Friday, November 30, 2012

Netbook tak boleh guna, surat saman pula sampai

TEMERLOH: “Harapkan apabila dapat netbook daripada kerajaan dapatlah membantu pelajaran anak, tetapi rupa-rupanya langsung tidak boleh digunakan kerana ketiadaan internet.

“Sudahlah begitu, kini sampai pula surat saman minta dijelaskan walhal netbook itu tidak pernah digunakan,” demikian keluh seorang pesara kerajaan ketika mengadu di pejabat PAS Pahang di sini hari ini.

Rameli Kassim, 57, berkata pada April tahun lalu anaknya Raida Syahiza menerima netbook percuma melalui Sekolah Menengah Dato Bahaman Lanchang, tetapi tidak boleh digunakan kerana kawasan internet percuma hanya berada 60 kilometer dari rumahnya di Taman Bunga Raya.

Menurutnya, kira-kira sebulan selepas anaknya menerima netbook, telah sampai bil menuntut bayaran caj internet sebanyak RM25 (sebulan) sedangkan ia tidak pernah digunakan.

“Saya kemudian pergi ke pejabat TM di Mentakab mengadu hal berkenaan dan minta ditamatkan perkhidmatan kerana tidak pernah sekalipun menggunakan internet,” jelasnya.

Tambahnya, bil tuntutan tetap sampai setiap bulan sehinggalah beliau menerima notis tuntutan daripada peguam TM yang meminta dijelaskan tunggakan sebanyak RM302.05 dalam masa tujuh hari.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, yang beliau kesalkan ialah tidak ada pihak sekolah ataupun TM sendiri yang menerangkan kepadanya tentang pakej atau syarat tertentu semasa menerima netbook itu dulu.

Tegasnya lagi, beliau sudah mengadu kepada unit aduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tetapi tiada sebarang respons.

“Apa yang saya harapkan ialah keadilan kepada saya. Wang RM300 itu mungkin dianggap kecil oleh sesetengah orang, tetapi dalam keadaan kos hidup yang melambung tinggi ini tentulah tidak patut untuk saya bayar apa yang saya tidak pernah guna,” tegasnya.



Rameli menunjukkan surat tuntutan tunggakan bil internet yang tidak pernah beliau gunakan


Thursday, November 29, 2012

Ibu mufti Pahang kembali ke rahmatullah

Ibu mufti Pahang Dato' Abdul Rahman Othman, kembali ke rahmatullah seawal jam dua pagi semalam (Rabu) di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Dikenali sebagai "Makcik Minah" di kalangan penduduk kampungnya Lebak, Temerloh meninggal dunia dipercayai sakit tua. Beliau sempat dimasukkan ke hospital berkenaan dikatakan berkaitan sesak nafas.

Beliau sebelum itu tinggal di rumah mufti dan seorang lagi anaknya Ustaz Sarafuddin Aisa, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah di Jabatan Agama Islam Pahang, yang tinggal bersebelahan di Sungai Isap Damai, Kuantan.

Seorang lagi anaknya tinggal di sebelah kediamannya di Lebak iaitu Madani.

Makcik Minah juga ialah balu kepada bekas Tuan Kadhi Daerah Temerloh Tuan Haji Othman.

Arwah mempunyai pertalian keluarga dengan isteri saya.

Kali terakhir keluarga kami bertemu Allahyarhamah ialah ketika menziarahinya pada hari raya pertama Eidilfitri tahun ini.

Jenazah dimandikan di masjid Lebak dan siap disemadikan tanah perkuburan kampung berkenaan sekitar jam dua petang.

Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama-sama para solehin.... amin.


Ugutan Shahrizat standard JKKK

Kenyataan Terbuka
29 November 2012

Ucapan emosi Shahrizat penuh perang saraf bertaraf JKKK Umno

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Segmentasi Wanita Muda berasa terkejut dengan ucapan ketua wanita Umno yang merupakan bekas menteri wanita yang terlepas jawatan kerana kes skandal RM250j melibatkan keluarganya.

Wanita Muda SAMM menegaskan ucapan tersebut penuh pembohongan, propaganda jahat yang mencetus sentimen perkauman dan juga memperbodohkan pendengar. Ini mendedahkan hakikat sebenar cara pemikiran pemimpin Umno dulu, kini dan selamanya.

Antara pembohongan Sharizat ialah kononnya kuasa politik melayu ibarat telur hujung tanduk selepas PRU-12 tahun 2008, kononnya kuasa atau suara melayu dalam Parlimen Malaysia mengecil. Sama ada sharizat berbohong atau dibohong oleh penulis ucapanya, nyata ia bercanggah dengan kedudukan sebenar.

Untuk pengetahuan Sharizat, tahun 2004 ketika BN dan Umno kuat hingga meraih kemenangan terbesar dalam sejarah PRU negara, jumlah ahli parlimen Melayu ialah 123 orang manakala pasca PRU 2008 ketika Umno Bn lemah menyaksikan jumlah ahli parlimen Melayu meningkat kepada 130 orang. Jumlah MP melayu ini meningkat kerana Pakatan Rakyat telah meletakkan lebih banyak calon melayu. Calon melayu PR juga diakui dan diterima baik oleh pengundi bukan melayu.

Satu fakta lagi, kerusi MP Melayu berkurangan apabila Pilihanraya kecil Hulu Selangor berlaku selepas kematian Datuk Zainal (PKR) merekodkan calon MIC BN menang hasil bantuan Umno yang bersungguh-sungguh menewaskan calon melayu PKR.

Maka apa yang disebut Sharizat itu ternyata meleset. Tiada masalah komposisi kaum dari kalangan PR walaupun melayu dominasi, PR tetap mendapat sokongan bukan melayu dan kuasa melayu terpelihara. Apa yang lebih diutamakan ialah ketelusan dan kecekapan dalam pentadbiran, tidak rasuah, dan rakyat diutamakan dalam erti kata sebenar, bukan retorik.

Wanita Muda SAMM tidak menafikan Melayu banyak tercicir dan hilang hak seperti bahasa Melayu yang diminimakan dan Tanah Rizab Melayu yang menyusut banyak. Siapakah yang menjadi dalang penyusutan kuasa melayu yang sebenar dari aspek penguasaan hartanah?

Contohnya, kehilangan besar tanah rezab melayu yang tidak berganti di Johor dan Negeri Sembilan. Tanah Rezab Melayu di bawah kuasa kerajaan negeri, jadi apakah kedua-dua negeri yang paling banyak kehilangan Tanah Rezab Melayu itu dikuasai oleh Pakatan Rakyat? dikuasai DAP atau PAS? Atau Umno yang gadai tanah dan bangsa melayu!

Sudahlah Sharizat, anda sememangnya pemimpin yang 'contaminated' tetapi agak malang bagi Umno kerana masih mengangkat pemimpin sebegini. Ini mungkin bermakna Umno sudah teruk tahap tercemarnya.

Perhimpunan Umno saban tahun tidak lagi dianggap suara keramat, tetapi hanya menjadi bahan tertawa rakyat yang sudah jelak dengan retorika eksotik Umno.

Young Syefura Othman
Penyelaras
Wanita Muda SAMM

Wednesday, November 28, 2012

Penduduk tagih jambatan janji PRU

BERA: Lebih 5,000 penduduk dari enam perkampungan Melayu sepanjang Sungai Pahang di sini, menagih janji setiap kali pilihan raya umum (PRU) membina segera sebuah jambatan bagi mengurangkan jarak perhubungan untuk pelbagai urusan.

Penduduk-penduduk kampung Guai, Tok Biah, Jelam Seberang, Selindang, Charok Puting dan Batu Bor mendakwa dengan ketiadaan jambatan menyebabkan kampung mereka yang dipisahkan oleh Sungai Pahang, menyukarkan untuk ke bandar Bera bagi urusan rasmi.

Menurut mereka, tanpa perhubungan tersebut juga menyulitkan aktiviti seharian seperti mengeluarkan hasil pertanian, persekolahan anak-anak, urusan ke pejabat tanah dan daerah serta hal-hal kekeluargaan yang berada di kiri kanan Sungai Pahang.

Kekesalan penduduk berhubung perkara tersebut disuarakan menerusi memorandum yang diserahkan penduduk kepada Konvoi Cakna Rakyat diketuai Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun Guai, Musaniff Abdul Rahman, berkata dengan ketiadaan jambatan penduduk terpaksa keluar ke bandar Bera melalui Temerloh atau Maran yang jaraknya lebih lima kali ganda berbanding sekiranya terdapat jambatan yang menghubungkan kampung-kampung berkenaan ke destinasi.

Menurutnya, bukan sahaja menghadapi kerumitan untuk berurusan ke pusat pentadbiran daerah Bera kerana jarak yang jauh, penduduk yang mempunyai kebun di kampung berkenaan sebagai sumber ekonomi juga berdepan masalah.

“Bayangkan mereka terpaksa menanggung kos pengangkutan dan input bahan pertanian termasuk kos buruh yang mahal kerana jarak jauh.

“Malah, keadaan ini turut dirasai ibu bapa dari seberang sana yang menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Menengah Agama Al-Ittifqiah di kampung Guai, yang merupakan satu-satunya sekolah menengah agama di sini. Begitu juga penduduk seberang sini yang mahu menghantar anak ke sekolah menengah kebangsaan di seberang sana,” katanya.

Musaniff berkata, jika jambatan dibina pasti memudahkan perhubungan penduduk yang tinggal di kedua-dua belah tebing Sungai Pahang itu sekali gus mampu meningkatkan ekonomi penduduk dan pendapatan majlis daerah.

Tambahnya, bukan sahaja penduduk Bera malah pengguna jalan raya dari Pantai Timur juga boleh menggunakannya untuk memendekkan jarak perjalanan ke selatan tanah air dan Singapura.

Labur projek lain boleh, kenapa jambatan tak boleh?

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan, Sulaiman Mohamad pula berkata, keadaan itu sebenarnya merugikan pendapatan daerah kerana hasil ekonomi dari tiga kampung terbabit disalurkan ke Temerloh atau Maran kerana kedudukannya yang lebih dekat.

Katanya, selama lebih 55 tahun atau sejak zaman dahulu penduduk terpisah, tiada jalan penyelesaian diadakan sedangkan pemimpin parti kerajaan berkempen untuk membina jambatan setiap kali PRU.

“Jika dulu, mungkin tidak menimbulkan masalah kerana masing-masing menggunakan bot sendiri untuk menyeberang. Tetapi sekarang, bukan semua orang ada bot atau perahu melainkan mereka yang mencari rezeki di sungai itu.

“Jadi sudah tiba masanya penduduk di enam kampung dan seberangnya mendapat perhatian terutamanya dari aspek kebajikan dan kemudahan infrastruktur. Apa lagi Ahli Parlimen Bera sekarang (Datuk Seri Ismail Sabri) merupakan seorang menteri,” tegasnya.

Menurutnya, Bera adalah satu-satunya daerah di negeri ini yang masih belum mempunyai jambatan merentangi Sungai Pahang bagi menghubungkan warganya daerah ini sendiri.

“Kalau projek lain kerajaan boleh melabur atau menyediakan berjuta-juta ringgit, kenapa tidak untuk pembinaan jambatan ini?

“Saya percaya kosnya tidak mungkin mencecah RM10 juta sedangkan manfaatnya tidak mustahil boleh digunakan berjuta-juta rakyat sebagai laluan berulang alik,” katanya.

Pada penghujung program berkenaan, wakil penduduk Ahmad Chik, menyerahkan memorandum kepada Tuan Ibrahim dengan harapan agar PAS Pahang dapat memanjangkan memorandum berkenaan kepada pihak berkuasa.


GAMBAR

1.Ahmad Chik menyerahkan memorandum penduduk kepada Tuan Ibrahim, turut kelihatan Musaniff dan Sulaiman

2.Penduduk bergambar bersama Tuan Ibrahim, di hadapan jeti yang digunakan penduduk setiap hari.



Tuesday, November 27, 2012

Cadangan ekstrim tangani longlai skuad bola kebangsaan

Kenyataan Terbuka
26 November 2012

Jika Skuad Kebangsaan Gagal ke Separuh Akhir, Presiden FAM dan Timbalan Wajar Undur

Atas rasa tanggungjawab sebagai penggerak dan pelopor anak muda tanahair, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) merasakan sudah tiba masanya keputusan drastik harus dibuat bagi menyelamatkan bolasepak negara dari terus merundum.

Bolasepak merupakan sukan nombor satu negara, sukan yang paling diminati dari puluhan jenis sukan popular. Mustahil rakyat Malaysia tidak nampak apakah kelemahan dan kekurangan sebenar dan mustahil rakyat tidak tahu apakah faktor yang menyebabkan bolasepak negara tidak bermaya. Benarkah negara ini ketandusan bakat pemain sehingga gagal menyerlah dalam peringkat antarabangsa?

Percayalah bahawa negara ini tidak ketandusan pemain berbakat dan tidak juga ketandusan kepimpinan yang sebenarnya mampu membawa bolasepak negara ke tahap yang lebih baik. Cuma badan sukan bolasepak negara gagal menjalankan tanggungjawab tetapi tidak pula mengambil tanggungjawab dalam setiap kegagalan tersebut.

Puluhan tahun masa telah diberi, ratusan juta malah bilion ringgit telah dihabiskan, namun prestasi pemain kebangsaan bukan sahaja berada di takuk lama malah kini lebih jauh ketinggalan. Harus diingat, duit yang digunakan untuk pembangunan bolasepak itu adalah duit rakyat maka hasrat rakyat terbanyak harus diambil kira.

Sebagai sukan nombor satu di Malaysia, pastinya majoriti peminat mahukan prestasi terbaik mengikut kadar peruntukkan yang telah dilaburkan. Jika prestasi merosot pasti menimbulkan khuatir di kalangan peminat kerana telah banyak kali peluang telah diberikan untuk pasukan kebangsaan bangkit semula.

Bukan kali pertama bolasepak negara dilihat jatuh merundum, ia telah berlaku banyak kali termasuklah kemuncaknya pada tahun 2007 apabila Malaysia dibelasah teruk dalam ketiga-tiga perlawanan Piala Asia 2007. Malaysia tewas 0-5 kepada China, 0-5 kepada Uzbezkistan dan 0-2 kepada Iran walaupun ketika itu Malaysia sebagai tuan rumah bersama. Siri kekalahan memalukan itu berakhir dengan perletakkan jawatan Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah pada akhir Julai 2007. Ia juga kemuncak kedudukan tercorot pada awal 2008 apabila Malaysia menduduki tangga ke 170 dunia.

Perletakkan jawatan Tengku Abdullah merupakan satu keputusan yang tepat kerana bolasepak negara selepas itu kembali bersinar apabila bukan sahaja berjaya memperolehi pingat emas bolasepak sukan SEA kali pertama selepas dua dekad, malah pasukan Harimau Malaya turut berjaya menjuarai piala AFF edisi 2010 buat kali pertama dalam sejarah. Bolasepak negara kembali rancak, penyokong kembali memenuhi stadium dan Harimau Malaya kembali digeruni.

Namun sinar kebangkitan bolasepak tanahair dilihat tidak bertahan lama, tidak terus bangkit sepertimana yang diharapkan. Bolasepak negara hari ini disaksikan semakin tidak bermaya dengan permainan yang longgar tidak menunjukkan kegarangan.

Dalam beberapa perlawanan persahabatan kita tewas ditangan pasukan Vietnam dan Thailand. Pasukan malaysia juga hanya mampu seri dengan Hongkong, hampir tewas ditangan pasukan Filipina yang pernah kita tumbangkan dengan jaringan super besar 15-1. Baru-baru ini juga Kita gagal melepasi pasukan bolasepak Bangladesh sedangkan Thailand membelasah pasukan yang sama dengan jaringan lima gol tidak berbalas. Di manakah tahap sebenar permainan kita hari ini?

Semalam, Harimau Malaya bagaikan patah kaki apabila dibelasah tiga gol tidak berbalas oleh pasukan Singapura. Ini satu petunjuk jelas, bolasepak negara sekali lagi dalam bahaya. Persoalannya sampai bila? Wang berjuta diperuntukkan bukan untuk dihabis dengan hasil sebegini rupa?

Apakah yang sebenarnya perlu dilakukan? Presiden dan Timbalan Presiden FAM harus berundur?

Walaubagaimanapun, SAMM tetap optimis untuk melihat kejuaraan Piala AFF Suzuki dipertahankan oleh pasukan kebangsaan. Malaysia masih mempunyai peluang yang baik untuk mara ke separuh akhir setelah dibantu keputusan seri di antara Indonesia dan Laos. Terlebih dahulu Malaysia perlu membenam Laos sebelum membenam Indonesia dalam baki perlawanan kumpulan. Keputusan seri tidak banyak membantu dan jika kalah, maka ucapan selamat tinggal Piala AFF boleh dilafazkan.

Kita anak muda harus bersikap adil dalam perkara ini, peluang terakhir harus diberi sebelum sebarang keputusan drastik didesak. SAMM tetap menyokong pasukan kebangsaan sedia ada hingga ke wisel penamat dan menggesa orang ramai turun ke Bukit Jalil memberi sokongan mengambil kesempatan sebagai tuan rumah kejohanan. Sekurang-kurangnya peringkat separuh akhir kejohanan harus dijejak dan kejuaraan Piala AFF harus dipertahankan.

Namun sekiranya pasukan negara gagal melangkah ke peringkat separuh akhir, ia suatu perkara yang sukar diterima. Maka dengan keputusan seperti ini SAMM merafak sembah memohon supaya YM Presiden dan juga Timbalan Presiden FAM, memberi pertimbangan untuk melepaskan jawatan masing-masing, demi bolasepak negara.

SAMM juga mencadangkan Tan Sri Annuar Musa dilepaskan dari hukuman gantung FAM yang dikenakan ke atas beliau, dan Anwar Musa juga merupakan susuk paling berkaliber untuk dilantik sebagai Presiden FAM berdasarkan prestasi beliau dalam pengurusan dan pembangunan bolasepak peringkat negeri dan kebangsaan.

Inilah menifestasi anak muda yang ingin melihat bolasepak negara diselamatkan selain mengekang pembaziran melampau duit rakyat ke atas sukan bolasepak jika hasilnya tidak berbaloi.

Edy Noor Reduan
Solidariti Anak Muda Malaysia

Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang 9 Disember

TEMERLOH: Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pahang akan diadakan pada 9 Disember ini di Dataran Rakyat, Kerdau dengan tema “Ubah Sekarang Selamatkan Pahang”.

Menurut Pengarah Himpunan Dr Hamzah Jaafar, program disertai oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), STOP LYNAS, BERSIH, HIJAU MALAYSIA, KERABAT dan ROYALTI.

Katanya, program akan bermula pada jam 2 petang dengan acara konvoi bermotorsikal Pemuda Pakatan Rakyat. Kemudian diikuti dengan program santai anak muda yang melibatkan artis, golongan pemuda dan wanita serta kebudayaan Orang Asli.

“Pidato pada sebelah malamnya akan disampaikan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Kebangsaan Lim Kit Siang, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Kebangsaan Tuan Haji Mohammad Sabu.

“Himpunan ini mensasarkan kehadiran seramai 30,000 orang dan himpunan ini bakal mencatatkan sejarah kerana ia akan dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat yang berbilang kaum termasuk orang asal,” katanya dalam sidang media di pejabat PAS Pahang sebentar tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid dan Naib Pengerusi DAP Pahang Koh Boon Heng. Kedua-duanya merupakan timbalan-timbalan pengarah program tersebut.

Himpunan berkenaan merupakan yang keempat selepas diadakan di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan sebelum sampai ke kemuncaknya di Kuala Lumpur pada Januari akan datang.

Dr Hamzah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, di antara objektif diadakan himpunan ini ialah untuk menggembeleng kekuatan rakyat bersama Pakatan Rakyat dalam menentang Kezaliman BN.

“Himpunan ini juga bertujuan untuk menyedarkan rakyat mengenai kepentingan pilihan raya yang adil dan media bebas. Di samping memberikan maklumat sebenar terutama mengenai isu pemberian BRIM dan belanjawan rasuah BN.

“Justeru itu kami menyeru rakyat di segenap peringkat bagi penyertai program penting ini bagi menyatakan sokongan untuk melakukan perubahan dengan mendengar amanat terakhir sebelum pilihan raya daripada pimpinan,” tegasnya.


Tahniah pejalan kaki Lynas



Dalam pada itu Timbalan Ketua MPP Pahang Ahmad Nizam Hamid mewakili Pakatan Pahang merakamkan ucapan tahniah kepada pejalan-pejalan kaki anti Lynas dari Kuantan yang selamat sampai ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur semalam.

“Kami juga menyeru Kerajaan Pahang ambil serius tentang suara hati rakyat yang menolak Lynas. Masih belum terlambat untuk hentikan projek ini. Lagipun Kerajaan Pusat sudah umumkan Pahang akan mendapat royalti petroleum,” katanya.


~ Harakahdaily


Monday, November 26, 2012

Makan durian, main ular di pesta Dun Lanchang

Sambutan hari MTD Lanchang semalam disambut meriah.

Program yang diadakan sejak awal pagi di Darul Ansar, Chempaka tidak putus-putus dikunjungi oleh orang ramai.

Program diisi dengan program motivasi, pesta makan durian dan pertunjukan permainan ular oleh Abu Zarin, pakar yang dijemput dari Kuantan pada sebelah petangnya.

Kanak-kanak merupakan golongan paling gembira walaupun hujan tidak henti-henti, apabila diberi peluang mengusap ular tedong yang paling bisa di Asia Tenggara. Gula-gula turut disediakan.

Orang dewasa pula kelihatan asyik membaham durian dan rambutan.

Pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah perdana. Penceramahnya ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Haji Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Baling Datuk Taib Azzamuddin dan Yang Dipertua PAS Temerloh Hj Jusoh Darus.



~ OKU sempat bergambar dengan memeluk ular bersama urusetia program.



Wednesday, November 21, 2012

Anti Lynas bergerak dari Bentong

BENTONG: Kumpulan Hijau Anti Lynas yang berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Kuantan untuk ke Dataran Merdeka dan parlimen, hari ini meneruskan perjalanan sejauh kira-kira 12 kilometer lagi dari bandar ini ke Kolam Air Panas, jalan Kuala Lumpur lama.

Ini bermakna hanya tinggal kurang lebih 45 kilometer sahaja lagi dalam masa empat hari, untuk mencapai sasaran.

Rombongan asal 100 orang itu memulakan perjalanan pagi Selasa dari Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, sebelum berhenti dan bermalam di beberapa lokasi iaitu Gambang, Sri Jaya, Maran, Mentakab, Lanchang, Karak dan Bentong.

Jumlah mereka bertambah sehingga 200 ke 400 orang apabila tiba di beberapa perhentian dengan disertai penduduk setempat.

Perjalanan tersebut dianjurkan oleh beberapa buah pertubuhan (NGO) anti Lynas berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan 8 November lalu yang menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) sekali gus memutuskan kilang tersebut dibenarkan beroperasi di Gebeng.

Menurut pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tuck, yang mengetuai kempen berjalan kaki itu berharap, kempen akan berlangsung selama 10 ke 13 hari dengan sasaran jarak perjalanan ditetapkan sekitar 30 kilometer sehari untuk sampai ke Dataran Merdeka pada 25 November ini.

“Kami mendapat sokongan padu sepanjang perjalanan setakat ini termasuk disediakan makan minum, penginapan dan penyokong setempat yang sanggup memberi sokongan moral berjalan sama. Setiap malam dianjurkan ceramah dan forum anti Lynas.

“Pagi esok kami akan meneruskan berjalan kaki ke Karak dan lusa ke Bentong hinggalah sampai ke Dataran Merdeka dan bangunan parlimen untuk menyampaikan bantahan,” katanya.

Semalam mereka disambut di hadapan Masjid Ketari. Turut menyambut Yang Dipertua PAS Bentong Ustaz Hamid bahatim.

Turut menyertai kempen jalan kaki itu ialah NGO anti Rapid Pengerang, anti Sinida Raub, 12 orang Pribumi Sarawak yang membantah projek Hidroelektrik di negeri itu, ahli jawatankuasa Pemandu BERSIH dan wakil dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang.

Dua belas ahli PAS Lanchang turut menyertai rombongan dari Lanchang ke Bentong.

GAMBAR

GAGAH... Peserta jalan kaki anti Lynas sedang berjalan kaki dari Karak ke Lanchang

Disambut meriah oleh penduduk Bentong di hadapan Masjid Ketari

Raja Bob dari PKR Temerloh bertugas mengawal lalu lintas

Ustaz Hamid yang menyambut rombongan anti Lynas, sedang ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen



Monday, November 19, 2012

JJ ketuai taktik kotor PRU?

MENTAKAB: Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan rakyat supaya bersedia dan waspada menghadapi taktik paling kotor oleh Umno dalam ‘ibu segala pilihan raya’ yang akan datang bagi mengekalkan kuasa mereka.


Bercakap dalam majlis petang bersama penduduk di sini petang semalam, Anwar berkata, beliau mendapat maklumat segala taktik jahat dan kotor itu akan didalangi oleh Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.

“Tapi saya sendiri sudah mengingatkan Jamaluddin (JJ) agar jangan melakukan sesuatu di luar batas dalam PRU akan datang,” katanya dalam hujan lebat itu.

JJ yang juga duta negara bertaraf menteri ke Amerika Syarikat, sebelum ini dikaitkan sebagai sahabat karib Najib sejak dahulu dan disebut-sebut bakal MB Pahang jika BN menang pada PRU akan datang.

Anwar dalam rangka lawatan sehari ke Pahang dalam Jelajah rakyat. Pada sebelah paginya beliau bertemu rakyat di Kuantan termasuk di Tasik Paya Bungor, kemudiannya ke Maran dan Jengka 6 sebelum ke Mentakab.


Kira-kira 2,000 orang penyokong Pakatan menunggu Anwar di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab dan ramai yang pulang apabila hujan lebat turun serta angin kencang.

Namun begitu lebih ramai yang tidak berganjak menunggu Anwar sehingga tokoh kebanggaan mereka itu sampai sewaktu hujan lebat dengan bas dua tingkat. Beliau menceritakan sambutan hangat menandakan akan berlaku perubahan sepanjang jelajahnya termasuk di Kota Bharu dan Kemaman sebelum itu.

Turut berceramah Exco Selangor Elizabeth Wong dan ahli parlimen William Leong.

Sementara itu Anwar mendedahkan kejahatan SPR dengan menamakan seorang pengundi yang lahir pada tahun 1982 dan menjadi pengundi berdaftar sehari selepas hari kelahirannya.

Dalam pada itu, pendengar yang berhujan tidak bosan apabila Anwar banyak berseloka dalam ceramahnya. Beliau sempat menyampaikan dua buah lagi sambil diiringi orang ramai.

Belaiu mendendangkan lagu kebiasaannya: “Madu di tangan kananmu PR, racun di tangan kirimu BN. Aku dah tahu, dah tahu mana satu pilihan ku...”

Lagu kedua ialah: “Tanya sama Najib, apa sebab goyang, nanti jawab Najib Sabah dah goncang... tengok dalam air nampak bayang-bayang sekali pandang Sarawak pun hilang...”

Anwar selepas itu tidak melepaskan peluang bersalaman dengan semua yang hadir sebelum bertolak ke Penderas, Kuala Krau dan akhirnya berceramah di Simpang Felda Kepayang, Bera.


Saturday, November 17, 2012

Ayuh, jayakan PAS ganti Umno!

Keputusan PAS memilih tema “Negara Berkebajikan Teras Perpaduan" dalam muktamarnya yang sedang berlangsung, saya rasakan amat tepat sekali menjelang pilihan raya umum (PRU) kian mampir.

Ini disebabkan, kebajikanlah yang menjadi harapan dan sedang ditunggu-tunggu rakyat pada masa kini dan akan datang.

Selama ini, kerajaan BN yang berkuasa tidaklah serius sangat memenuhi kepentingan rakyat kerana yang mereka pentingkan ialah bagaimana mereka boleh kekalkan berkuasa.

Dengan lain-lain perkataan, kebajikan kepada mereka pimpinan Umno BN ialah yang boleh membawa mereka kepada pengekalan kuasa.

Buktinya, terpampang di dada akhbar saban hari pelbagai kesengsaraan rakyat, kegetiran rakyat meneruskan kehidupan dan betapa terpinggirnya anak watan tanah air ini sendiri.

Jadi bagaimana caranya pemimpin Umno menipu rakyat untuk terus berkuasa? Carana ialah dengan membantu secara bertempel-tempel seperti BRIM, TRIM, KRIM, KRIM dan pelbagai 1M lagi yang digunakan untuk kempen-kempen politik. Sedangkan permasalahan rakyat sebenarnya tidak diselesaikan.

Justeru tak salah jika dikatakan, jurang hidup miskin - kaya semakin melebar. Yang miskin di negara ini terus bertambah miskin papa kedana dan yang kaya pula terus mewah, jika diukur daripada kos kehidupan semasa. Sedangkan negara sudah 55 tahun mencapai kemerdekaan. Apa yang mereka buat di atas sana selama ini?

Pengalaman di Pahang, ketika pimpinan PAS turun menjelajah ke kawasan-kawasan melalui program Konvoi Cakna Rakyat, membuktikan terlalu banyak permasalahan rakyat yang tidak diselesaikan , termasuk kemudahan asas.

Di Lipis, ada projek yang dijanjikan pendapatan bulanan rakyat melalui pertanian, tetapi gagal sedangkan wang khazanah rakyat sudah berjuta dilaburkan. Ada rompakan bijih besi sehingga menyusahkan kehidupan seharian rakyat. Ada kelompok rakyat dari warganegara ini yang terpinggir di tanah air sendiri.

Di Jerantut pula, masalah perhubungan jalan yang tak siap-siap daripada mula sentiasa menjadi rungutan penduduk. Wang amanah sudah dicurahkan berjuta-juta kepada kontraktor kroni, masalah perhubungan rakyat tidak pernah selesai.

Di Temerloh, juga diadukan penduduk mereka terpaksa melalui jambatan gantung yang sudah ketinggalan zaman sedangkan mereka hanya berada dua kilometer dari pusat bandar. Di Lanchang, penduduk dianiaya Felda sendiri. Pasar yang sepatutnya dapat menampung keperluan penduduk, dibiarkan terbengkalai dan wang rakyat pun hangus.

Sampai bila rakyat mahu diperbodohkan?

Di Bera, penduduk yang tinggal sejak beratus tahun di pinggir Sungai Pahang, berurusan seberang menyeberang masih kempunan dambakan sebuah jambatan sedangkan projek water front yang banyak membazirkan wang rakyat. Ada yang sudah 20 tahun tidak mendapat wang MPOB yang mereka layak dan ada warga negeri Pahang yang terpaksa berurusan di Negeri Sembilan termasuk anak-anak yang bersalin.

Sebelum ini, penulis sudah dibawa melihat kerakusan kapitalis-kapitalis Umno yang mengaut dan mengukut kekayaan bijih besi di Bukit Ibam.

Berbalik kepada muktamar yang sedang berlangsung, tepatlah kehendak perwakilan mahu tumpukan usaha ke arah pnguasaan ke Putrajaya.

Kaitannya ialah, penguasaan ke Putrajaya sangat penting bagi bagi PAS dan PR bagi memenuhi kebajikan rakyat yang sudah diabaikan Umno BN selama ini.

PAS perlu terus menyerlah untuk menggantikan Umno.

Justeru, pulanglah para perwakilan selepas berakhir muktamar ini dan bekerjalah sesungguhnya untuk memenangkan perjuangan ini. Kita memegang amanah Allah. Kita bertanggungjawab memajukan bumi yang kita pijak dan memakmurkan sekelian isi-isinya!

Friday, November 9, 2012

Renungan menjelang muktamar

Dengan izin Allah, hanya berbaki beberapa hari saja lagi, kita akan bersua dalam muktamar terakhir ini sebelum meletusnya ‘ibu segala pilihan raya’. Kita bertemu dalam suasana mood rakyat sudah berada di landasan mahukan perubahan. Kita juga berhimpun dalam senario pihak kerajaan Umno/BN sendiri sedang teraba-raba mencari tarikh pilihan raya umum (PRU).

‘Tsunami’ politik dirasakan hampir pasti akan berlaku berdasarkan negeri “fixed deposit” BN, Sabah pun sudah mula kehilangan pemimpin yang berbondong-bondong meninggalkan partinya, sehinggakan pemimpin tertinggi BN kelihatan cemas menguruskannya.

Ada yang menganalisis bahawa Pahang akan kekal di bawah Umno/BN walaupun kepimpinan Putrajaya bertukar tangan. Sudah tentu antara alasannya ialah komposisi peratusan Melayu luar bandar yang tinggi, tanah rancangan Felda yang jumlah pengundinya merangkumi 60 % keseluruhan dan Perdana Menteri sendiri datang dari negeri ini.

Namun saya harapkan analogi tersebut disambut sebagai cabaran oleh para pendokong kebenaran kerana Pahang tidak mustahil akan menerima limpahan perubahan. Jangan lupa, Pahang juga bersempadan dengan negeri-negeri yang dikuasai PR iaitu Selangor, Kelantan dan Perak (pada satu ketika dulu). Juga bersempadan dengan dengan negeri-negeri yang dianggap bakal dilanda ‘tsunami’ iaitu Negeri Sembilan, Terengganu dan Johor.

Pahang juga memiliki generasi kedua Felda yang telah berjaya dan kini berada di kota-kota besar yang sedar dan sentiasa mengamat-amati trend perubahan global. Mereka ini tahu dan arif membezakan pencapaian prestasi negeri di bawah PR dan BN. Mereka juga punyai pengaruh.

Najib pula secantik manapun imejnya yang disolekkan, tidak akan dapat lari daripada isu pengundi import dan memasukkan daerah pengundian Kuantan ke Parlimen Pekan.

Pun begitu, saya percaya kejayaan PRU 13 tidak akan berupaya diraih dengan enteng kerana BN yang terdesak sudah mulai meningkatkan tindakan tidak demokratik malah sanggup melakukan perkara di luar batasan perlembagaan negara demi survival mereka.

Sehubungan dengan itu saya menyeru semua anggota parti agar kian mendekatkan diri kepada Robbul Jalil, sekali gus meninggikan kualiti diri dalam semua aspek bagi menghadapi tentangan getir yang mendatang.

Sekian, selamat bermuktamar. Semoga amal jihad kita mendapat anugerah dan kemuliaan daripadaNYA.

Tuesday, November 6, 2012

Janji dicapati jalan Maran - Jerantut

JERANTUT: Kegagalan berkali-kali kerajaan BN menyiapkan projek jalan dari Maran ke Jerantut melalui Simpang Jengka 8 yang terbengkalai sejak lima tahun, membuktikan mereka gagal mengotakan slogan mereka sendiri ‘janji ditepati’.

Akibatnya, lebih 5,000 penduduk tiga daerah terbabit yang menggunakan laluan tersebut setiap hari mendakwa mereka terus dihantui ketakutan lantaran kerosakan jalan tersebut yang bahaya dan sering mengundang kemalangan.

Projek jalan yang menjadi penghubung utama kepada penduduk Sungai Tekam Getah, Sungai Tekam Utara, Sungai Siam, Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak, Tekam (PPTR), Kampung Perak dan Jengka 8 itu dimulakan pada 2007.

Dalam aduan kepada Konvoi Cakna Rakyat PAS Pahang dipimpin Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Yohanis Ahmad yang menyerahkan memorandum mewakili penduduk, berkata projek tersebut bagaimana pun ditinggalkan terbengkalai oleh kontraktor.

“Akibatnya bukan saja penduduk gagal menikmati jalan baru, malah jalan sedia ada pula yang rosak dan berserabut dengan barang yang ditinggalkan. Sehinggalah pada 10 Oktober 2011 pihak kerajaan telah melantik kontraktor baru iaitu Roadcare (M) Sdn Bhd. dengan kos RM10 juta dibahagikan kepada lima pakej.

“Kerja-kerja telah bermula dengan sedikit sebanyak mula menampakkan hasil perubahan. Namun projek menaiktaraf itu yang dijadualkan siap pada 30 April 2012 sekali lagi telah gagal disiapkan seperti yang dirancang.

“Kemudian Adun Pulau tawar mengumumkan projek tersebut ditenderkan sekali lagi dengan kos RM36 juta, tetapi hasilnya tetap terbengkalai,” katanya.

Menurut Yohanis, penduduk setempat telah acap kali menyuarakan kepada pihak kerajaan supaya menyelesaikan masalah jalan terbengkalai itu malangnya keluhan penduduk tidak dihiraukan.

Katanya, hal ini telah mengecewakan penduduk setempat kerana akibat kegagalan kerajaan menyiapkan projek tersebut menyebabkan kerap berlaku kemalangan jalan raya disebabkan jalan yang sempit, gelap dan mengelirukan.

Sementara itu, di lokasi masih terpampang papan tanda projek berkenaan masih tersergam
‘Kerja-kerja membaik pulih Jalan Persekutuan di laluan FT 064, Seksyen 83.80 – Seksyen 100.00 & Seksyen 111.650 – Seksyen 135.500 Jalan Jerantut – Maran’.

Yohanis berkata pemandangan kon berselerak yang diletakkan di bahu jalan, jalan yang tidak terurus di sepanjang jalan yang terbengkalai itu boleh memalukan negeri Pahang sedang PPTR yang terdapat di situ merupakan lokasi yang selalu dikunjungi pegawai-pegawai Felda dan kerajaan yang berkursus.

Tambahnya, jalan tersebut turut dilalui pengguna-pengguna jalan raya dari Kuantan menuju Pahang Barat dan ke negeri Kelantan.

“Kalbat yang terbiar juga mengakibatkan Sungai Siam menjadi semakin sempit dan ini sering menyebabkan banjir besar berlaku kerana aliran air tersekat. Hal ini bakal membawa lebih kerugian kepada wang rakyat kerana kos membaik pulih nanti sudah pasti melambung tinggi akibat kelewatan menyiapkan projek tersebut.

“Sebab itu kami mewakili penduduk setempat mendesak perkara ini diajukan kepada Prlimen Malaysia melalui Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi dijalankan satu siasatan menyeluruh oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah berkaitan berapa kos sebenar projek ini.

“Kerajaan Negeri Pahang pula melalui satu jawatan kuasa khas hendaklah ditubuhkan untuk menyiasat kenapakah berlaku kegagalan dalam menyiapkan projek ini,” katanya.

Sementara itu bagi menangani keluhan penduduk yang menganggap jalan tersebut berbahaya, beliau menyarankan agar jabatan Kerja Raya (JKR) mesti mengambil tindakan segera meletakkan tanda keselamatan di setiap selekoh jalan ini dan meletakkan lampu jalan pada setiap 100 meter.

GAMBAR

1.Satu lagi projek kerajaan BN ‘janji dicapati’. Sepatutnya siap April tahun ini.
2.Yohanis menunjukkan bukti projek terbengkalai
3. Jalan mengelirukan, menyempitkan yang sudah sedia sempit