebenarnya mendapat untung besar dari pengapongan saham FGVHB?

Pada awalnya, harga TAA ditetapkan pada RM5.85 se saham. Di dalam prospektus yang dipaparkan dalam sesawang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, harga TAA diturunkan kepada RM4.65 se saham, iaitu, penurunan sebanyak RM1.20 se saham atau diskaun sebanyak 20.5%. Ini bermakna, sebelum diapongkan, Felda BB telah rugi RM1.45 bilion. Penurunan harga ini bakal menguntungkan pelabur-pelabur dalam negera dan asing yang membeli saham FGVHB ini pada harga lebih murah, iaitu, diskaun 20.5%. Bila saham FGVHB mula dijual beli di pasaran nanti, akan ada pelabur-pelabur kaya tunai yang akan mengutip setiap unit saham yang dijual oleh pelabur runcit dan juga pelabur institusi sehingga mereka berjaya menguasai 30% daripada jumlah saham. Ketika itu, mereka akan berkuasa ke atas FGVHB dan kepentingan peneroka akan mengambil tempat duduk belakang.

Pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, majoritinya kroni pemerintah dan penama UMNO, bakal mengaut untung besar. Golongan pelabur terpilih ini diperuntukkan 419,537,000 unit saham atau 11.5% dari jumlah saham yang diapongkan. Mereka, sebagai satu kumpulan, membeli saham ini pada harga RM1,950,847,050 (pada harga RM4.65 se saham). Jika harga naik ke RM5.85 sesaham (+RM1.20), mereka sudah mendapat untung RM503 juta. Kalau harga naik sebanyak RM2.40 (ke RM7.05 sesaham), golongan pelabur Bumiputera terpilih ini akan untung RM1 bilion. Ini tidak mustahil. Pembiayaan tidak menjadi masalah kepada mereka kerana disediakan oleh bank-bank. Pembeli saham pun tidak menjadi masalah kerana badan kerajaan kaya tunai seperti Tabung Haji, KWSP, PNB dan lain-lain sudah sedia untuk membeli dari mereka. Inilah dana PRU13 untuk UMNO.

Bila saham FGVHB yang aset utamanya tanah diapongkan, harta peneroka – tanah ladang dan kilang-kilang pemprosesan sawit – akan bertukar tangan secepat putaran jual beli saham di pasaran saham. Tiada siapa boleh menjamin harta bernilai peneroka ini tidak akan terlepas kepada pelabur asing yang rakus dan tamak. Peluang untuk memiliki tanah tidak ternilai ini dan menguasai minyak sawit, komoditi makanan yang amat penting di dunia hari ini, yang selama ini mereka intai, sudah sedia untuk digenggam.

1 comment:

  1. Setuju...
    Mana mana peneroka dan anak peneroka yang celik IT sila print artikel ini dan sebarkan kepada peneroka.

    ReplyDelete