Monday, July 23, 2018

8 Adun PAS hadir pembukaan sidang hari ini


Lapan orang Adun PAS yang terpilih dalam PRU 9 Mei lepas menyertai majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Mereka ialah Ustaz Rosli Abdul Jabar (Tanjung Lumpur),  Andansura Rabu (Beserah), Ustaz Shahril Azman Abd Halim (Jengka),  Ustaz Zakhwan Ahmad Badarddin (Tahan), Ustaz Zuridan Mohd Daud (Damak), Ustaz Mujibur Rahman Ishak (Chenor), Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya (Panching) dan Mohd Sofian Abd Jalil (Luit).

Untuk penggal pertama ini mereka akan berbahas selama tiga hari sepanjang minggu ini.


Penampilan 8 Adun PAS kali ini merupakan jumlah teramai sepanjang sejarah PRU di negeri ini biarpun bertanding bersendirian tanpa gabungan kali ini.

Kali akhir PAS Pahang merekodkan keputusan paling cemerlang ialah pada PRU 10 iaitu enam kerusi dan kemudiannya bergabung dengan Keadilan dan DAP di bawah Barisan Alternatif.

Pada PRU lepas PAS mencatatkan tiga kemenangan Dun iaitu Tanjung Lumpur, Beserah dan Kuala Semantan (Adunnya Syed Hamid keluar PAS selepas itu melompat ke PAN) di samping Parlimen Temerloh.

Namun kali ini PAS sekali lagi tampil dengan 8 kerusi Dun sekali gus bakal menjadi pembangkang yang kuat.

Buat pertama kali juga PAS dengan 8 kerusi dan PKR dengan 9 kerusi berjaya menafikan dua pertiga majoriti Kerajaan BN Pahang yang berstatus kerajaan pembangkang apabila di peringkat pusat kerajaan BN pimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak tewas kepada Pakatan Harapan yang dipimpin Tuan Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun PAS tidak memenangi sebarang kerusi parlimen kali ini

No comments:

Post a Comment