Wednesday, September 15, 2010

Generasi kedua Felda perlu diiktiraf, diberi hak

Antara matlamat Felda ditubuhkan 50 tahun lalu ialah untuk membela nasib orang-orang Melayu yang tidak bertanah ketika itu, menangani masalah kemiskinan dan pengangguran serta meningkatkan taraf hidup penduduk Melayu luar bandar. Dalam masa yang sama tenaga kerja yang ada dapat meneroka dan memajukan tanah perladangan.

Namun mengapa pemimpin tertinggi tidak dapat memikirkan perancangan, hala tuju dan masa depan generasi anak-anak peneroka selepas itu? Adakah perkara ini terlepas pandang atau pemikiran pimpinan tidak pernah melewati hingga ke situ. Kenapa pengurusan tertinggi Felda hanya memikirkan keuntungan sahaja tanpa kebajikan zuriat peneroka yang telah bertungkus lumus menjayakan sektor pertanian.

Dengan lain-lain perkataan, setelah 50 tahun, Felda gagal melihat nasib generasi selepas peneroka 50 tahun akan datang di tanah-tanah rancangan.

Berdasarkan jumlah peneroka seramai 112,635 orang seluruh negara, kini dianggarkan terdapat lebih 800,000 generasi kedua dan ketiga Felda. Hasil kajian yang dibuat hanya 5 peratus daripada jumlah tersebut yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke institut pengajian tinggi. Selebihnya merupakan golongan yang terpaksa bekerja kilang, bekerja sendiri dan yang lebih malang menjadi penganggur atau penyumbang gejala sosial di tanah-tanah rancangan.

Semua ini terjadi kerana kelemahan dan tidak adanya perancangan teliti dari pihak berkuasa dalam menggariskan hala tuju anak cucu peneroka sebagaimana generasi pertama yang telah diperas tenaga dan keringatnya untuk membangunkan hutan belantara menjadi tanah ladang yang menyumbang hasil kepada negara.

Generasi kedua tidak diiktiraf dan diberi hak sepenuhnya mewakili ibu bapa

Tidak dapat tidak generasi kedua akan mewarisi tanah rancangan Felda daripada ibu bapa mereka. Namun sehingga kini status generasi kedua itu sendiri tidak jelas. Sehinggakan bila mereka berjumpa pihak pengurusan Felda, mereka akan ditanya “awak siapa? Begitu juga bila mesyuarat koperasi, anak-anak peneroka boleh dihalau. Ini membuktikan betapa anak-anak peneroka tidak diiktiraf setakat ini.

Mereka sepatutnya perlu diberi hak sepenuhnya untuk mewakili ibu bapa mereka di dalam apa juga perbincangan membabitkan masa depan peneroka. Dalam keadaan kebanyakan peneroka tergolong dalam warga emas, sepatutnya generasi kedua ini diberi pengiktirafan sewajarnya untuk menggantikan ibu bapa dalam apa juga perkara membabitkan perancangan dan masa depan Felda atau agensi-agensinya.

Bagi tujuan itu sudah tentu beberapa peruntukan dalam undang-undang tubuh Felda, koperasi Felda dan sebagainya yang sudah ketinggalan perlu dipinda bagi disesuaikan dengan keadaan semasa serta memberi ruang kepada generasi kedua memainkan peranan proaktif.

Pada masa ini kewujudan generasi kedua seolah-olah tidak mendapat pengiktirafan dari segi undang-undang untuk terlibat sama dalam badan-badan berkaitan kerana mereka bukan peneroka. Kedudukan mereka hanya sebagai anak kepada peneroka dan tidak diberikan apa-apa hak.

Generasi kedua terabai

i) Lot-lot kosong itu tidak serahkan kepada generasi kedua


Terdapat terlalu banyak bukti pihak Felda tidak berhasrat atau tidak serius membantu generasi kedua, zuriat daripada peneroka yang telah banyak menabur bakti untuk kekayaan negara. Contohnya seperti dalam soal tanah, rumah dan kerjaya mereka.

Berdasarkan hansard Parlimen, terdapat 1,427 lot-lot kosong dan seluas
353,245 hektar tanah ladang Felda tanpa peneroka. Pada masa ini lot-lot kosong dan tanah ladang itu diserahkan kepada Felda Plantation. Kenapa lot-lot kosong itu tidak serahkan kepada generasi kedua yang berkemampuan untuk diusahakan? Sedangkan memang terdapat ramai generasi kedua yang sudah sedia membanting tulang mengerjakan tanah ladang bapa mereka atau mengambil upah di ladang orang.

Ini membuktikan pihak berkuasa tidak berminat untuk membela nasib dan masa depan generasi kedua dan ketiga Felda. Seolah-olah matlamat asal Felda ditubuhkan dahulu hanya terhenti setakat generasi pertama sahaja. Lot-lot kosong di tanah-tanah rancangan dan Felda Plantation sudah selayaknya diisi dengan anak peneroka. Bayangkan terdapat ramai generasi kedua yang bekerja di ladang Felda Plantation sebagai kuli, iaitu setaraf dengan pekerja asing yang diimport. Sedangkan mereka mungkin boleh berjaya dan betul-betul mengusahakan kerja-kerja ladang jika diberi peluang.

ii) Tiada kemudahan pinjaman perumahan

Selain itu demi kebajikan sosial, pihak Felda juga sepatutnya perlu menyediakan tapak perumahan bagi generasi kedua dengan mempermudahkan prosedur pinjaman, harga yang munasabah dan mampu dimiliki.

Menurut laporan, pihak pengurusan Felda meraih keuntungan melebihi RM2 bilion setahun. Tapi kenapa yang kaya itu Felda dan yang miskin itu peneroka. Kenapa tidak dilaburkan sedikit untuk kebajikan 800,000 generasi kedua di tanah rancangan Felda seluruh negara. Bayangkan pinjaman untuk anak peneroka membuat rumah di tanah sendiri berjumalah RM40 ke RM50 ribu dan dikenakan pula faedah sebanyak 6.5 peratus. Kadar yang melebihi bank-bank konvensyenal kenakan itu sudah pasti mahal dan sama sekali tidak sepadan dengan bakti yang ditaburkan peneroka selama ini.

Kenapa tidak diwujudkan dana memudahkan generasi kedua membuat pinjaman perumahan. Dengan cara ini yang tinggal di tanah rancangan boleh memiliki rumah sendiri tanpa perlu menumpang di rumah ibu bapa. Sekarang ini kebanyakan generasi kedua masih tinggal dengan ibu bapa walaupun sudah berkeluarga. Di Lurah Bilut umpamanya, tanah rancangan Felda terawal di negara ini, ada tinggal tiga generasi dalam satu bumbung! Terdapat anak-anak peneroka yang terpaksa hidup berhimpit-himpit di atas tanah ‘sekangkang kera’ itu.

Masalah penempatan semula generasi kedua Felda perlu ditangani secara bijaksana. Difahamkan ada di kalangan anak-anak peneroka yang tidak berjaya dalam pendidikan terpaksa menumpang tanah ibu bapa mereka dengan membina rumah bersebelahan rumah ibu bapa mereka.

Dengan aset dan kekayaan yang ada, Felda sepatutnya tidak mengabaikan kebajikan generasi kedua peneroka.


iii) Felda sepatutnya banyak membantu generasi kedua dalam perniagaan latihan kemahiran


Kini sudah ramai di kalangan generasi kedua yang mampu bersaing dalam bidang perniagaan. Felda bertindak proaktif membantu generasi kedua yang berniaga sepertinya. Sepatutnya Felda memberi bantuan kewangan secukupnya untuk peniaga-peniaga seperti kami di sini. Ini agensi lain yang banyak membantu seperti Mara dan bank.Walhal tempat kami terletak di laluan utama Temerloh – Jengka, tidak jauh dari LPT dan seratus peratus Melayu. Akhirnya di sini kemajuan terjadi dengan sendirinya, tanpa bantuan Felda.

Saya percaya jika Felda berusaha membantu atau menyediakan perniagaan generasi kedua, kawasan ini pasti lebih cepat maju. Dengan demikian sudah tentu lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan dapat diwujudkan di tanah rancangan Felda. Pihak Felda memperbanyakkan pusat-pusat latihan kemahiran dan vokesyenal serta kursus-kursus profesional dalam pentadbiran perniagaan bagi anak-anak peneroka untuk membolehkan mereka bekerja dengan pendapatan yang baik. Memang ketika ini terdapat beberapa pusat latihan pelbagai bidang seperti di Trolak, Sungai tekam, pasir Basar dan Bukit Mendi. Namun jumlah anak peneroka yang menjangkau satu juta tidak mampu lagi menampung mereka. Anak-anak peneroka yang ada di tanah rancangan hanya dijadikan pekerja atau buruh sahaja di ladang-ladang yang diusahakan oleh Felda Plantations.

Graduan generasi kedua kurang diberi peluang

Felda gagal berbuat sesuatu dengan generasi kedua yang lulus universiti, seperti menyediakan peluang pekerjaan dan saluran untuk menyumbang idea. Tidak dapat dinafikan ramai generasi kedua Felda yang telah berjaya dalam lapangan pelajaran dan kerjaya, namun apa yang menyedihkan tidak ramai yang berbakti di Felda.

Sebenarnya ramai juga generasi kedua yang cemerlang dalam akademik tapi belum memiliki pekerjaan. Kenapa tidak dimanfaatkan mereka. Saya bagi contoh sekarang ini zaman biotek dan banyak lagi benda-benda baru yang sepatutnya diteroka. Felda ada tanah dan modal, kenapa peluang ini tidak diberi? Ini lebih baik daripada dibiarkan graduan ini dibiarkan merantau dan bekerja di tempat lain.

Golongan yang memiliki pencapaian rendah dalam pendidikan formal juga perlu dibantu supaya mereka menjadi produktif dari segi ekonomi. Jika tidak, mereka akan menghabiskan masa dengan perbuatan tidak berfaedah yang akhirnya menjurus kepada keruntuhan akhlak.

Bersarangnya semua penyakit masyarakat di Felda seperti lepak penyalahgunaan dadah, samseng, berjudi, rogol, rempit dan sebagainyanya kebanyakannya disebabkan generasi kedua yang tinggal itu sendiri ialah mereka yang gagal dalam pendidikan. Sedangkan generasi kedua yang berkualiti bekerja di luar tanah rancangan.

Sebab itu dasar pembangunan Felda sebenarnya dalam keadaan tidak seimbang kerana terlalu berorientasikan bisnes sehingga mengabaikan perhatian terhadap nilai-nilai kemanusiaan. Saya melihat peruntukan yang dibelanjakan Felda untuk belia melalui persatuan banyak dihabiskan untuk hiburan. Kalau tahun 80-an dulu banyak juga program-program agama. Satu lagi, dulu ada Penyelia Agama Felda (SDAU) yang sedikit sebanyak dapat juga merancang program-program bercorak keagamaan. Saya difahamkan khidmat mereka dihentikan sejak 1990-an. Jadi ini antara yang menyumbang kepada gejala sosial di Felda.

Penyelesaian masalah sosial di tanah rancangan Felda perlu kerjasama
masyarakat peneroka, pemimpin setempat, agensi kerajaan dan pertubuhan
sukarela. gejala sosial di kalangan belia dan lelaki dewasa di tanah rancangan itu mewujudkan pelbagai masalah seperti lepak, penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah, berjudi, rogol dan sumbang mahram. Semua pihak perlu meneliti realiti gaya hidup, aspirasi dan budaya yang menjadi anutan golongan bermasalah di tanah rancangan Felda. Kita mencadangkan Program Pembinaan Sahsiah untuk mengembalikan belia kepada identiti yang meyakinkan, memiliki kekuatan intelek, cergas dan tidak mudah dikuasai emosi serta nafsu.

Golongan yang memiliki pencapaian yang rendah melalui sistem pendidikan
formal perlu dibantu supaya mereka menjadi produktif dari segi ekonomi.
"Jika tidak, mereka akan menghabiskan masa dengan perbuatan tidak
berfaedah yang akhirnya menjurus kepada keruntuhan akhlak. Sehubungan itu, beliau berkata, lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan perlu diwujudkan di tanah rancangan Felda seluruh negara.

Strategi itu boleh dicapai antaranya melalui pembukaan pusat komersial yang berkembang sebagai pekan bersaiz sederhana. Salah satu cara menangani masalah sosial di Felda ialah dengan menyemarakkan semangat kesukarelawan dalam diri, keluarga, dan masyarakat sekeliling. Secara tidak langsung,
kegiatan sebegini mampu menyemai konsep masyarakat penyayang sekali gus
membanteras gejala sosial di kalangan peneroka dan generasi kedua,"
katanya.

Peratusan kecil generasi kedua berkhidmat dalam agensi Felda

Pada masa ini kurang daripada 10 peratus sahaja kakitangan eksekutif yang berkhidmat dengan Felda dan kumpulannya terdiri daripada anak-anak peneroka. Peratusan ini kecil dan ini tidak seharusnya berlaku.

Peranan yang diberikan kepada anak-anak peneroka tidaklah sebanding dengan jumlah keseluruhan kakitangan Kumpulan Felda yang berjumlah hampir 30 ribu orang. Kebanyakannya pula hanya diberikan peranan dalam tugas-tugas perkeranian dan penyeliaan dan juga buruh. Jumlah itu sepatutnya ditingkatkan kepada 30 peratus dan mencapai 80% dalam tempoh 10-20 tahun akan datang.

Sedikitnya bilangan anak-anak peneroka yang menjawat jawatan yang boleh menentukan dasar Felda menyebabkan banyak berlaku penyelewengan terhadap syarikat-syarikat Felda dan akhirnya merugikan dan juga membebankan peneroka sendiri.

Anak-anak peneroka wajar diberikan peluang menentukan dasar dalam syarikat-syarikat Kumpulan Felda agar pelaksanaannya akan memberikan manfaat dan menepati aspirasi kedua orang tua dan menurut cita rasa anak Felda itu sendiri. Anak-anak peneroka ini lebih memahami masalah peneroka berbanding orang luar kerana mereka dilahirkan, bersekolah dan dibesarkan dalam Felda sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti tempatan atau luar negara.

Setelah 50 tahun sebahagian generasi kedua sudah jauh ke hadapan. Sudah sampai masanya jawatan-jawatan penting seperti Pengerusi Kumpulan dan Pengarah Besar Felda diserahkan kepada anak peneroka. Sebetulnya sudah ada calon yang lengkap dari semua segi seperti pendidikan, pengalaman dan personaliti beramanah. Ini sebagai satu pengiktirafan kepada entiti peneroka yang banyak berbakti kepada negara. Lagi pun hanya di kalangan peneroka sendiri yang punyai roh untuk selesaikan pelbagai isu dan masalah yang lama tertangguh antara Felda dengan peneroka.


~ Dipetik dari buku Mazlan Aliman



2 comments:

  1. Saya ingin bertanya..

    ANAK/PAS seringkali menimbulkan pelbagai kesilapan dan kelemahan FELDA..

    Adakah mereka akan sokong sekiranya FELDA @ Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) membantu untuk membangunkan generasi FELDA hari ini?

    Adakah mereka akan meletakkan kepentingan FELDA dihadapan dan kepentingan parti dibelakang?

    Saya bertanya supaya ingin melihat sejauhmana ANAK ingin memperjuangkan hak-hak peneroka dan generasi FELDA.

    ReplyDelete
  2. Aku X fkr ANAK akan skg apa yg GWGF tu buat, Azman. Aku rasa mrk akan puas bila FELDA diambil alih oleh PAS mcm yg pnh b'laku masa zaman arwah Asri Muda dulu.

    Ko tgklah ANAK tak pnh nak bncg dgn GWGF pun psl generasi FELDA padahal mrk perjuang'n perkara yg sama.

    Sebab apa jd lagu tu? Sebab mrk anti-UMNO.

    So, yg jd mangsanya adlh rakyat sendiri.

    Lu pikirlah sendiri!

    ReplyDelete