Monday, September 30, 2019

Adun Chenor puji sukan silat alternatif kepada remaja ketagih gajet

Ahli Dewan Undangan Negeri Chenor Ustaz Mujibur Rahman Ishak memuji usaha pembukaan gelanggang Silat Cekak Harimau Malaysia Cawangan Bukit Segumpal, Maran sebagai alternatif kepada aktiviti fizikal.

Beliau yang merasmikan gelanggang tersebut di Kampung Jalan Panjang, berkata jika tidak anak-anak dan remaja lebih terjebak dengan permainan menerusi gajet dan ini kurang menyihatkan.


“Aktiviti fizikal seperti ini sangat baik dan patut dipuji di saat anak-anak lebih berminat bermain dalam gajet sahaja.

“Sekarang ni, nak main bola ke, memancing dan berbagai permainan semuanya dalam handphone. Ini bukan sesuatu yang baik untuk generasi kita pada masa hadapan,” ujarnya ketika pembukaan gelanggang yang mendapat usahasama Masjid Charuk Tualang dan Masjid At Taqwa Kampung Awah pada Ahad.

Sementara itu, Pendekar Dato Osman Nok yang merupakan Pengasas Guru Utama Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia merangkap Setiausaha Agung Pesaka Pahang memaklumkan keahlian silat berkenaan telah mencecah 22,000 ribu orang termasuk cawangan silat tersebut di England.

Hadir sama Penghulu Mukim Bukit Segumpal Saharil Apindi Ahmad serta Pengerusi MPKK Kampung Dalam Abd Wahid Lazi.

Dalam pada itu, menurut penyelaras program, Azlan Ibrahim, seramai 57 orang telah menyerahkan borang untuk menyertai latihan silat tersebut.

No comments:

Post a Comment