Friday, August 9, 2019

Jambatan baharu Temerloh

Jambatan Ahmad Shah terlalu sibuk terutama pada waktu puncak hari bekerja.
Keadaan lebih kritikal jika berlaku kemalangan


Abdul Rashid Abdul Rahman


TEMERLOH - Kerajaan meluluskan pembinaan sebuah jambatan baharu bernilai RM146 juta bersebelahan jambatan lama Sultan Haji Ahmad Shah di sini dalam usaha menaik taraf laluan di situ.



Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, pembinaan jambatan baharu tersebut bermula Mac tahun depan sebelum dijangka siap sepenuhnya pada September 2023.

"Saya ingin umumkan di sini bahawa keprihatinan kerajaan terhadap bandar Temerloh dizahirkan melalui kelulusan pembinaan projek menaik taraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah daripada dua lorong kepada empat lorong yang merupakan projek Rolling Plan Ke-3 Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

"Projek ini penting memandangkan Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah sedia ada seringkali sesak dengan kenderaan terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

Tambahan, jambatan ini menjadi penghubung utama untuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh yang terletak di Seberang Temerloh," katanya pada Program Merdeka @ Komuniti peringkat daerah di Dataran Cendekia Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Pulai di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan.

Menurutnya, projek reka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya tanpa perkhidmatan perunding swasta itu melibatkan skop pembinaan jambatan baharu sepanjang 575 meter panjang dan 15 meter lebar.

Tambahnya, skop lain termasuk menaik taraf jalan sepanjang 1.4 kilometer, membina sistem saliran dan pemasangan lampu jalan serta kelengkapan bersesuaian. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment