Akhirnya seorang pemimpin Umno yang baru digantung jawatan Timbalan Presiden FAM mengaku kejam dan zalimnya ISA, satu akta yang sudah lama mahu dihapuskan rakyat (kecuali Umno).
Pengakuan Tan Sri Annuar Musa tidak secara terus, tetapi secara bandingan di mana Artikel 88 iaitu yang memaksa beliau 'direhatkan' selama dua setengah tahun, dianggapnya zalim sama seperti ISA.
Dengan lain-lain perkataan, seseorang itu hanya akan merasa sesuatu kezaliman setelah mereka sendiri merasa betapa peritnya dizalimi. Sedangkan anggota kabinet yang duduk di Putrajaya itu tidak pernah melalui penahanan ISA, jadi sudah tentu mereka tidak tahu keperitannya.
Dalam Islam, binatang pun dilarang dikurung tanpa sebab yang munasabah. Inikan pula penahanan tanpa bicara yang sudah tentu amat tidak bertamadun dengan memisahkan ayah dengan anak, suami dengan isteri. Siapakah yang boleh merasa denyut nadi yang kena zalim? Hanya parti-parti Pakatan dan NGO yang prihatin sanggup bermandi semburan air meriam polis demi menuntut pemansuhan ISA.
Tahun lalu ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencanangkan bahawa Akta draconian yang digubal penjajah Inggeris untuk membendung komunis Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu akan dimansuhkan, sebagai satu pembaharuan atau tranformasi dalam pentadbirannya.
Terpacul sahaja daripada bibirnya yang merah itu bahawa ISA akan dihapuskan, maka seluruh media pengampu Umno memuji-mujanya mengatakan beliaulah PM paling baik di Malaysia, hatta di dunia. Bahkan dalam publisiti media sempena tiga tahun menjadi PM, media mengatakan Najib menunaikan janji-janjinya, walaupun janji mansuh ISA hanya bohong dan omong kosong!
Tetapi hasilnya? ISA tetap dikekalkan sehingga ke hari ini. Malah beberapa hari selepas pengumumannya itu, sepupunya yang menjawat Menteri Dalam Negeri telah menahan ISA beberapa orang rakyat negara ini.
Jika dibuat bandingan lagi, andainya Najib berada di tempat Annuar, maka sudah tentu Najib juga akan berkata Akta ISA yang yang dikuatkuasakan pada tahun 1960 itu amat zalim, tidak lagi sesuai dengan zaman dan perlu dihapuskan dengan segera.
Malangnya Najib belum menjadi Annuar!
No comments:
Post a Comment