Thursday, June 2, 2011

Tidak adil labelkan Ustaz Tuan Geng Terengganu

Saya langsung tidak bersetuju dengan label 'Geng Terengganu' yang diberikan terhadap calon Timbalan Presiden Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, seperti yang tersiar dalam artikel “Ulama bakal singkir Nasha” di laman Malaysiakini semalam.

Kepada saya label tersebut tidak benar langsung dan hanya dimainkan oleh ‘puak tertentu’ dalam PAS sendiri sebelum ini kemudian diambil media tersebut.

Label ‘Geng Terengganu’ sebenarnya sudah sangat diburukkan berikutan dikaitkan dengan kumpulan “kerajaan perpaduang” (UG) yang hampir “memecahkan” dua tuan guru dalam PAS. Lama polemik ini berlegar dalam PAS.

Tidak dinafikan, penulis artikel berkenaan, Jimadie Shah Othman, mungkin mengambil sumber dari dalaman PAS sendiri. Istilah ‘Geng Terengganu’ muncul menjelang pemilihan dua tahun lalu bersama istilah ‘profesional vs. ulamak”. Maka rentetan daripada peristiwa lampau tidak mustahil berombak kembali

‘Geng Terengganu’ kononnya merujuk kepada penguasaan 'strategik' terhadap tindakan politik Presiden PAS Abdul Hadi. Apa yang tidak enak didengar ialah geng ini dikaitkan dengan kumpulan ulamak tetapi direka-rekakan cerita kononnya terhegeh-hegeh mahukan UG. Lebih malang, ada yang menuduh mahu ‘membawa PAS masuk Umno’! Itu mainan kononnya daripada kumpulan profesional.

Isu ini dimainkan banyak kali di kalangan dalaman PAS sendiri dan blog tertentu. Antara yang lantang ialah blogger Tulang Besi dan Aduka Taruna.

Tuduhan tersebut (yang dibawa oleh kalangan dalam PAS sendiri) pada masa itu agak memberi perhatian sehingga Tuan Guru Mursyidul Am PAS sendiri ‘melatah’ dan pernah mahu menghadapkan Tuan Guru Presiden PAS dengan EGM (mesyuarat agung luar biasa).

PAS Kelantan dan PAS Terengganu juga dikatakan, pada masa itu, tidak boleh bertemu!

Hari ini isu Geng Terengganu @ Kerajaang Perpaduang itu cuba dibangkitkan kembali dan lebih menyakitkan ia labelkan kepada Naib Presiden Kanan yang juga calon Timbalan Presiden, Ustaz Tuan Ibrahim.

Saya percaya, Jimadie yang menulis artikel berkenaan tidak semberono melainkan mendapatkan maklumat daripada kalangan PAS sendiri.

Saya memberi jaminan Tuan Ibrahim bukan dari kalangan yang mahu “membawa PAS masuk Umno” atau UG. Itu hanya tohmahan buruk yang tidak perlupun dilayan? Apakah hanya kerana Tuan Guru Presiden rapat dengan Tuan Ibrahim atau kerana Tuan Ibrahim kekal berkopiah, maka terus mahu ‘dikandangkan’ beliau sebagai geng Terengganu?

Adilkah begitu?

Kali ini Tuan Ibrahim turun sebagai calon Timbalan Presiden tanpa berkempen atau menghubungi ‘sana sini’, tanpa bermesyuarat di hotel dan tanpa interview dengan media. Beliau turun dengan mempertaruhkan reputasi, kredebiliti dan integritinya sendiri. Tuan Ibrahim turun dengan imej pendamai: ulamak dan profesional!

Suka saya sebutkan, pertandingan kali ini adalah lebih daripada menentukan siapa Timbalan Presiden atau memperkasakan Presiden yang ada. Bagi saya yang lebih besar daripada itu, pertandingan kali ini ialah bagi mengisyaratkan siapa bakal Presiden PAS pada masa akan datang!


No comments:

Post a Comment