Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) hari ini membuat laporan polis berikutan sepanduk berunsur fitnah menggunakan nama persatuan tersebut yang di beberapa tempat seperti di Felda Bukit Sagu, Bukit Goh, Bukit Kuantan dan sekitar Jengka dipercayai bertujuan untuk memburuk-burukkan Anak.
Antara lain sepanduk tersebut bertulis: “Kami Tidak Teringinkan Durian Runtuh! Para Peneroka Felda Jangan Terima Durian Runtuh Kerana Kita Ada Maruah Dan Harga Diri Najib Penipu Peneroka! Hidup Pakatan Rakyat”.
Jurucakap Anak memberitahu, pihaknya tidak pernah membuat dan menggantung sepanduk seperti itu kerana perjuangan Anak bukanlah untuk menghalang peneroka memperolehi wang mereka.
“Selama ini kami tidak pernah menghalang peneroka menerima wang daripada Felda atas apa juga namanya kerana yakin semua wang tersebut adalah milik peneroka yang berpuluh tahun membanting tulang memajukan ladang Felda.
“Apa yang kami perjuangkan ialah mengembalikan hak-hak peneroka secara adil. Anak secara jelas juga menentang penyenaraian syarikat Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) kerana percaya hanya akan menyebabkan pihak lain yang akhirnya akan menguasai aset-aset Felda.
“Yang terbaru Anak menentang cara paksaan terhadap peneroka supaya menandatangani borang hutang bank untuk beli saham yang tidak difahami peneroka kerana dalam bahasa Inggeris”.
Anak tidak pernah sama sekali menentang peneroka menerima durian runtuh seperti dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa kali.
“Ada pihak, mungkin dalam Felda sendiri merasa tergugat dengan penerangan dan informasi yang diberikan Anak selama ini sehingga menyedarkan ramai peneroka seluruh negara.
“Bagi membendung pengaruh Anak yang semakin diterima di tanah-tanah rancangan, pihak yang menyebarkan fitnah itu main taktik kotor iaitu menggunakan nama Anak supaya dibenci peneroka kerana halang terima durian runtuh”.
Pihak polis digesa menyiasat siapakah dalang di sebalik kerja-kerja jahat itu supaya fitnah yang boleh menimbulkan permusuhan seperti itu tidak berleluasa lagi pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment