Monday, June 6, 2011

Tugas pertama selepas muktamar

Semasa ucapan penggulungan semalam, Datuk Seri Tuan Guru Presiden Abdul Hadi antara lain mencabar perwakilan agar memberi tumpuan khusus berkaitan pendaftaran pemilih bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ahli PAS ada 1 juta, takkan tak boleh menggerak dan mengerahkan 12,000 untuk memberi tumpuan khusus bagi mendaftarkan ahli dan penyokong PAS,” katanya.

Maka dengan andaian PRU akan diadakan dalam tempoh enam bulan lagi, PAS di semua peringkat diarahkan bekerja keras melaksanakan pendaftaran pemilih baru secara besar-besaran.

Jika pihak tertentu sanggup mengeksploitasi jabatan kerajaan bagi membolehkan pendatang luar mendapat mykad supaya boleh mengundi parti mereka, mengapa PAS tidak mengambil semangat yang sama iaitu ‘mahu menang’ tetapi melalui kaedah yang halal dan dibenarkan undang-undang.

Persoalan pendaftaran pemilih itu disentuh Presiden dalam respons beliau kepada penggulungan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebelum itu yang mahukan Pemuda melancarkan pendaftaran pemilih secara besar-besaran.

"Saya menyaran tugas ini dipikul oleh Dewan Pemuda kerana mereka yang perlu didaftar adalah golongan muda. Sejumlah 3.5 juta remaja belum lagi mendaftar sebagai pemilih!" tegas Abdul Halim.

Untuk itu, beliau mengarahkan agar Pemuda Pusat memantau Pemuda Negeri dalam urusan tersebut manakala Pemuda Negeri pula pantau Pemuda kawasan, seterusnya Dun, Unit Peti Undi dan Cawangan.

"Saya yakin jika ia dilakukan dengan sistematik, kita akan berjaya dan jika kerja ini tidak dibuat, kita akan kalah atau kita tidak akan menang. Kalau kita tidak ada cawangan pun, sekurang-kurangnya kita perlu ada jawatankuasa di peringkat Unit Peti Undi (UPU)," kata Abdul Halim lagi.

Saya fikir pendaftaran secara agresif ini perlu dilakukan sepanjang masa mulai sekarang termasuk membuka kaunter pada setiap kali program PAS seperti ceramah umum dan sebagainya dengan meletakkan sasaran dan fokus khusus.


No comments:

Post a Comment