Selama empat tahun laman sesawang SidangOnline beroperasi tanpa gangguan. Dan ketika itu sayalah pengendalinya bersama web master Ustaz Taufeeq. Sewaktu Pahangkini.net yang wujud Februari lalu belum ada, SidangOnline dianggap laman rasmi PAS Pahang khususnya bagi berita-berita.
Selain berita-berita kawasan, nasional dan bersifat negeri, saya juga menyelitkan beberapa artikel dalam pelbagai bidang. Sebabnya saya anggap ia umpama sebuah akhbar yang lengkap bacaannya dalam pelbagai bidang mengikut selera para pembaca. Ia juga bersifat penampung kepada tulisan-tulisan dan analisis daripada sahabat-sahabat, terutamanya dari Pahang.
Namun musibah datang hujung minggu lalu apabila SidangOnline diceroboh dan pengkalan datanya diserang sehingga laman tersebut tidak boleh diakses lagi. Pahangkini juga diceroboh, namun berjaya dibangunkan semula dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Lama saya bersama SidangOnline dan banyak kenangan bersama dengannya, dipuji, dicela, ditertawakan, menjadi rujukan dan seribu macam respons pelayar yang membacanya. Pada satu ketika sewaktu beberapa kes panas dipaparkan, hitsnya berupaya mencecah sehingga 700 ke 800 lebih sehari. Dan seperti biasa, jika tiada kontroversi, hitsnya menurun. Itu biasa.
Saya fikir tidak sewajarnya terus bernostalgia dengan masa lalu, lantas blog ini cuba dibangunkan bagi mengumpulkan kembali sisa-sisa dan puing-puing SidangOnline yang telah runtuh.
Mungkin SelamatkanPahang tidak mampu setanding SidangOnline, dengan banyak sebab, alasan dan popularitinya. Sudah tentu tidak enteng untuk memberitahu orang tentang wujudnya sebuah blog baru.
Namun ibarat kata pepatah 'tiada rotan akar pun berguna'. Maka blog ini akan cuba merealisasikan cita-cita PAS Pahang melalui penulisan membongkar kemungkaran yang bersarang di bumi Inderapura ini, dan pada masa yang sama mengajukan alternatif terbaik kepada rakyat di samping menyedarkan mereka bahawa khazanah negeri ini milik anak pribumi, bukan untuk isi poket atau harta pusaka Umno/BN.
Blog ini akan berusaha menyiarkan pelbagai kajian dan penyelidikan pelbagai bidang yang telah dilakukan oleh sahabat-sahabat. Saya usahakan sedemikian bagi menampung kelompangan yang ada berkaitan pelbagai isu yang melanda negeri ini. Sesuai dengan namanya Selamatkan Pahang, ia bermaksud negeri ini perlu diselamatkan daripada kedurjanaan tangan-tangan pemerintah yang telah sekian lama mencabul hasil mahsul negeri ini.
Blog SelamatkanPahang berusaha seupayanya merasionalkan hujah bahawa betapa perlunya negeri ini diselamatkan daripada kerakusan itu. Jika dalam tempoh waktu dan urusan itu wujud pelbagai kelemahan, maka anggaplah itu kelemahan saya semata-mata. Teguran dan kritik membina amat-amat diharapkan.
Akhirnya, wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Masaallah...selamatkan Pahang sebelum terbelah 4...!
ReplyDelete