Friday, January 31, 2020

Rayuan derma untuk Tahfiz Al Banna terbakar

Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar, semalam meluangkan masa melawat Sekolah Rendah Islam Tahfiz Al Banna, Bandar Tun Razak Jengka yang mengalami musibah kebakaran pada minggu lalu.

Beliau yang juga Adun Tanjung Lumpur, turut menyampaikan sumbangan sebagai bantuan segera bagi meringankan pihak pengurusan tahfiz kepada timbalan pengerusinya Kamaruzaman Yusof.

Turut hadir, Adun Jengka Ustaz Shahril Azman Abdul Halim serta Pengarah Sekretariat Adun PAS Pahang, Nasoha Bidin dan Pengarah Jabatan Akademik tahfiz berkenaan, Ustaz Abu Anas Umar Qayyam.


Terdahulu, pihak PAS Kawasan Lipis turut tampil menyampaikan sumbangan.

Tragedi kebakaran berlaku pada 18 Januari lalu kira-kira jam 9.20 malam ketika semua pelajar sudah berada di asrama yang terletak kira-kira 50 meter dari situ.

Pihak bomba yang sampai kira-kira dalam tempoh empat minit, mengsyaki musibah berpunca daripada suis utama yang gagal berfungsi dengan baik. Namun unit forensik bomba masih menjalankan siasatan.

Mujurlah tiada kemalangan jiwa dan kecederaan. Namun kebakaran memusnahkan bilik kelas dan merosakkan struktur bangunan.

Kerugian ditaksirkan berjumlah RM328  ribu termasuk peralatan elektronik.

Pelajar-pelajar kini meneruskan pelajaran di Masjid Sultan Ahmad Shah Jengka dengan izin Pegawai Agama Islam Daerah.


Bangunan mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Pahang (Maip), Bomba, Tenaga Nasional Berhad serta Jabatan Kesihatan.

Sebelum ini, wakil Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Qadi Jengka, wakil masjid-masjid dan orang persoarangan turut tampil melawat sambil menghulur sumbangan.

Bangunan Tahfiz Al Banna mulai dibina pada 2013 di atas tanah sewa beli hasil daripada sumbangan orang ramai berjumlah RM260  ribu.

Sessi pembelajaran bermula pada 2015.

Pada masa ini terdapat 10 kelas pengajian daripada darjah satu sehingga enam dengan tiga aliran iaitu Tahfiz, Kafa dan KSSR.


Jumlah pelajar pada masa ini seramai 173 orang dengan 33 orang kakitangan.

Pihak tahfiz dinasihatkan tidak lagi menggunakan bangunan kelas yang terbakar. Justeru bangunan asrama terpaksa diubahsuai dengan kos sekitar RM500 ribu.

Namun ia masih jauh daripada mencukupi.

Justeru orang ramai yang memiliki sedikit  kelapangan, bolehlah menyumbang tanpa mengira berapa jumlahnya untuk menyemai  saham akhirat.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5561 4101 9726 (Seri Tahfiz Al Banna). Pengesahan boleh dibuat dengan menghubungi 014 807 1036 (Kamaruzaman).

No comments:

Post a Comment