Oleh DR. KAMILIN JAMILIN
Hari ini kita menyaksikan seorang tokoh pendakwah
terkenal telah berjaya ditutup mulutnya dari pentas terbuka negara. Betapa
sedihnya kita yang mengenali beliau dan betapa gembiranya mereka yang memusuhi
beliau.
Hari ini kita sedar, betapa sukarnya tugas menyeru
manusia ke jalan Allah & Rasul.
Betapa sukarnya melakukan dakwah tauhid berbanding
dakwah akhlak.
Hari ini kita faham, dakwah yang berkonsep menyingkap
kebatilan itu lebih sukar dari menyeru ke arah kebenaran.
Betapa sukarnya mencegah kemunkaran itu berbanding
menyuruh kemakrufan.
Saya yakin dugaan ini barangkali ringan sahaja bagi Dr
Zakir Naik (DZN) yang masih memiliki pentas lain dalam menyampaikan dakwah, dan
beliau tidak akan sesekali berhenti selagi nyawa tidak terpisah.
Bacalah al-Quran…
Demikianlah dakwah tauhid para Nabi dan Rasul sejak
ribuan tahun dahulu yang juga dituduh menghina sembahan kaum mereka, serta
ditohmah memecah belahkan masyarakat mereka, lalu ditentang dan ditekan begitu
dahsyat demi menutup mulut mereka.
Tiada dakwah sesukar dakwah tauhid yang mengajak
manusia menyembah Allah Yang Esa tanpa mempersekutukan-Nya, kerana suka atau
tidak, ia pasti akan menggugat kepercayaan pihak lain, dan menyentap
sensitiviti penganut lain.
Cukup dengan mengatakan Allah sahaja Tuhan yang layak
disembah, pasti akan dikata menghina penganut kepercayaan yang menyembah banyak
“ilah”.
Cukup dengan menyebarkan risalah surah “قل هو الله أحد”
yang menegaskan Allah itu tidak diperanak mahupun memperanak, pasti akan dikata
menyerang agama lain kelak.
Ia lebih mencabar dari dakwah menyebarkan ilmu, mahupun
dakwah mengajak manusia bersikap mulia.
Seruan dakwah yang pelbagai itu wajib bagi umat Islam
yang mampu mengikut kapasiti masing-masing sehingga ‘cahaya’ Islam ini dapat
disampaikan ke seluruh ceruk alam.
Namun fitrah dakwah itu sebagaimana yang Allah
firmankan:
يُرِيدُونَ أَن يُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٲهِهِمۡ وَيَأۡبَى ٱللَّهُ
إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُ ۥ وَلَوۡ ڪَرِهَ ٱلۡكَـٰفِرُونَ * هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرۡسَلَ
رَسُولَهُ ۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُ ۥ عَلَى ٱلدِّينِ ڪُلِّهِۦ
وَلَوۡ ڪَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam)
dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan
cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka akannya. Dialah yang telah
mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar
(agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang
lain, walaupun golongan musyrikin tidak menyukainya” [al-Tawbah: 32-33].
Hari ini juga kita menyaksikan kebenaran sabda Nabi SAW
akan ramainya bilangan umat baginda di akhir zaman yang tidak mampu berbuat
apa-apa melainkan hanya menjadi mangsa ratahan ‘pemangsa’ dari segenap penjuru
umpama makanan yang terhidang.
Sabda baginda: “Pada saat itu Allah mencabut perasaan
gerun dari hati-hati musuh kamu dan tersemat di dalam hati-hati kamu penyakit
wahan”.
Lalu sahabat bertanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan
wahan itu wahai Rasulullah?”.
Baginda menjawab, “Wahan ialah sikap cintakan dunia dan
takutkan mati” [riwayat Ahmad].
Benar, hari ini kita ramai, namun kita lemah. Masing-masing
membawa panji yang memecah belah. Akhirnya perpaduan umat kian goyah, masing-masing
tidak rela kepentingannya dilapah, Akhirnya agama ini semakin rakus diratah.
Di manakah ‘Umar? Di manakah al-‘Izz ‘Abd al-Salam?
Muncullah! Kerana cahaya agama ini semakin kelam,
Auranya semakin suram tenggelam,
Umat ini telah kehilangan ‘izzah' Islam,
Seakan bulan yang terlindung di sebalik awan malam.
Sekadar luahan,
Dr. Kamilin Jamilin
No comments:
Post a Comment