Terkilan, terkejut, kecewa, marah dan tidak puas hati.
Demikianlah reaksi pekebun-pekebun kecil selepas pengumuman mendukacitakan oleh
Menteri Industri Utama, Teresa Kok bahawa kerajaan menghentikan skim bantuan
penanaman semula kepada lebih 650,000 entiti tersebut.
Beliau mengumumkan demikian pada sidang media selepas
Majlis Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan sesi dialog
bersama penanam dan pekebun kecil negeri Pahang di Dewan Akademik Usahawan Tani
Kampung Awah, Maran kelmarin.
- Ahli Parlimen dari DAP itu memberi alasan, kononnya kerana mahu memberi keadilan kepada pekebun-pekebun di bawah seliaan Felda dan Felcra.
Hari ini, media menyiarkan kenyataan berupa protes dan
luahan kekecewaan daripada wakil persatuan mangsa-mangsa yang menjadi sasaran
itu.
Bagaimana untuk terus hidup dengan tanaman diusahakan sedangkan
untuk penanaman komoditi tersebut perlukan modal. Pinjaman? Jika meminjam bagaimana
mahu membayar balik kerana tanaman belum berhasil dan memakan masa
bertahun-tahun. Bagi pekebun-pekebun di bawah seliaan Felda dan Felcra pula mereka diberikan elaun sara
hidup.
Kenapa kerajaan baharu ini perlu merombak sistem yang
baik yang telah diasaskan oleh kerajaan yang lama. Sebelum ini pekebun-pekebun kecil
sawit dan getah layak menerima bantuan kewangan sebanyak RM7,000 bagi setiap
hektar yang diusahakan.
Sepatutnya kerajaan menjadi pelindung kepada rakyatnya,
apatah lagi pekebun-pekebun kecil seperti mereka yang terpaksa bertarung untuk
hidup. Kenapakah pihak kerajaan ini sanggup meminggirkan aspek kebajikan kepada
pekebun-pekebun iaitu rakyat negara ini sendiri?
Sebahagian besar pekebun kecil masih berada dalam paras
kemiskinan. Tidak sedarkah pemimpin di atas sana bahawa kos input pertanian
juga semakin meningkat dan membebankan.
Sudahlah harga sawit dan getah merudum tanpa
usaha-usaha khas untuk menanganinya, harga barangan keperluan harian pula terus
melonjak. Apakah kerajaan mahu mendera rakyat dengan kesulitan-kesulitan baharu
sedangkan harga komoditi yang rendah pun masih belum ditangani?
Mungkin menteri lupa bahawa industri sawit di Malaysia
menyumbangkan sekitar 50 ke 60 bilion ringgit Malaysia setahun kepada ekonomi
negara.
Sepatutnya kerajaan perlu mengekalkan bantuan malah
meningkatkannya lagi. Nampaknya, bukan sahaja janji-janji manifesto pilihanraya
bagi mengangkat martabat ekonomi rakyat dilupakan, kini hak rakyat yang
disediakan kerajaan terdahulupun mahu dihapuskan!
No comments:
Post a Comment