Friday, January 3, 2020

Permainan politik perkauman buatkan Maszlee tersingkir

Oleh JUNHAIRI ALYASA

PERJUANGAN politik Dr Maszlee Malik menempuh satu fasa yang berliku apabila beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Pendidikan semalam setelah memegang jawatan itu selama 19 bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).


Maszlee yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam dari Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) merupakan anggota Kabinet pertama dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan jawatan.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V pada 21 Mei 2018 selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan barisan Kabinet kerajaan PH.

Maszlee menerima surat cara pelantikan sebagai ahli jemaah Menteri daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara pada 21 Mei 2018.

Maszlee menerima surat cara pelantikan sebagai ahli jemaah Menteri daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara pada 21 Mei 2018.

Pada mulanya, Dr Mahathir ingin memegang portfolio tersebut namun mendapat tentangan daripada parti lain dalam PH kerana manifesto gabungan parti itu telah menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang lebih daripada satu jawatan.

Atas sebab itu, Maszlee yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kemudian mengambil keputusan menyertai politik beberapa bulan sebelum PRU14 sebagai calon terbaik sebagai Menteri Pendidikan.

Pelantikan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu seolah-olah menimbulkan perasaan kurang senang oleh beberapa pihak kerana beliau terkenal sebagai seorang tokoh dalam pemikiran politik Islam dan juga gerakan Islam kontemporari.

Maszlee mendapat pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (STAR) sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abu Bakar.

Beliau kemudian menyertai Madrasah Al-Quran Waddin pada tahun 1989 dan kemudian ke Maahad Johor.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dari Universiti al-Bayt sebelum menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya.

Pada tahun 2007, Maszlee melanjutkan pelajaran ke School of Goverment and International Affairs, Universiti Durham, England dan menerima ijazah kedoktoran pada tahun 2011.

Sebaik sahaja menjadi Menteri Pendidikan, Maszlee mengumumkan setiap pelajar di negara ini dibenarkan untuk memakai kasut dan stoking hitam mulai sesi persekolahan pada tahun 2019.

Pengumuman itu tidak diterima dengan baik oleh pembangkang dan pihak-pihak tertentu kerana bagi mereka Maszlee sepatutnya memberikan tumpuan terhadap isu yang lebih besar.

Cabaran yang lebih besar melanda Maszlee apabila beberapa pihak terutama gabungan parti dalam PH memberikan tekanan supaya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diterima oleh kerajaan.

Tuntutan itu dibuat kerana ia adalah permintaan daripada masyarakat Cina sementara orang Melayu pula menolak perkara itu kerana bimbang kedudukan Bahasa Melayu akan tergugat.

Tidak terhenti di situ, Maszlee kemudian diuji sekali lagi apabila beliau diserang dari kiri dan kanan mengenai isu peruntukan kepada sekolah-sekolah pelbagai aliran.

Beliau terpaksa membuat penjelasan bahawa peruntukan kepada Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina pada tahun 2019 yang berjumlah RM12 juta bukan daripada Kementerian Pendidikan tetapi sebaliknya daripada Kementerian Kewangan.

Maszlee terus berdepan dengan tugas sukar apabila kementerian itu mengumumkan keputusan Kabinet berhubung kuota kemasukan pelajar ke matrikulasi dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.

Dengan keputusan itu, jumlah pengambilan pelajar untuk memasuki Program Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun ini ditingkatkan kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 pada tahun lalu.

Susulan keputusan itu, jumlah pelajar Bumiputera yang berpeluang memasuki matrikulasi pada tahun ini, meningkat daripada 22,500 kepada 36,000 orang, manakala jumlah pelajar bukan Bumiputera meningkat daripada 2,500 kepada 4,000.

Bagaimanapun, Maszlee telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemimpin politik seperti MCA, Gerakan dan DAP apabila beliau mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan bahasa Mandarin sebagai syarat mendapat pekerjaan.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan Maszlee berkata, beliau menjadi mangsa serangan pihak tertentu kerana Maszlee merupakan individu yang memberikan tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab daripada bermain agenda politik.

"Beliau seorang yang betul-buat kerja untuk pendidikan. Beliau ialah menteri yang kurang berpolitik, bersih serta tidak memihak kepada sesiapa pun dalam memberi sebarang projek," katanya.

Pegawai itu menambah: "Malaysia kehilangan tokoh pendidikan yang bagus."

Krisis yang paling besar dalam kerjaya Maszlee sebagai Menteri Pendidikan ialah bagaimana beliau menangani isu tulisan jawi yang telah menjejaskan PH sebagai sebuah kerajaan baharu.

Isu itu tercetus apabila Kabinet mengekalkan keputusan untuk meneruskan pembelajaran tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 di sekolah vernakular mulai tahun ini namun perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta ibu bapa.

Keputusan itu dimuktamadkan selepas Kabinet sekali lagi membincangkan mengenai perkara berkenaan pada 14 Ogos lalu.

Bagaimanapun, sebanyak 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil dilapor menolak keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 di sekolah vernakular.

Pertubuhan dipimpin Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendakwa, pengenalan tulisan Jawi bagi murid di sekolah vernakular tidak bertepatan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu.

Secara keseluruhan, persepsi rakyat terhadap Maszlee dilihat sangat negatif sehinggakan beberapa undian dalam talian dilihat tidak memihak kepada beliau.

Lebih memeritkan apabila wartawan veteran dan bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, Datuk A Kadir Jasin mengkritik langkah menaikkan papan-papan iklan yang memaparkan wajah menteri pada 31 Disember lalu.

Kadir yang juga penasihat media kepada perdana menteri itu menjelaskan adalah lebih baik untuk papan iklan sedemikian digunakan untuk mempromosikan agenda kerajaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah ahli pimpinan tertinggi Bersatu yang menaikkan papan tanda memaparkan gambar masing-masing termasuk Maszlee.

Sementara itu, beberapa naib canselor universiti awam ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen berhubung perletakan Maszlee.

Salah seorang naib canselor itu berkata, mereka berada dalam kekeliruan memahami punca sebenar Maszlee tersingkir.

Peletakan jawatan Maszlee kini mencetuskan tanda tanya mengenai calon yang akan menggantikan beliau, malah ada beberapa pihak meramalkan kemungkinan rombakan Kabinet mungkin akan dilakukan bersama dengan pengumuman Menteri Pendidikan yang baru.

Maszlee baru berusia 45 tahun. Bagi seorang ahli politik yang meletakkan jawatan sebagai menteri pada usia puncak kerjaya 45 tahun, masa depan beliau tidaklah gelap sepenuhnya.

Maszlee mempunyai masa sekurang-kurangnya dua dekad lagi untuk meneruskan perjuangan politiknya.

Sumber: Sinar Harian 3 Januari 2020

No comments:

Post a Comment