Wednesday, February 6, 2013

Tempat Saifuddin sepatutnya bukan dalam Umno

Membaca tulisan Ahli Parlimen Temerloh Dato’ Saifuddin Abdullah bertajuk “Mendidik, bukan mengherdik” dalam kolumnya di Sinar Harian pada 4 Februari lalu, saya terasa seolah-olah membaca komen seorang ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Bukan apa, kebanyakan idea yang diutarakannya tidak sesuai sama sekali dengan kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh.

Dalam tulisan tersebut, Saifuddin mengulas isu video “Listen, listen, listen” yang menjadi buah mulut ramai sedikit masa dulu. Katanya, video tersebut telah ditonton tidak kurang daripada 5 juta kali. Itupun, belum dicampur dengan komentar-komentar dalam Facebook, Twitter, blog dan sebagainya. Juga video/filem “2+2=5” dan “3 Idiots”, yang ada kaitan dengan video ini.

Seperti diketahui ramai, video popular itu menayangkan situasi KS Bawani, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), yang sedang bercakap dihentikan percakapannya oleh Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), dengan cara yang tidak sesuai, iaitu dengan nada suara yang meninggi dan menarik pembesar suara. Ini diikuti dengan Sharifah berleter terhadap Bawani yang senyum mendengarnya sebelum beredar ke tempat duduknya.

Insiden ini berlaku dalam Forum Suara Mahasiswa di UUM yang dihadiri kira-kira 2,300 mahasiswa UUM pada awal Disember 2012.

Pada saya, Saifuddin boleh menerima hakikat benar atau salah berdasarkan suasana, bukannya atas sentimen kepuakan.

Saya katakan ini, kerana ramai juga penulis tetapi hanya akan menulis dan menjatuhkan hukum halal sahaja apabila berbetulan dengan puaknya. Contohnya Dato’ Dr Nashitah Ibrahim, dia boleh menulis menghalalkan aktiviti pelacuran. Kerana apa? Kerana puak dan kumpulannya menghalalkan pelacuran.

Begitu juga dia menulis mengatakan boleh bersalam lelaki perempuan walaupun bukan mahram asal tiada nafsu, kerana apa? Kerana bersalam-salaman, bahkan berpeluk-pelukan itu amalan pemimpin dan pengikut partinya iaitu Umno.

Cuba perhatikan pendapat Saiffuddin ini:

“Pada saya, Sharifah sepatutnya membenarkan Bawani menghabiskan percakapannya. Kalaupun ingin menghentikannya, terdapat cara lain yang lebih baik. Selepas itu, Sharifah boleh tidak bersetuju dengan apa yang diutarakan Bawani. Tetapi, berhujahlah dengan bijaksana. Sekurang-kurangnya, tidak perlu menggunakan ayat yang membawa maksud adalah lebih baik Bawani meninggalkan Malaysia dan UUM.”

Cuba tengok pula dengan amalan juak-juak Umno jika menghadapi yang tidak aliran dengannya. Ambil saja Ambiga yang mengetuai Bersih 2.0, puak Perkasa dan ekstremis Umno yang sewaktu dengannya terus mahukan beliau dilucutkan kewarganegaraan dan dihalau dari negara ini.

Lagi contoh, Ahli Parlimen Maran Dato’ Ismail Mutalib dan Adun Kuala Sentul Dato’ Shahaniza Shamsuddin apabila mengulas tentang peneroka yang berlainan parti dengannya. Apa katanya? Dia mengcop peneroka tersebut tidak bersyukur, pengkhianat dan patut dihalau keluar dari Felda!

Itulah mentalitinya, walhal mereka berada satu kapal dengan Saifuddin.

Teliti lagi komen Saifuddin:

“Cara Sharifah yang berleter dan memperkecilkan Bawani adalah tidak baik. Beliau sepatutnya menggunakan cara yang lebih baik, misalnya, seperti yang ditunjukkan oleh ayat al-Quran, an Nahl:125, iaitu: dengan bijaksana, dengan pengajaran yang baik dan berdebat atau berhujah dengan cara yang terbaik.”

Apa maksudnya? Maksudnya sesorang yang yakin dnegan pendapatnya boleh berhujah dengan baik walaupun berhadapan dengan musuhnya. Bagaimana Presiden Umno Najib Razak? Digunakannya kesempatan dalam parlimen, dalam televisyen, atas pentas ceramah dan di mana-mana saja menghentam Anwar Ibrahim.

Akan tetapi apabila Anwar mempelawa berdebat, Najib jadi kecut-sekecutnya! Jadi itulah bezanya Saifuddin dengan Najib!

Saifuddin mengatakan, video Bawani menjadi “meletup” kerana insiden “Listen, listen, listen” atau yang seakan-akan dengannya selalu berlaku dalam masyarakat kita. Iaitu, Umno saja yang boleh bercakap, Umno saja yang betul.. orang lain semua salah. Umno tak boleh ditegur.

Kata Saifuddin: “Ia berlaku, antara lain, akibat “budaya takut” yang menular, contohnya: sebahagian guru/pensyarah tidak menggalakkan pelajar bertanya atau berhujah; sebahagian orang dewasa memperlekeh orang muda; salah tafsir undang-undang tertentu, seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan wujudnya peraturan-peraturan tidak munasabah; melabel orang yang berbeza pendapat; syarat-syarat mesti dipatuhi untuk mendapat sesuatu, contohnya, tinggal di asrama pelajar; takut dapat markah kurang atau tidak naik pangkat; dan sebagainya.”

Pada saya, yang dimaksudkan Saifuddin itu, bukan saja budaya takut, bahkan budaya taat setia. Umno dan BN kalau boleh mahu dikepilkan sekali dengan kerajaan dan negara. Maksudnya, kalau tak masuk Umno maknanya tak taatkan negara. Kalau lawan BN, mahu dikaitkan seolah-olah menentang kerajaan dan raja-raja!

Kalau boleh, itu yang Umno mahu semaikan sejak di bangku tadika hingga ke universiti!

Itulah Saifuddin, dia lain dari Umno yang lain. Bukan tentang itu saja, bahkan dalam kebanyakan isu beliau bercanggah sama sekali dengan pemimpin Umno. Ya, saya tahu kedua arwah ibu bapanya orang PAS, tetapi ada juga anak orang PAS yang tidak sepertinya.

Jadi bagi saya, Saifuddin ‘orang yang boleh berfikir’ di kalangan Umno, Cuma tempat berpijaknya saya rasa salah. Beliau sepetutnya berada dalam PAS atau PKR, bukan Umno.

Dalam Umno, biasanya orang yang cerdik akan menerima nasib sama seperti Hang Nadim dalam sejarah Melayu!



No comments:

Post a Comment