Ketika Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
mendedahkan kedua-dua Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar merupakan ahli Umno kelmarin, mereka segera menongkah bahawa itu fitnah! Fitnah! Fitnah!
Setelah didedahkan, kenyataan kedua-duanya di akhbar hari ini agak lembut sedikit apabila mengatakan tidak ingat langsung bila dan di mana pernah menjadi ahli Umno, boleh jadi ada mana-mana pihak memasukkan nama selepas tamat universiti, awal 70-an dulu.
Malah dalih mereka, tidak tahu nombor keahlian, tidak pernah membayar yuran tahunan dan tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat parti, jauh sekali dari memegang apa-apa jawatan parti.
“Perkara sudah terlalu lama, saya tidak ingat, hinggalah hari ini (semalam) ada pihak yang membangkitkan perkara ini dalam akhbar,” katanya.
Menurutnya, tidak adil mana-mana pihak mengambil fakta yang sudah terlalu lama dan dilupakan semata-mata untuk dijadikan isu.
Saifuddin sebelum ini mendesak kedua-dua orang kuat SPR itu menafikan mereka bukan ahli Umno bagi membuktikan benar-benar berkecuali.
Pakatan Rakyat (PR) membangkitkan perkara ini ketika desas-desus menyebut Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam waktu terdekat sementara membangkitkan ketelusan SPR dalam mengendalikan pilihan raya.
Saifuddin menambah, pada dasarnya mana-mana ahli panel SPR sepatutnya tidak menganggotai parti politik supaya mereka kelihatan berkecuali dan dapat bertindak tanpa condong kepada mana-mana pihak.
Dalam kenyataan itu, Saifuddin berkata, Abdul Aziz merupakan ahli Umno cawangan Sri Ampang Baru, Ampang manakala Wan Ahmad pula ahli cawangan Kubang Bunggor, Pasir Mas.
Ramai yang beranggapan, SPR ini sepatutnya seperti hakim iaitu benar-benar berkecuali supaya bukan saja berlaku adil tetapi juga dilihat adil.
Hal ini sudah diamalkan sejak lama di negara-negara maju.
Jika sudah menjadi ahli Umno, maka jauh di dalam lubuk hatinya sudah tentu wujud sedikit sebanyak kecenderungan untuk menyebelahi BN.
Maka tidak salahlah jika rakyat mengsyaki bahawa SPR bias kepada BN!
No comments:
Post a Comment