Wednesday, March 5, 2014

Kumpulan 11 berpatah arang dengan Khairy Jamaluddin

Kemelut yang melanda kepimpinan Pemuda Umno Negeri Pahang iaitu ‘kumpulan 11 lawan Khairy Jamaluddin’ semakin kusut dan belum diketahui di mana titik penghujungnya.

Ini berikutan kumpulan 11 itu telah diberikan surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin Umno kerana didakwa melanggar Perkara 7 perlembagaan parti itu. Jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan tindakan tata tertib seperti digantung keahlian.

Kumpulan 11 ialah 11 orang Ketua Pemuda (KP) Umno Bahagian yang tidak berpuas hati dan menolak keputusan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berhubung pelantikan KP Pekan, Shahruddin Ahmad sebagai KP Umno negeri Pahang yang baru.

Sebelum ini pada 21 Januari lalu Kumpulan 11 telah menghantar memorandum bantahan kepada Pemuda Umno Pusat dan diikuti sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur kemudiannya. Kononnya sidang media itu terpaksa diadakan berikutan tempoh dua minggu yang diberi kumpulan 11 kepada Khairy, tidak dilayan.

Antara lain, memorandum yang turut disebarkan kepada umum itu, menyatakan mesyuarat semua KP Pahang telah memberi mandat, keyakinan dan kepercayaan tidak berbelah-bagi menyokong penuh Ketua Pemuda Umno Bera, Zoolihsan Ahmad dilantik sebagai KP negeri yang baru.

Kandungan memorandum itu menyebut, tindakan itu diambil bagi memastikan pemuda Umno Pahang terus bersatu dan diupayakan. Kumpulan 11 hilang kepercayaan kepada Shahruddin kerana beliau gagal mendengar pandangan dan suara akar umbi dan gagal memupuk kemesraan di kalangan anggota pergerakan tersebut.

Kumpulan tersebut juga mendakwa, pelantikan Shahruddin sebagai KP negeri didasari untuk kepentingan pihak tertentu yang mencaturkan perlantikan dengan demikian tidak mendapat sokongan majoriti Ketua-ketua Pemuda Bahagian.

Shahruddin juga didakwa tidak langsung mengambil inisiatif untuk mencari jalan penyelesaian, mahupun mengadakan perjumpaan dengan semua KP Bahagian walaupun telah dinasihati supaya berjumpa seorang demi seorang bagi menjernihkan kembali suasana keroh, namun nasihat yang diberi langsung tidak diindahkan.

Memorandum itu menyebut, demi kelangsungan politik dan perpaduan yang menyeluruh Pemuda Umno Pahang, maka 11 KP Bahagian itu sebulat suara tidak akan menerima jawatan sebagai Ketua Pemuda Negeri dan tidak akan menerima perlantikan mana mana Ketua Pemuda Bahagian yang lain selain daripada Zoolihsan.

Zoolihsan kini menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada ketika ini ‘pertempuran’ antara puak-puak dalam Pemuda Umno Pahang ini sudah merebak hingga ke laman sosial. Kumpulan 11 juga kelihatannya sudah ‘berpatah arang berkerat rotan’ dan bersedia menerima sebarang tindakan.

Cukup menarik diperhatikan ialah Shahruddin merupakan KP daripada Bahagian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Manakala Zoolihsan, menurut posting di facebook salah seorang kumpulan 11, kononnya direstui oleh ‘orang istana’.

Umum sudah tentu tidak mengetahui sama ada dakwaan-dakwaan kedua-dua kumpulan tersebut mempunyai fakta betul atau sebaliknya. Namun jika kumpulan 11 benar-benar diambil tindakan nanti, perpecahan dalam Umno Pahang dijangka akan bertambah parah.

~ Zoolihsan (kira sekali) bersama 10 lagi Ketua Pemuda Umno Bahagian yang menyokongnya.



No comments:

Post a Comment