Thursday, August 29, 2019

Monumen titik tengah semenanjung tarikan baru Temerloh

Daerah Temerloh bakal menjelmakan satu destinasi tarikan pelancongan yang baharu iaitu Monumen Titik Tengah Semenanjung (TTTS) yang terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang.

Terletak berdekatan dengan kompleks Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), projek ini menelan belanja kira-kira RM11.788 juta dan akan dibuka kepada pengunjung secara rasmi pada Oktober ini.

Memiliki keluasan kira-kira 1.7 hektar, ia mula dibina pada Februari tahun lalu dan disiapkan dengan sempuna pada 22 Ogos lalu.

TTTS adalah usaha untuk mempromosikan Temerloh sebagai bandar Titik Tengah Semenanjung, selain menjadi sebahagian destinasi laluan berbasikal dan bermotor, pusat maklumat pelancongan serta tempat tarikan sekitar daerah ini.

Selain monumen tersebut, TTTS yang menggunakan konsep hentian sebelah menawarkan plaza komersial iaitu empat gerai, tandas, wakaf, surau, tempat persinggahan bas pelancong, komuniti basikal, motosikal berkuasa tinggi, kawasan rekreasi dan permainan kanak-kanak.

Bagi yang bertandang dari ibu kota, boleh meneruskan rekreasi ke pusat pemuliharaan gajah di Kuala Gandah yang terletak kurang 10 kilometer dari situ.

Baru-baru ini TTTS menyaksikan keberangkatan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang berkenan meninjau.

TTTS boleh dicari di latitud 03°29' 33" (Utara) dan longitud 102° 13' 10" (Timur).

No comments:

Post a Comment