Tuesday, September 18, 2012

Tidak tolak pecah cermin kereta bermotif politik

PEKAN: Adakah budaya samseng dan gangsterisme terus menular lantaran politik membenci dan hasutan yang saban hari dimainkan media arus perdana?

Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan Ustaz Abu Kassim Manaf tidak menolak dua buah kereta yang dipecahkan cermin dalam tempoh dua hari berturut-turut di rumahnya adalah perbuatan khianat atau bermotif politik.

Katanya, ini disebabkan selama ini beliau tidak pernah memiliki musuh atau membuat pinjaman Ah Long justeru tidak menyangka perkara buruk seperti ini berlaku di kawasan Perdana Menteri Malaysia.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada awal pagi Ahad lalu melibatkan kereta Proton Persona milik anak saudaranya yang dibaling tukul sehingga pecah dan hanya disedari keesokan harinya.

Setelah menyedarinya, satu laporan polis dibuat dan tidak menyangka kejadian yang sama berulang apabila kereta Kia Spectra milik saya pula dipecahkan pada sebelah malamnya.

“Kejadian berlaku pada awal pagi Isnin iaitu sekitar pukul 1.30 pagi di mana saya bersama 8 ahli keluarga sedang tidur, dikejutkan bunyi kuat dari arah bahagian dinding depan rumah,” katanya.

Tambahnya, berikutan itu dia dan anaknya bergegas keluar rumah dan melihat seorang lelaki dewasa menunggang motosikal jenis Honda EX5, melarikan diri dengan dengan laju.

“Kami dan jiran-jiran yang juga bangun tidak sempat mengejar suspek yang memecut dengan laju dan menjumpai dua ketulan batu di tepi dan di sebelah dalam bahagian cermin belakang kereta yang pecah.

“Selama sepuluh tahun saya memegang jawatan YDP PAS belum pernah lagi kejadian seumpama ini berlaku dan tiada sebarang ugutan diterima, tetapi tidak menolak kemungkinan kes ini berpunca motif politik,” ujarnya.

Katanya, andaian tersebut berdasarkan pelbagai perbuatan khianat, provokasi dan gangsterisme berlaku melibatkan pemimpin dan program Pakatan Rakyat pada ketika ini tetapi tidak menyangka berlaku di parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abu Kassim yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pekan kira-kira jam 1.30 pada hari yang sama (semalam) bersyukur dia sekeluarga masih selamat dan menganggap kejadian tersebut sebagai ujian daripada Allah.

“Harapan saya ialah agar pegawai polis mengambil tindakan, buat penyiasatan rapi sehingga dapat memberkas penjenayah ini supaya perkara khianat seperti ini tidak berlaku lagi di bandar diraja ini kepada orang lain pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu beliau menganggarkan kerugian yang ditanggungnya tidak kurang daripada RM2,000.



Abu Kassim menunjukkan cermin keretanya yang pecah dibaling samseng


No comments:

Post a Comment