Monday, March 29, 2010

Sampai bila Felda aniayai peneroka?

MARAN: Cerita-cerita Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda menganiaya dan memperdaya para penerokanya tidak pernah habis-habis. Malah isu-isu yang bertambun melibatkan kedua pihak, masih jauh untuk cuba diselesaikan.

Walhal nama Felda gah hari ini adalah hasil titik peluh peneroka yang telah bergelumang selama setengah abad.

Terbaru, peneroka-peneroka Jengka 6 bangkit mempersoalkan status wang hasil peneroka yang ditahan sebanyak 20 peratus oleh pengurusan Felda di beberapa rancangan bermula Februari lalu.

Menurut kenyataan wakil peneroka, Daud Abas, sebagaimana yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian, sebelum ini laporan polis telah dibuat berkenaan wang tahanan 20 peratus yang tidak dipersetujui oleh peneroka memandangkan penahanan ini membebankan.

Menurutnya, namun tiada sebarang jawapan dan tindakan balas daripada pihak pengurusan Felda malah wang tersebut masih menjadi wang tahanan sehingga diserahkan pada hujung bulan di mana sebelum ini telah dipersetujui semua pihak bahawa pemotongan hanya RM50.

“Bermula Februari wang hasil peneroka dipotong RM50 bagi membiayai insurans ladang dan keceriaan kawasan kampung dan sebagainya dan ini tidak mendapat sebarang tentangan memandang itu merupakan tanggungjawab peneroka.

“Namun apabila melibatkan penahanan sebayak 20 peratus ini dirasakan membebankan malah laporan polis telah dilakukan namun tidak mendapat sebarang jawapan daripada pengurusan Felda sendiri seolah-olah memandang rendah kepada laporan yang dibuat,” katanya.

Daud berkata, peneroka mohon penjelasan daripada pihak Felda mengenai tujuan penahanan 20 peratus tersebut dan peneroka sendiri tidak bersetuju dengan penjelasan sebelum ini bahawa wang peneroka dipulangkan dalam bentuk wang ekor.

“Kita tidak mahu wang kepala atau wang ekor dan apa yang kita mahukan bayaran 100 peratus kerana bagi peneroka yang mengusahakan sendiri ladang, mereka tidak mempunyai sebarang hutang dengan pihak pengurusan Felda.

“Jadi tidak adil wang mereka turut ditahan dan sekiranya wang tersebut ditahan untuk tujuan bayaran hutang peneroka sememangnya tidak menolak tujuan tersebut cuma bagi yang tiada hutang ini menimbulkan keraguan pada peneroka,” katanya.

Menurutnya, wang tahanan tersebut sememangnya akan dikembalikan kepada peneroka setelah ditolak hutang namun lewat lebih dua minggu setelah hasil dijual dan ini tidak adil bagi peneroka yang tidak mempunyai hutang.

“Peneroka yang mengusahakan sendiri ladang terutamanya di Jengka 6 ini tidak mempunyai sebarang hutang Bayaran Kembali (BK) dan mereka juga telah bersetuju sebelum ini bahawa pemotongan hanya RM50 untuk tujuan insurans ladang, keceriaan dan sebagainya.

“Oleh itu, diminta penjelasan dan kembalikan sistem bayaran 100 peratus kepada peneroka memandangkan penahanan ini membebankan dan tidak mempunyai tujuan jelas terutamanya bagi peneroka yang mengusahakan sendiri ladang mereka,” katanya.

2 comments:

  1. sudah sampailah masanya pak cik pak cik peneroka mendengar cakap 'anak' pulak..janganlah terlopong dengan omongan 'bapak penipu' tu..
    susah payah pak cik membesar dan memberi pendidikan pada anak,sekurang kurangnya untuk membela nasib rakan rakan seperjuangan ayah mereka..
    sudah sampai masanya kita nak tengok anak anak peneroka ni bangkit menentang kezaliman yang dialami oleh bapak bapak mereka sekian lama...
    itu sebabnya peneroka dilarang menubuhkan persatuan...senang mereka nak menipu!!!!
    saya turut berbangga apabila ada anak peneroka yang berani bangun menentang penipuan oleh felda..malah ada yang berani menentang mereka dimahkamah..syabas!bangunlah wahai anak anak peneroka..bangunlah menentang penindasan orang orang yang menzalimi ibu bapa kamu...

    ReplyDelete