Thursday, June 23, 2011

Saya pilih JAMBU juarai Maharaja Lawak

Saya tidak pedulikan sangat program Maharaja Lawak di Astro, sehinggalah menyedari anak-anak sangat menggemarinya dan berkumpul di hadapan televisyen awal-awal, setiap jam 10 malam pada setiap Jumaat.

Besok, Jumaat, ialah pertandingan akhir empat peserta (tiga berkumpulan dan satu solo) bagi merebut wang tunai sebanyak RM300,000 bagi peserta yang dinobatkan sebagai paling kelakar di negara ini.

Maharaja Lawak merupakan pertandingan persembahan komedi yang disertai finalis selama lima musim program realiti Raja Lawak yang mula disiarkan sejak 2007.

Ertinya, program ini menghimpunkan pelawak terbaik negara pada masa ini. Negeri Pahang pernah menampilkan “Pak Tam” dari Kuantan atau nama sebenarnya Mohd. Nor Rollah Ismail, 53, iaitu peserta Raja Lawak musim kedua. Sayangnya beliau hanya berjaya sehingga ke minggu ke 9.

Beliau ialah adik kepada bekas aktivis parti buruh yang pernah ditahan ISA pada tahun 1969, Cikgu Dzulkifli Ismail (bekas Adun Sungai Lembing).

Bagi Maharaja Lawak, pada asalnya terdapat 12 peserta yang terpilih di peringkat awal siaran langsung menerusi saluran Astro Warna (132) itu. Hampir setiap minggu ada penyingkiran berdasarkan undian SMS daripada penonton, sehinggalah kini tinggal empat peserta.

Pada jadual asalnya, pertandingan berjalan selama 10 minggu namun setelah mendapat sambutan hangat di seluruh negara, program tersebut telah dilanjutkan kepada 13 minggu.

Pertandingan akhir Maharaja Lawak besok akan menyaksikan penampilan terhebat tiga kumpulan iaitu Jozan, Jambu dan Sepah, manakala peserta solo terdiri daripada Nabil. Jozan terdiri daripada Johan dan Zizan adalah peserta Raja Lawak musim pertama dan hanya menduduki tempat kedua dan ketiga.

Jambu pula dianggotai juara Raja Lawak musim pertama Yus dan Tokey, juga adalah finalis musim itu.

Trio yang menggelarkan diri mereka Sepah dianggotai Jap, Mamat dan Shuib iaitu juara Raja Lawak musim ketiga. Manakala peserta solo, Nabil pula juara musim kedua.

Sebenarnya Jozan, Sepah dan Nabil sudah menempah nama sebagai artis dan sudah ada siri rancangan mereka di televisyen. Maka pastilah mereka mempunyai ramai peminat termasuk untuk mengundi mereka sebagai juara malam esok.

Malah Jozan dan Nabil diramalkan media bakal juarai program tersebut.

Namun kumpulan Jambu masih belum ada show mereka sendiri, jadi mereka terpaksa menunjukkan lawak terhebat untuk meraih undian kerana mereka bukan artis. Meskipun saya belum pernah SMS mengundi mereka, akan tetapi mereka merupakan peserta favourite saya dan saya paling meminati lawak mereka. Seperti kata Mamat Khalid, lawak mereka "internasionale".

Justeru harapan saya, biarlah Jambu menjadi juara malam esok. Bertepatan dengan cita rasa anak-anak!


No comments:

Post a Comment