Namun yang paling diberi tumpuan ialah saingan tiga penjuru antara penyandang, Datuk Seri Ong Tee Keat, bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, dan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting. Juga pertandingan merebut timbalan satu lawan satu antara dua bekas naib presiden iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Kong Cho Ha.
Apabila sejarah tercipta kerana pertama kali seorang bekas Presiden kembali bertempur di gelanggang politik dalam misi menyelamatkan parti, ini sudah tentu membuktikan betapa tenatnya pergolakan yang berlaku dalam parti komponen kedua terbesar BN itu.
Penganalisis mengatakan ini merupakan kekalahan teruk parti itu semenjak bertanding dalam pilihan raya pertama 1955. Ironinya, kekalahan itu pula berlaku semasa Ong Ka Ting meneraju jawatan presiden.
Persoalan yang berlegar di kalangan orang ramai kini ialah apakah kemelut kepimpinan MCA akan berakhir seusai pertandingan ini? Apakah selepas itu MCA akan kembali mendapat kepercayaan majoriti orang-orang Cina?
Bagi Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah, apa sahaja keputusan pemimpin MCA yang ‘bergasak’ sesama sendiri ini parti perkauman itu sudah pecah sehingga bukan sahaja kehilangan kepercayaan orang Cina malah ahli-ahlinya sendiri.
Adun Triang itu meskipun daripada parti pembangkang, namun pendapatnya sudah tentu tidak semberono dan wajar diperhatikan kerana selama ini beliau telah lima penggal berturut-turut mewakili kawasan lebih 80 peratus majoriti kaum Cina.
“Memang setiap yang bertanding akan mengatakan membawa misi parti, namun pandangan ramai perjuangan mereka sekarang lebih kepada perjuangan kelompok atau team tertentu. Dan ini tidak dapat disanggah”.
“Satu perkara lagi yang mungkin tidak ramai menyedarinya, MCA itu sendiri sudah tidak relevan kerana orang Cina sudah membelakangkan politik perkauman”.
“Kalau diperhatikan sejarah penubuhan MCA, ialah bagi menangani agenda politik perkauman pada masa itu. Sebagaimana orang Melayu perlukan Umno untuk merdeka, begitulah juga orang Cina masa itu perlukan MCA untuk tujuan yang sama”.
“Tapi jika dilihat trend pengundian PRU 2008, rakyat Malaysia nak lihat orang Cina, Melayu dan India bersatu dalam tindakan. Ertinya politik perkauman 50 tahun dulu sudah tidak relevan lagi hari ini,” hujah Leong.
Jika dirujuk sejarah MCA yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949, ia sememangnya bagi menangani isu perkauman pada masa itu iaitu serentak dengan perjuangan orang Melayu dalam Umno dan akhirnya kedua-dua parti perkauman itu bersama MIC menubuhkan Perikatan.
Bagi Setiausaha DAP Pahang Choong Siew Onn pertanding merebut jawatan Presiden MCA Ahad ini hanyalah persaingan daripada tiga kelompok yang membawa agenda perjuangan berbeza.
“Sebenarnya sudah timbul perasaan muak di kalangan orang Tionghua kerana kesibukan pimpinan bertanding walaupun dibenarkan dalam sistem demokrasi. Namun umum melihat
hari ini pemimpin MCA sudah dilihat lari daripada prinsip perjuangan asal parti itu,” kata Adun Teras itu.
“Kalau dulu kepentingan masyarakat Tionghua yang diperjuangkan pemimpin ialah hak-hak pendidikan, ekonomi, kebajikan dan urus tadbir masyarakat luar bandar seperti Kampung Baru yang ketinggalan dan perlukan pembelaan, tetapi perjuangan MCA kini sudah tersasar”.
“Jadi tidak hairanlah masyarakat Tionghua pada PRU yang lepas mempamerkan protesnya secara besar-besaran,” jelasnya.
Apa-apapun, jelas di sini masyarakat Cina sudah terkehadapan meninggalkan politik perkauman yang dianggap primitif dalam sebuah negara berbilang kaum. Jadi menarik diperhatikan, bukan sahaja keputusan pertandingan MCA ini nanti, malahan juga apakah orang Melayu juga bakal ‘celik mata’ sehingga mahu menghumbankan politik perkauman pada PRU akan datang?
No comments:
Post a Comment