Tuesday, January 14, 2020

Murtad adalah urusan insan dengan Tuhan - G25?

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR 

Seperti bala sedang menghempap tanah leluhur apabila fahaman neo muktazilah, Islam Inklusif atau Islam liberal sedang merayap dan mengukuhkan akarnya. Suara lantang agar rakyat dibenarkan memilih agama tanpa perlu adanya sekatan perundangan atas nama  oleh bekas penjawat awam kanan, G25 adalah sangat meruntun hati nurani umat Islam. Kebebasan murtad atau menukar agama di atas nama keharmonian kaum dan merapatkan jurang segregasi kaum adalah racun yang membunuh akidah.



Tuntutan tolol kumpulan liberal ini makin mencolek mata dan nurani kita semua yang beriman, malah mempertikaikan JAKIM dan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) tiada wewenang dalam perlembagaan negara. Isu kebebasan memilih  agama adalah tembuni yang dibidani daripada pemikiran neo muktazilah yang semakin bersemarak disuarakan oleh NGO-NGO Liberal negara ini. Dalam rakaman sejarahnya , fahaman ini sangat bejat dan terancang menyerang Indonesia semenjak zaman Bung Karno serta pintu banjir kesesatan Islam inklusif terbuka luas di zaman transisi pasca Mei 1998 dan negara ini pasca 9 Mei 2018.

Dengan terjahan dunia langit terbuka kelompok ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka. Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolabarasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka. Berada hampir dengan koridor kuasa maka makin memudahkan mereka melantunkan suara dengan hujjah Malaysia baru , segalanya mesti berubah dan baru!.

Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini. Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman Islam liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai posisi.

Antara racun yang disebar oleh kelompok liberal dipelbagai belahan dunia Islam ialah kesesatan dalam bab akidah dan tauhid, antaranya pluralisme agama  atau jamak agama,
Iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”.

Dengan fahaman inilah, maka lahirnya ideologi Pancasila di Indonesia. Darinya juga, penganut fahaman Islam liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan betul dan perkahwinan sebegini sememangnya telah diamalkan di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam liberal di sana. Di Malaysia, penularan fahaman pluralisme dapat dilihat dalam kes-kes seperti usaha mengiktiraf penukaran agama atas nama hak asasi manusia. Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia.

Bagi kelompok Islam liberal yang jahil ini mereka berhujah bahawa hak untuk murtad menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui oleh al-Quran. Mereka menyalah tafsirkan ayat Allah yang berbunyi; “Tidak ada paksaan dalam agama”. (Al-Baqarah; 256). Menurut tafsiran ulama tafsir yang muktabar, ayat di atas hanya terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri. Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara akidah dan iman.

Dalam kes murtad, orang Islam yang keluar daripada agama akan dikenakan hukuman yang berat di akhirat dan di dunia. Hukuman di akhirat ia akan dihumbankan Allah dalam neraka untuk selama-lamanya. Adapun hukuman di dunia ia akan dibunuh sebagaimana yang sabit dengam dalil as-Sunnah yang sahih iaitu sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa menukar agamanya (yakni murtad), maka hendaklah kamu membunuhnya”. (Riwayat Imam Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan lain-lain dari Ibnu Abbas). Golongan Islam liberal menentang penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.

Sebagai contohnya, dalam era kerajaan BN dahulu, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) suatu ketika dulu menahan para pengunjung Islam di pusat-pusat hiburan telah mendapat bantahan keras dari Sisters In Islam dan 50 NGO yang lain. Mereka telah mengemukakan memorandum kepada pihak kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan hak asasi manusia. "Personal sin is not a criminal" , hak wilayah privasi rakyat tidak boleh diceroboh oleh kerajaan kerana bagi mereka  dosa-dosa peribadi bukanlah satu jenayah.

G25 salah satu trompet gerakan liberal yang meminta pihak kerajaan agar membubarkan semua undang-undang agama yang menghalang rakyat daripada mengecapi hak asasi peribadi dan bersuara. Mereka agak skeptikal dengan usaha pembumian Syariah di Terengganu termasuk Enakmen agama yang mengenakan tindakan kepada anggota masyarakat yang tidak menunaikan solat jumaat.

Malahan pertubuhan itu juga tidak bersetuju dengan apa cara dan usaha menggunakan undang-undang untuk memelihara iman seorang muslim. Hal ini kerana persoalan yang berkaitan dengan moral dan agama dianggap sebagai hak peribadi dan kebebasan tersebut tidak seharusnya dikawal dengan menggunakan kuasa perundangan.

Pasca PRU 14 ini menyaksikan banyak tuntutan kelompok pendokong Islam liberal dan pluralisme agama akan digemakan. Riak-riak kepongahan mereka semakin menyerlah, kerana turut merasakan mereka turut memberikan sumbangan kepada kemenangan PH baru- baru ini. Umat Islam mestilah mengambil cakna perkembangan semasa yang berlaku, menularkan fahaman neo muktazilah yang akan mengganggu kelestarian agama Islam dan penganutnya. Ahzab moden sedang mengepung ummat ini daripada segenap penjuru, dengan senjata fitnah mereka. Bangkitlah wahai ummat!, jangan tidur dan merasa selesa dengan fenomena ini.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

No comments:

Post a Comment