Jika diikutkan propaganda media Umno, tidak ada apa-apa yang baik di negeri Kelantan dan rakyatnya. Negerinya miskin, rakyatnya minum air kotor, tidak ada peluang pekerjaan sehingga penduduknya berhijrah. Diketuai pula oleh Tok Guru yang tak pandai mentadbir.
Itulah kononnya gerak saraf yang sering disumbatkan Umno dalam lidah rasminya bagi menggambarkan kedaifan Kelantan yang dipimpin PAS sejak 22 tahun yang lalu bagi membohongi rakyat di negeri-negeri lain.
Semua masih ingat, ketika mula-mula merampas Kelantan daripada BN pada 1990 dengan kemenangn 39 - 0, rata-rata Umno meramalkan bahawa kerajaan PAS pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat hanya mampu bertahan sekitar tiga bulan. Baru sekitar sebulan dua yang lalu Najib dan Muhyiddin berlumba-lumba ke Kelantan untuk memberitahu rakyatnya bahwa negeri tersebut miskin dan perlu segera dikembalikan kepada Umno-BN.
Selain daripada fitnah-fitnah jahat itu, kerajaan Kelantan didera teruk sejak awal dengan sekatan geran wajib perkapita tahunan yang sengaja dilengah-lengahkan. Kelantan juga dibuli dengan sekatan-sekatan pelaburan luar melalui Kuala Lumpur. Lebuh raya yang sepatutnya menjadi kewajipan kerajaan pusat, dilaksanakan hanya setakat Terengganu. Gas yang sepatutnya didaratkan di kelantan dialihkan ke Thailand.
Bahkan royalti yang wajib dibayar kepada Kelantan, tidak diberi sebagaimana Terengganu, Sabah dan Sarawak. Begitulah jahatnya Umno. Itupun mereka tidak pernah malu mendakwa dan mendabik dada kononnya memperjuangkan Melayu. Apakah buta dan tuli mereka mengenal bahawa lebih 90 % penduduk Kelantan berbangsa Melayu dan beragama Islam?
Pendek kata, setiap apa yang buruk biasanya akan disiarkan dalam rangkaian televisyen Umno setiap malam dan brtali arus. Barangkali pantang orang sebut saja masalahnya, media pembodek itu tak menang tangan untuk menyiarkannya. Pernah satu ketika semasa Datuk Seri Zainuddin Maidin menjadi Menteri Penerangan, gambar pondok menunggu durian dipaparkan di televisyen RTM dan akhbar Umno bagi menggambarkan kemiskinan rakyat Kelantan.
Kepimpinan Kelantan juga kerap menerima tekan. Ketika Nik Aziz menerima kek berharga RM4, riuh rendah pengempen Umno negeri itu meminta SPRM menyiasat atas dakwaan rasuah. Walaupun isu cincin RM24 juta isteri Najib tidak pernah disiasat.
Sebab itu, ada satu kes yang sama di Kelantan, dikatakan telah disiasat SPRM sebanyak dua kali! Begitulah kecur dan ghairahnya agensi itu menyiasat apabila melibatkan orang PAS. Seperti sepatah kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, jika ada saja disembangkan orang tentang rasuah di negeri-negri Pakatan Rakyat, biasanya ‘tak sempat turun ikut tangga’ para penyiasatnya datang menyerbu.
Rakyat Kelantan sentiasa cemas walaupun tidak percaya dengan pembohongan memburuk-burukkan negeri itu setiap yang kecil seperti semut akan diperbesar-besarkan seperti gajah.
Tetapi orang kelantan tetap cekal menghadapi tindakan Umno yang seolah-olah menganggap mereka seperti warga negara kelas dua. Orang Kelantan tetap sabar dan sentiasa cemerlang.
Semalam pasukan bola sepak mereka berjaya merangkul Piala FA. Jika diikutkan dengan propaganda jahat Umno bahawa orang Kelantan miskin, minum air kotor dan diperintah oleh Tok Guru, tidak mungkin mereka boleh secemerlang itu.
Jika menelusuri sejarah, PAS telah menang pilihan raya dan memerintah Kelantan sejak selepas merdeka lagi sehinggalah kerajaannya dijatuhkan dengan konspirasi Umno ketika itu (termasuk peristiwa Ibrahim Ali membakar tayar di tengah bandar Kota Bharu pada tahun 1977).
Tetapi dapat dilihat bagaimana ramainya anak-anak Kelantan yang berjaya menjejak kaki ke universiti dan menjawat kerusi yang tinggi dalam sektor awam dan swasta, terutama Bank Bumiputera (yang akhirnya ditutup akibat kurang pandainya Umno) sejak dulu. Ramai pula yang bertaraf jutawan dan usahawan tinggal di Kelantan dan ibu negara.
Sebab itu saya fikir rakyat Malaysia sudah celik maklumat dan tidak mudah diperbodohkan oleh agen propaganda Umno lagi. Pun begitu, kita rasa fitnah dan penipuan akan terus-terusan berleluasa seperti yang disumbatkan media Umno kepada massa sekarang iaitu memburukkan masyarakat Selangor dan Pulau Pinang kononnya lebih teruk dan daif daripada yang berada di Sabah, Sarawak dan Pahang.
Namun percayalah, rakyat sudah tidak termakan lagi dengan propaganda bodoh Umno, melainkan yang tinggal percaya hanyalah tegar Umno sendiri yang berada nun di Ulu Tembeling, Charok Bengawan dan Darat Belengu!
No comments:
Post a Comment