PEKAN: Setelah dimaki hamun, diusir dan diancam dengan parang Gerakan Mahasiswa (GM13) hari ini menghadapi satu lagi saat getir apabila dikepung dan diganggu oleh samseng Umno dalam kawasan parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini.
Sekitar pukul tiga petang tadi kumpulan Pemuda Umno Pekan itu telah mengepung mahasiswa dan mendesak mereka untuk keluar dari daerah Pekan serta-merta.
Menurut sumber yang menghubungi Harakahdaily, kekecohan juga tercetus apabila ada ahli PAS yang cuba menasihati kumpulan Pemuda UMNO itu supaya bertenang kerana kejadian berlaku betul-betul di bawah Pejabat PAS Kawasan Pekan, di bandar ini.
Dalam suasana tegang dan kekecohan tersebut ada ahli GM13 dikasari dan ditampar serta ada mahasiswi ditarik tudung walaupun mereka tidak melawan.
Beberapa ahli PAS yang kebetulan berada disitu membantu mengiring mahasiswa untuk kembali ke penginapan mereka di Kampung Rompin Lama dan diiringi sebuah kereta peronda Polis.
Bagaimanapun, kumpulan samseng itu terus mengekori mahasiswa ke penginapan mereka dan menunggu seta mendesak supaya mahasiswa mesti keluar dari Pekan pada petang ini juga.
GM13 datang ke Pekan Ahad lalu dalam usaha melakukan ziarah, mengedar risalah, kerja gotong-royong dan bersukan dengan pemuda tempatan.
Mereka memulakan aktiviti di Dewan Undangan Negeri Pulau Manis di mana diherdik dan diusir oleh Adun di situ sendiri.
Hari kedua di Dun Chini, mereka bukan saja disekat bahkan dua kali diugut dengan parang oelh samseng Umno.
Semalam mereka berada di Dun Bebar juga ditunggu dan diringi oleh samseng.
Hari ini mahasiswa berkenaan di Dun Peramu Jaya iaitu melibatkan kawasan bandar Pekan dan sekitarnya. Aktiviti pada sebelah pagi tidak diganggu sehinggalah mereka dikepung pada sebelah petangnya.
Sementara itu, rata-rata berpendapat kejadian ini tidak sepatutnya terjadi dalam sebuah negara demokrasi dan berlaku pula di parlimen Perdana Menteri yang telah mengumumkan transformasi demokrasi.
Bagi mereka, cara berpolitik samseng sepatutnya sudah berlalu kerana hanya diamalkan pada zaman kuno. Mereka kesal, kefahaman ini tidak diterapkan oleh Najib kepada warga parlimennya sendiri.
Banyak juga pihak kesal dengan Umno yang mengupah samseng sedangkan aktiviti mahasiswa yang 100 peratus berbangsa Melayu dan beragama Islam itu tidak menyalahi undang-undang selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti di parlimen baru-baru ini.
~ Suasana tegang di bawah pejabat PAS apabila samseng Umno beramai-ramai mengepung mahasiswa.
~ Seorang samseng Umno tidak dapat mengawal perasaan memekik memarahi mahasiswa.
No comments:
Post a Comment