MARAN: Seorang gadis yang menunggang motosikal dengan
aksi ala Superman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas
kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42 Akta
Pengangkutan Jalan 1987.
Video yang memaparkan gadis berusia 17 tahun itu
menunggang motosikal itu tular di Facebook dan dia ditahan selepas hadir
menyerah diri di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, 3
Januari lalu.
Ketua Polis Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abdul
Rahman berkata, gadis itu hadir ditemani bapa saudara yang juga pemilik
motosikal sebelum dia ditahan untuk siasatan lanjut.
"Penahanan gadis itu susulan video aksi tunggangan
beraninya berdurasi 1:06 saat yang ditularkan seorang pengguna Facebook sebelum
ini.
"Polis menubuhkan satu pasukan siasatan bagi
mengenal pasti pelaku yang terlibat dan siasatan berjaya mengenal pasti pemilik
motosikal dan penunggang terbabit," katanya.
Menurutnya, ketika soal siasat gadis itu mengaku
melakukan aksi itu dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 15ZR di Lebuhraya
Pantai Timur 1 (LPT1) dalam kawasan daerah Maran kira-kira jam 3.20 petang 1
Januari lalu.
Tangkap layar video aksi berani gadis berkenaan
menunggang ala Superman yang tular di laman sosial sebelum ini.
"Dia juga didapati tidak mempunyai lesen dan saman
dikeluarkan atas kesalahan tersebut," katanya.
Norzamri berkata, gadis berkenaan yang masih di bawah
umur mengaku bersalah ketika dituduh di mahkamah tetapi dibebaskan dengan
jaminan mahkamah sebanyak RM1,000.
"Mahkamah menetapkan 26 Februari depan sebagai
tarikh sebutan semula untuk laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM)," katanya.
Sementara itu, pemilik motosikal dikenakan tindakan di
bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan
motosikalnya ditunggang penunggang tanpa lesen.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment