Tuesday, August 20, 2019

PH berbelanja tinggi, hutang negara cecah RM58 bilion dalam 6 bulan

Seorang pakar ekonomi menggesa Putrajaya mengurangkan perbelanjaan dengan memetik angka Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kerajaan sudah meminjam RM58.1 bilion dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini.

Memetik daripada FMT, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata angka itu menunjukkan hutang kerajaan persekutuan meningkat daripada RM686.8 bilion pada akhir 2017 kepada RM799.1 bilion sekarang.


Beliau berkata angka BNM juga menunjukkan nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan trend menurun pada 2018, kini meningkat 4% daripada 48.7% pada akhir Q1 2018 kepada 52.7% pada akhir Q2 2019.

“Berita tidak gembira ialah peningkatan hutang tempatan, hutang luar negara kita menurun,” katanya, sambil menyatakan nisbah hutang berbanding KDNK meningkat daripada 34.5% pada Q1 2018 kepada 40.1% pada Q2 2019.

Walaupun kutipan cukai jualan dan perkhidmatan melepasi jumlah yang diunjurkan, katanya, hasil yang diperoleh masih jauh rendah berbanding cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Harapnya, trend ini (perbelanjaan) adalah jangka pendek. Jika ia berterusan kita akan menghadapi masalah yang serius.

“Nisbah hutang berbanding KDNK masih di bawah 55%, jadi ia boleh diurus, tetapi jika kemelesetan berlaku – dan kita menjangkakan – maka kita harus ingat bahawa KDNK kita untuk 2019 akan jatuh.”

Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus baru-baru ini berkata ekonomi meningkat 4.9% pada suku kedua tahun ini, dan dijangka terus berada di tahap pertumbuhan yang stabil sepanjang tahun ini, antara 4.3% hingga 4.8%.

Barjoyai berkata ia adalah tidak jelas mengapa perbelanjaan kerajaan begitu tinggi. Beliau berspekulasi ia mungkin disebabkan perbelanjaan Pakatan Harapan dalam memenuhi beberapa janji manifestonya.

“Apa yang paling penting sekarang ialah kerajaan mengawal perbelanjaannya dan mengelakkan lebih banyak pinjaman daripada negara asing.

“Ia mungkin perlu menangguhkan projek-projek besar seperti ECRL, MRT2 atau LRT3, tetapi ini akan memberi kesan kepada ekonomi tempatan kerana tidak ada rangsangan untuk itu.”

Seorang lagi pakar ekonomi, Ali Salman dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, berkata peningkatan hutang awam agak membimbangkan tetapi belum sampai tahap panik.

“Peningkatan dalam tahap hutang tidak akan mengubah pembayaran hutang tahunan dengan ketara, iaitu kira-kira 11% dari jumlah belanjawan,” katanya kepada FMT.

“Sebaliknya, kenaikan 17% dalam hasil kerajaan adalah luar biasa walaupun penarikan balik GST.”

Ali berkata walaupun tiada pecahan pendapatan ke dalam hasil cukai dan bukan cukai diberikan, pertumbuhan itu sendiri menggalakkan.

“Tahap hutang berbanding KDNK meningkat, tetapi ia berada di bawah paras selamat iaitu 55% daripada KDNK.”

Beliau bagaimanapun menggesa Putrajaya membuat perancangan untuk mengimbangi belanjawan dalam tempoh 4 tahun akan datang dengan mengurangkan perbelanjaan membazir ke atas entiti dan program yang dikendalikan.

No comments:

Post a Comment