Sunday, March 28, 2010

'Pelakon filem lucah' menang presiden MCA

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menang jawatan presiden MCA hari ini, sekali gus menghidupkan semula kerjaya politiknya buat kali kedua.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula diumumkan timbalan presiden.

Sebelum ini kedua-dua mereka masing-masing merupakan timbalan presiden dan naib presiden.

Dr. Chua, 62, memperoleh 901 undi berbanding Ka Ting yang meraih 833 undi manakala Tee Keat di tempat tercorot dengan 578 undi.

Liow menerima 1,171 undi bagi mengalahkan bekas naib presiden dan rakan dalam Kabinet iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha yang mendapat 1,106 undi.

Bagi jawatan naib presiden, calon wanita tunggal, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen memperoleh undi tertinggi iaitu 1,528, diikuti bekas Naib Presiden Datuk Donald Lim (1,469), Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung (1,202) dan anggota Jawatankuasa Pusat Gan Ping Sieu yang juga meraih 1,202 undi.

Ini merupakan satu kemenangan manis buat Dr Chua yang terpaksa bertarung dengan dua pesaing yang sangat berpengaruh, namun membuktikan bahawa beliau masih popular dalam parti meskipun berdepan pelbagai pergolakan.

Pada 2 Jan 2008, beliau melepaskan jawatan dalam Kabinet dan naib presiden MCA selepas mengakui beliaulah lelaki dalam video seks yang tersebar dengan meluas.

Dalam pemilihan parti pada Oktober 2008, beliau mengalahkan bekas Setiausaha Agung dan abang Ka Ting, Datuk Seri Ong Ka Chuan, bagi jawatan nombor dua parti.

Beliau terbabit dalam pertikaian kepimpinan dengan Tee Keat apabila beliau dipecat kerana mencemarkan imej parti berikutan video seks pada Ogos lalu.

Dr. Chua kemudian diterima semula sebagai anggota parti semasa mesyuarat agung luar biasa MCA yang turut meluluskan undi tidak percaya terhadap Presiden parti.

Berikutan itu, jawatan timbalan presiden dikembalikan semula kepadanya oleh Pendaftar Pertubuhan, yang sebaliknya menurunkan kedudukan Liow, yang telah pun mengisi jawatan timbalan presiden, kembali sebagai naib presiden.

Dr. Chua kemudian berdamai dengan Tee Keat untuk mewujudkan pelan “perpaduan lebih unggul” parti namun terus berdepan tentangan daripada Liow dan para penyokongnya, termasuk Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun, yang terus mendesak supaya diadakan pemilihan baru.

Pada 4 Mac lalu beliau meletak jawatan bersama-sama 21 anggota CC bagi memberi laluan kepada pemilihan baru yang diadakan hari ini, peletakan jawatan kedua beliau dalam tempoh dua tahun.

Sejumlah 2,315 daripada 2,377 perwakilan yang layak, melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi dalam pemilihan parti hari ini, jumlah tertinggi yang mengundi dalam sejarah parti berkenaan.

Seramai 101 calon bertanding pelbagai jawatan utama parti dalam pemilihan yang kali terakhir diadakan pada Okt 2008.

SENARAI PIMPINAN BARU MCA

PRESIDEN

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek - 901 undi

TIMBALAN PRESIDEN

Datuk Seri Liow Tiong Lai - 1,171 undi

NAIB PRESIDEN

1. Datuk Seri Ng Yen Yen (1,528 undi)

2. Datuk Donald Lim Siang Chai (1,469)

3. Datuk Chor Chee Heung (1,202)

4. Gan Ping Sieu (1,202)

ANGGOTA JAWATANKUASA PUSAT (CC)

1. Datuk Lee Chee Leong (1,430 undi)

2. Dr Hou Kok Chung (1,312)

3. Senator Heng Seai Kie (1,267)

4. Datuk Wee Jeck Seng (1,175)

5. Toh Chin Yaw (1,142)

6. Tee Siew Kiong (1,141)

7. Datuk Gan Tian Loo (1,117)

8. Datuk Seri Tan Chai Ho (1,114)

9. Datuk Seri Ong Ka Chuan (1,104)

10. Lee Wei Kiat (1,100)

11. Loh Seng Kok (1,086)

12. Hoh Khai Mun (1,077)

13. Datuk Liew Yuen Keong (1,059)

14. Tan Cheng Liang (1,054)

15. Koh Nai Kwong (1,040)

16. Dr Por Choo Chor (1,037)

17. Tan Ken Ten (999)

18. Kong Sing Chu (981)

19. Datuk Chong Itt Chew (975)

20. Yoo Wei How (974)

21. Tan Ah Eng (969)

22. Wong Koon Mun (953)

23. Datuk Ti Lian Ker (929)

24. Teh Kim Poo (864)

25. Chuah Poh Khiang (851)

~ Sumber

MalaysianInsider

No comments:

Post a Comment