Friday, February 1, 2013

MB Pahang: JJ ganti Adnan?

Spekulasi siapa bakal menjadi Menteri Besar (MB) Pahang yang baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 sekiranya BN terus berkuasa, sudah acap kali diperkatakan umum. Tetapi oleh kerana ia spekulasi, sifatnya ialah tenggelam timbul.

Namun begitu, spekulasi tersebut hangat diperkatakan kembali baru-baru ini apabila bekas Duta Besar (bertaraf menteri) ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, turun menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis rasmi di Parlimen Pekan.

Antara yang merancakkan spekulasi tersebut termasuklah blog-blog yang menganalisis persaingan politik di negeri Pahang.

Memang sebelum ini, nama Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Rompin, disebut-sebut bakal menggantikan Datuk Seri Adnan Yaakob. Selain beliau, dua orang Exco Kerajaan Pahang iaitu Datuk Sharkar Shamsuddin dan Datuk Wan Adnan Wan Mamat serta Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah turut disebut-sebut.

Seorang wartawan veteran yang juga pengamat politik negeri Pahang ketika ditanyakan berhubung isu tersebut, tidak menolak kemungkinan jawatan Menteri Besar Pahang yang ketika ini disandang Adnan bakal bertukar tangan.

Katanya, perkara itu normal kerana tidak salah jika
Najib mahu membina imej baru jika mendapat mandat pertama kerajaannya dalam PRU nanti. Adnan dari rejim lama, dilantik oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed pada 25 Mei 1999, menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob yang ‘ditarik’ ke Pusat sebagai Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno.

‘Report card’ pentadbiran Adnan boleh dinilai dan dihukum melalui kritikan-kritikan oleh Ketua Audit Negara berdasarkan kelemahan dalam perbelanjaan dan pelaksanaan projek. Pada masa yang sama, hutang dan prestasi kewangan negeri juga teruk berdasarkan hampir setiap tahun mengalami defisit dalam bajet tahunan negeri.

Di bawah pentadbiran Adnan, dikaitkan juga dengan kurangnya usaha-usaha baru untuk menambah pendapatan negeri. Selain daripada itu, negeri Pahang juga tampak ketinggalan dalam pelancongan walaupun berkedudukan strategik dan mempunyai segala daya tarikan.

Umum juga masib ingat kontroversi-kontroversi dicetuskan Adnan daripada menunjukkan buntut dan isyarat lucah pada pilihan raya kecil Sanggang, hinggalah kepada mengajak Orang Asli (yang berhimpun di hadapan pejabatnya) bertumbuk. Sindiran terbaru terhadap Adnan ialah beliau mencabar jika Parlimen Bentong (yang ditandingi MCA) kalah kepada DAP, beliau rela ‘dikerat telinga’ dan terjun dalam Sungai Pahang.

“Semua itu ada kemungkinan menyebabkan Najib tidak mahu memikul kontroversi yang dibawa Adnan jika mahu tampil dengan imej baru mandat baru,” kata wartawan veteran berkenaan yang mendakwa pernah agak rapat dengan Najib.

Jika demikian, adakah JJ (gelaran popular Jamaluddin Jarjis di kalangan rakan-rakannya) merupakan cita rasa Najib?

JJ adalah kenalan lama Najib sejak dulu. Sudah tentu Najib mahu “orangnya” bagi memperkukuhkan kedudukannya di Pahang. Bukan rahsia lagi, Adnan dikaitkan sebagai orang Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pada masa dulu.

Selain rakan karib Najib, JJ sendiri adalah orang Pekan (sebelah ibu) dan pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Pekan sebelum berpindah ke Bahagian Rompin.

Dari segi akademik pula, beliau anak Pahang pertama lulusan tertinggi dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal. Justeru jika ilmu dan pengalamannya menjadi taruhan untuk memajukan negeri Pahang, kriteria tersebut ada padanya.

Beliau merupakan bekas menteri pusat. Jawatan tarakhirnya ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Beliau juga bekas Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB). Semasa menjadi pengerusi itulah beliau telah membawa kampus Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke Muadzam Shah.

Kedudukan JJ sebagai bekas Penaung Persatuan Pengilang-pengilang Bumiputra Malaysia, dijangka mampu menarik lebih banyak pelaburan industri ke Pahang.

Memang ada yang berhujah, JJ pernah dikaitkan dengan satu kes moral beberapa tahun dahulu sehingga ‘dihantar’ menjadi duta bertaraf menteri ke Amerika Syarikat. Tetapi ramai pula yang berpendapat, kes tersebut hanya diketahui oleh mereka yang mengikuti perkembangan politik di media baru sahaja. Sedangkan di Rompin sendiri perkara tersebut tidak terhebah.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Shukri Ahmad, mengesahkan bahawa sudah ada juru kempen Umno di sana turun sambil membisikkan JJ bakal MB Pahang yang baru.

Umum mula mengandaikan, jika JJ bertanding di peringkat negeri, adakah beliau akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Muadzam Shah iaitu menggantikan tempat Datuk Maznah Mazlan? Maznah menang kerusi Dun tersebut pada PRU 2008 tetapi dilantik sebagai senator bagi mengisi jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia selepas Najib dilantik Perdana Menteri Malaysia pada 3 April 2009.

Jadi Maznah atas sifatnya sebagai timbalan menteri, akan bertukar dengan JJ untuk bertanding di Perlimen Rompin sebelum tamat tempoh sebagai senator. Tetapi ada juga yang mengatakan jika JJ benar-benar akan menggantikan Adnan sebagai MB, beliau mungkin bertanding di Dun Bukit Ibam iaitu di kerusi penyandangnya sekarang Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz.

Tetapi Sahfri merupakan Exco Kerajaan Negeri Pahang. Apakah beliau terpaksa berkorban atau bertukar kerusi dengan JJ.

Bagaimanapun persoalan sebenar tertimpa kepada Adnan. Jika JJ benar-benar dipertaruhkan di kerusi Dun untuk menjadi MB, Adnan yang kini sebagai wakil rakyat Dun Pelangai, di mana pula akan bertanding? Apakah kerjayanya berakhir bersama penggal PRU ke-12?

Pelbagai andaian dibuat. Tetapi yang popularnya ialah beliau akan bertanding di kerusi parlimen bagi membolehkan dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri jika menang.

Beliau tidak boleh bertanding di Parlimen Bentong kerana kerusi tersebut diperuntukkan untuk MCA. Jadi ada yang berkata mungkin Adnan akan bertanding di Parlimen Kuantan, satu lagi kerusi MCA tetapi kalah pada PRU lalu, bagi menentang Fuziah Salleh. Menurut andaian ini, Adnan akan ‘menebus’ kerusi yang asalnya milik Umno itu atas desakan Umno Bahagian Kuantan. Ada yang berkata, Adnan perlu menentang Fuziah bagi membuktikan projek Lynas diterima penduduk Kuantan tidak seperti mana dakwaan Fuziah projek tersebut ditolak penduduk.

Tetapi yang lebih popular ialah ada ura-ura Adnan akan bertanding di Paya Besar menggantikan Datuk Abdul Manan Ismail yang akan ditarik bertanding di Dun. Kebetulan, Abdul Manan tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam Umno bahagian berkenaan.

Nampaknya debaran PRU bukan sahaja menjadi percaturan siapa menang antara Pakatan Rakyat dan BN, tetapi perbualan pemerhati-pemerhati politik kini turut menjurus kepada siapa yang akan tersingkir dan siapa yang akan tersungkur.









No comments:

Post a Comment