Tuesday, September 18, 2012

Rakyat Pahang perlu lakukan perubahan untuk makmur

TEMERLOH: Rakyat negeri ini perlu melakukan perubahan politik jika mahu benar-benar menikmati kemakmuran hasil kekayaan negeri selaras dengan nama Pahang Darul Makmur.

Ini disebabkan negeri ini dikurniakan Allah mempunyai kemewahan khazanah alam dan kekayaan sumber semula jadi, namun gagal dimanfaatkan untuk dinikmati rakyat.

Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Haji Jusoh Darus berkata, justeru itu rakyat sendiri mesti berubah jika mahukan perubahan ke arah pemerintahan yang lebih baik selepas 55 tahun diperintah BN.

“Kita tengok di Pahang tidak ada apa yang tidak ada daripada rimba belantara tropika yang terkaya di dunia, hinggalah ke bukit-bukau curam dan gunung-ganang tertinggi, gua-gua bersejarah, galian isi bumi yang tidak ternilai harganya dan air terjun tumpuan rekreasi, hinggalah kepada sungai terpanjang.

“Pahang juga ada tasik-tasik yang memukau, jajaran panjang pantai terindah menghadap Laut China Selatan dan pulau karang laut yang kelima tercantik di dunia.

“Semuanya ini ditakdirkan Allah ada di negeri Pahang yang terbesar di semenanjung ini,” ujarnya.

Tambahnya, namun keistimewaan-keistimewaan tersebut rupa-rupanya tidak memberi kelebihan kepada ekonomi dan pendapatan negeri ini kerana hutang Kerajaan Negeri Pahang telah melepasi paras angka RM2 bilion sementara bajet tahunan kerajaan negeri juga defisit memanjang yang memberi gambaran perbelanjaan melebihi pendapatan.

“Ke mana perginya hasil wang daripada pendapatan itu?,” soalnya ketika berceramah sempena sambutan raya Majlis Tindakan Dun Mentakab di Kampung Bangau Tanjung Sabtu lalu.

Jusoh yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pahang berkata, Pahang juga memiliki tanah yang subur sehingga menjadikan negeri ini pengeluar sayur-sayuran terbesar, pengeluaran sawit dan getah terbanyak namun kehidupan petani seolah-olah tidak terbela dan masih dibelenggu kemiskinan.

Jelasnya, tanah terbiar lebih luas daripada yang ditebus guna, sedangkan masih ramai rakyat yang tidak bertanah. Begitu juga dengan krisis bekalan air selalu berlaku meskipun rakyat berada di pinggir Sungai Pahang.

“Pada saya semua itu kerana kerajaan yang ada tidak cekap mentadbir. Jadi rakyat perlu berubah pada pilihan raya umum akan datang bagi menikmati kemewahan sebenar seperti yang dirasai oleh rakyat di negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat,” katanya.

Sebelum itu Jusoh menyerahkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan dalam Dun berkenaan.

Turut hadir Timbalannya Hassanuddin Salim, Ketua DAP Temerloh Woo Chee Wan, Pengarah Dun Mentakab Norazmi Abdul Majid serta pimpinan PAS Kawasan.

Sementara itu Woo yang berceramah sebelum itu turut menarik perhatian apabila menegur kenyataan Presiden Perkasa yang menuduh ‘PAS sebagai kuda tunggangan DAP’.

“Saya tahu kenyataan beliau ialah untuk menggambarkan DAP parti perkauman Cina dan berjuang untuk Cina. Sebenarnya itu amat salah kerana DAP berjuang untuk semua kaum sebagaimana ahlinya terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Sebagai contoh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pernah ditangkap dan dipenjara kerana memperjuangkan nasib gadis Melayu yang didakwa dirogol oleh pemimpin Umno,” ujarnya.

Katanya, ini menggambarkan DAP membela rakyat tertindas tanpa mengira kaum sedangkan Umno dan pertubuhan-pertubuhan pro-nya mahu memainkan sentimen perkauman tanpa menyedari politik berbentuk hasutan itu tidak diterima lagi oleh majoriti rakyat.

Tambahnya, ulamak PAS dan pemimpin DAP yang kini boleh duduk sebaris menyebabkan parti ‘syaitan yang dikenali’ itu amat cemas kerana selama ini parti itu hidup subur dalam mainan propaganda dan politik hasutan.


No comments:

Post a Comment