Friday, November 1, 2019

Mufti Pahang turut rai pengantin di Walimah Perdana Paya Besar

Kehadiran Mufti Pahang Dato' Seri Dr Abdul Rahman Osman meraikan enam pasang pengantin ke program Walimah Perdana anjuran PAS Paya Besar dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Adun Panching, turut memeriahkan sambutan.

Program yang julung-julung kalinya itu, diadakan di Arena Terbuka Dato’ Sri Abdul Manan, Jalan Permatang Badak Baru 2, Kuantan, pada Sabtu.


Turut hadir Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar, timbalannya yang Adun Beserah Andansura Rabu, serta kenamaan lain.

Majlis meraikan enam pasangan pengantin yang terpilih ini dimulakan dengan acara akad nikah di Masjid Saidina Uthman, Bukit Rangin. Kemudian pengantin berarak ke arena tersebut dengan diiringi oleh para pimpinan PAS dan pihak penganjur program serta keluarga.

Antara yang mengiringi dalam perarakan itu adalah Yang DiPertua PAS Paya Besar merangkap Adun Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya berserta isteri dan Pengarah Program, Ustaz Hazmi Dibok bersama isteri untuk makan beradab.

Majlis juga dimeriahkan dengan dendangan lagu berselang-seli dengan ucapan daripada para tetamu, majlis memotong kek dan berakhir dengan pengantin serta keluarga ke dewan tertutup yang telah disediakan pelamin indah untuk sesi bergambar.

Lebih 7,000 tetamu pula diberi peluang menikmati kenduri yang menyediakan gulai  kawah, ayam goreng, ulam-ulaman, sambal, ikan masin serta minuman pelbagai warna dan perasa antaranya sirap selasih, anggur, sarsi dan limau asam boi. 



Turut diumumkan, ialah pendaftaran terbuka bagi yang ingin melangsungkan perkahwinan dalam Walimah Perdana 2.0 pada tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment