Saturday, August 31, 2019

PJ Pahang lawat mangsa kebakaran Sungai Lembing

Pesuruhjaya PAS Pahang, YB Ustaz Rosli Abdul Jabar meluangkan masa menziarahi semua mangsa kebakaran di pekan Sungai Lembing dekat sini, tengah hari tadi.

Beliau memberitahu, kebakaran yang turut mengorbankan dua nyawa itu amat mengejutkan dan menyayat hati, apatah lagi berlaku ketika semua rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-62, hari ini.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu berita kebakaran ini dan kerana itulah saya terus bergegas ke sini selesai sahaja perarakan hari kebangsaan tadi.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang yang menyalurkan bantuan segera bernilai RM 1,000 kepada semua 29 keluarga mangsa kebakaran." ujar beliau.

Turut bersama beliau, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, YB Andansura Rabu serta  Ketua Penerangan PAS Pahang, YB Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya,  turut menziarahi semua mangsa yang ditempatkan sementara di SJKC Sungai Lembing.

Sementara itu, seorang mangsa yang ditemui, Wong Cheung Yun, 48, beliau amat bersyukur semua keluarganya selamat walaupun kedainya hangus terbakar.

"Semua kedai yang terbakar itu telah dibina sejak tahun 1926 dan kenangan bersejarah ahli keluarga kami yang bekerja di lombong bijih timah kini telahpun hangus" ujar beliau.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi tadi, sebanyak 32 kediaman dan premis kedai dua tingkat musnah, termasuk sebuah perpustakaan.
Kejadian turut mengorbankan pasangan suami isteri, Ho Yuk Fun, 74, dan Chow Kim Mui, 70.

No comments:

Post a Comment