Wednesday, June 22, 2011

Insentif untuk lelaki berpoligami disokong

Hasrat Kerajaan PAS Kelantan untuk memberi insentif khas kepada lelaki berkahwin lebih daripada satu, dengan syarat ia dilakukan secara baik dan mengikut syariat Islam adalah amat baik dan wajar dialu-alukan oleh semua pihak.

Bahkan secara rasionalnya, Kerajaan Pahang juga patut mencontohinya agar wujud galakan dan senario kemurnian dalam ‘mendirikan masjid itu’.

Seperti kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan, Wan Ubaidah Omar, Islam tidak pernah menghalang poligami, malah ia merupakan salah satu cara untuk menyelesaikan masalah masyarakat.

“Poligami yang baik boleh selesaikan masalah ibu tunggal anak ramai, namun ia mesti dilakukan dengan betul, mesti jujur dan berterus terang, contohnya macam (pelakon dan pengacara) Salih Yaakob.

“Apa pun insentif ini masih di peringkat cadangan dan jika dipersetujui, mungkin suami sebagai ketua keluarga akan mendapatnya,” katanya selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di sini, semalam.

Beliau mengakui jumlah poligami di Kelantan antara tertinggi dengan lebih 1,000 pasangan berdaftar sepanjang 2002. Menurutnya, adalah lebih baik mereka yang berkahwin lebih itu memilih armalah sebagai pasangan hidup kerana di Kelantan sahaja terdapat 25,000 individu yang berumur bawah 60 tahun yang kematian suami atau bercerai.

Perkara tersebut pada asalnya ditimbulkan oleh Adun Pasir Tumbuh, Ahmad Baihaqi Atiqullah semasa seisi perbahasan sidang DUN kelmarin.

Saya fikir poligami sememangnya boleh menyelesaikan banyak masalah masyarakat antaranya gejala bersekedudukan, seks rambang, kawin lari, fenomena anak dara tua, gadis tergoda mengikut pasangan warga asing dan sebagainya.

Di Pahang pula, mengikut sebuah berita yang disiarkan baru-baru ini, lelaki terpaksa dengan warga asing untuk dapatkan pasangan kerana nisbah 13:1 iaitu bagi setiap 13 lelaki tempatan terdapat seorang lelaki warga asing di Pahang seperti yang terkandung dalam penemuan awal banci penduduk dan perumahan Malaysia yang terbaru.

"Bilangan warga asing di Pahang ini memberi implikasi daripada segi persaingan lelaki di Pahang untuk mendapatkan pasangan mahupun pekerjaan, sekaligus memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan," kata Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Aminah Abdul Rahman.

Aminah berkata bahawa di Pahang pada masa ini bilangan lelaki dalam umur perkahwinan, iaitu 20 hingga 34 tahun, ialah 198,600 orang berbanding 188,900 wanita.

Bancian yang dijalankan tahun lepas itu juga menunjukkan bahawa kaum lelaki di Pahang melebihi wanita pada nisbah 113:100, satu angka yang melebihi paras nasional pada 105:100.

Berdasarkan bilangan sebenar, terdapat 759,587 orang lelaki dan 683,778 wanita di Pahang.

Menurut Aminah, sekiranya nisbah bilangan jantina tidak seimbang, ia boleh menimbulkan masalah kekurangan bilangan penduduk antara jantina dalam kumpulan umur perkahwinan tertentu untuk dijadikan pasangan hidup.

"Senario ini mungkin berlaku selepas penghijrahan keluar dari negeri Pahang oleh wanita muda dan ini menyebabkan kaum lelaki terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan pasangan dan boleh menyumbang kepada isu kahwin lewat," katanya.

Justeru pihak bekuasa agama di Pahang diharapkan lebih kreatif dan proaktif memikirkan usaha-usaha terbaik.

Namun lebih daripada itu, saya berpendapat jamaah Islam seperti PAS lebih perlu lagi mengikhtiarkan galakan tersebut demi meramaikan lagi penerus perjuangan pada masa hadapan!

No comments:

Post a Comment