Monday, July 30, 2018

MTIS rayu sumbangan bina asrama

Maahad Tahfiz Al Istiqamah (MTIS) merayu sumbangan orang ramai bagi pembinaan asrama pelajar di maahad tersebut.

Terletak di Kampung Padang Lalang, Jalan Maran, maahad itu memerlukan kos kira-kira RM190,000 untuk menampung pembinaan asrama tersebut.

Mudirnya, Zarimi Abu Zih memberitahu, pihaknya menjangkakan asrama terbabit dapat disiapkan pada tahun depan.

Menurutnya, kewujudan asrama itu dapat menampung hingga 60 pelajar dan ia melibatkan fasa satu.

"Apabila asrama ini siap, kita boleh menambahkan jumlah pelajar kerana buat masa ini kita hanya boleh menerima 28 pelajar sahaja.

"Kita turut merancang untuk penambahan jumlah pelajar antara 30 atau 40 orang bagi sesi pembelajaran 2020 nanti," katanya lagi.

Maahad yang mula beroperasi pada tahun lalu terdiri 18 pelajar lelaki dan 10 perempuan berusia 14 tahun dan memiliki 15 tenaga pengajar iaitu enam guru tetap dan sembilan separuh masa.

Sementara itu, Zarimi turut memberitahu dua pelajar MTIS berjaya menjadi juara Majlis Ujian Kelayakan Tilawah dan Hafazan Al Quran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Peringkat Negeri Pahang 2018 di Uniten, Muadzam Shah, kelmarin.

Dengan kemenangan tersebut, Muhammad Aqasya Zulkelfe dan Hafsah Mohd Saiful, masing-masing berusia 14 tahun bakal mewakili Pahang pada Majlis Ujian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Zon Pantai Timur di Terengganu pada Ogos ini.
Menurutnya, sejuta penghargaan dan tahniah kepada semua tenaga pengajar, ibu bapa dan semua yang telah banyak menyokong maahad tersebut.

Orang ramai dan mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan terus ke dalam akaun Maybank (556057511595) ataupun CIMB (8602558450) di bawah nama Akademi Al Istiqamah ataupun hubungi talian 0199610849 untuk sebarang pertanyaan lanjut.RM190,000 kos diperlukan bina asrama.

No comments:

Post a Comment