Cuba anda bayangkan tinggal di sebuah taman perumahan tanpa sijil kelulusan menduduki atau CF selama 20 tahun.
Apa risikonya?
Risikonya ialah andaikata terjadi sesuatu musibah seperti kebakaran dan sebagainya, segala kerosakan, kerugian dan kemalangan tidak boleh dituntut kerana pihak insuran tidak menerima perumahan tanpa CF.
Akan tetapi inilah hakikat yang terjadi kepada lebih 300 keluarga yang mendiami rumah pangsa Taman Seri Kemuning, Batu 3 Temerloh.
Pembinaan perumahan 5 blok itu pada asalnya adalah perumahan rakyat berpendapatan rendah sama seperti perumahan Bukit Cermin, Desa Jaya Batu 7, Taman Sri Kerinau dan lain-lain milik kerajaan negeri.
Menurut cerita penduduk lama, rumah pangsa terbesar di Temerloh itu merupakan projek semasa Tun Khalil Yaakob menjadi Menteri Besar Pahang dengan mendapat peruntukan dana daripada kerajaan Pusat sementara kerajaan negeri hanya menyediakan tanah.
Dalam masa menyiapkan projek berkenaan, dua kontraktor utama telah ‘lari’ dan bertukar tangan hinggalah syarikat perumahan kerajaan sendiri yang masuk campur.
Pada asalnya bayaran pemilikan berbentuk sewa beli (RM25,000) itu dikutip oleh wakil kerajaan negeri sekitar antara RM50 ke RM100 sebulan.
Lama kelamaan kerajaan negeri pimpinan Umno BN tidak lagi berupaya meneruskan sistem berkenaan lalu menyerahkannya kepada pihak bank.
Tidak dinafikan, kesalahan pihak penduduk memang ada iaitu ada sesetengahnya yang agak ‘liat’ membayar sewa beli bulanan. Tetapi bukan semua.
Manakala kesalahan pihak kerajaan pun ada di mana pegawai pengutip tidak datang, jadi bagaimana penduduk mahu membayar? Ditambah lagi dengan perumahan tersebut sendiri yang tidak mendapat CF membuatkan penduduk ragu-ragu dan tidak mengetahui nasib yang bakal menimpa mereka sebenarnya.
Sehinggalah 500 keluarga yang pada asalnya menghuni rumah pangsa itu, beransur-ansur kurang dan kini hanya tinggal sekitar 300 keluarga dengan kira-kira 1,500 penduduk.
Dengar ceritanya sudah beberapa kali memorandum penduduk dihantar ke pelbagai pihak bagi meminta diselesaikan permasalahan mereka. Ada juga pertemuan dengan Exco perumahan.
Awal tahun ini Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob telah datang berdialog dengan penduduk. Apabila diajukan persoalan CF, beliau juga dikatakan tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan hati penduduk.
Dua tahun lepas Draf Rancangan Tempatan Daerah Temerloh telah menyatakan kawasan berkenaan akan dijadikan transit pengangkutan utama dari Kuala Lumpur ke Kuantan. Dengan lain-lain perkataan, oleh kerana kedudukannya yang strategik menyebabkan kawasan berkenaan akan diambila alih untuk pembangunan sementara penghuni Sri Kemuning menjadi mangsa.
Terbaru, ada pihak kerajaan yang memberitahu kawasan berkenaan akan dibina baru dengan pangsapuri dan rumah pangsa lama akan dirobohkan.
Persoalan inilah yang membuatkan penghuni di situ ‘pening kepala’. Pertama, ke mana mereka akan berpindak untuk memulakan penghidupan baru sedangkan mereka sudah lama bermastautin di situ. Kedua, mereka telah mengeluarkan wang membayar sewa mahupun membelinya. Ada antara mereka dikatakan telah membayar habis pinjaman melalui potongan gaji jadi bukan mudah untuk mereka membuat pinjaman kali kedua mencari rumah lain.
Ketiga, 70 peratus daripada pemilik merupakan warga emas. Jika mereka berpindah sementara menunggu pangsapuri baru, belum tentu nanti mereka akan dapat memiliki rumah baru kerana bank tidak akan mengeluarkan pinjaman kepada mereka lagi kerana faktor usia.
Ertinya, jika sekitar 20 tahun yang lalu mereka menganggap Taman Sri Kemuning merupakan perumahan terakhir mereka sementara menuju mati dan bekalan tinggal untuk anak isteri, rupa-rupanya akan berlaku sebaliknya.
Mereka mula melihat masa depan yang kabur kerana terpaksa ‘merempat’ pula mencari kediaman baru, dalam keadaan usia yang semakin lanjut. Pihak kerajaan tidak lagi dapat diharapkan rakan semasa susah dan senang kerana mereka (kerajaan) hanya mahukan keuntungan.
Kesimpulannya mudah. Maknanya kerajaan yang ada hari ini sebenarnya tidak memikirkan atau tidak mengutamakan rakyat (kecuali ketika merayu undi pilihan raya). Pertimbangan utama mereka ialah benda lain sementara kebajikan rakyat menjadi pilihan tarakhir.
Perhitungan untuk rakyat oleh BN menjadi hanya terkebelakang, sebab itu kesusahan yang ditangggung penduduk Sri Kemuning selama ini tidak diindahkan. Pekikan dan rayuan tidak didengari. Malah nasib mereka selepas ini pun tidak dihiraukan oleh kerajaan BN.
Sebab itu rakyat perlu berubah pada PRU akan datang demi kehidupan, kebajikan dan pembelaan yang lebih baik. Pilihlah Pakatan Rakyat!
No comments:
Post a Comment