Tuesday, August 21, 2018

BAHAGIAN 1: Istimewanya ‘Orang Tua ini’

Saya sering melihat beliau mundar-mandir di bandar Temerloh sejak dahulu. Orangnya amat peramah, suka menyapa sesiapa sahaja dan tidak kedekut membelanja makan minum orang ramai. Itu peribadinya.

Saya tidak pedulikan beliau sangat pada mula-mula dahulu, sehinggalah ada orang memberitahu beliau mahir membicarakan sejarah, iaitu subjek yang saya amat minati.


Rupa-rupanya tidak sia-sia menghampiri bekas Adun Kerdau (1974-1982) Haji Mohd Saludin Omar ini. Banyak yang boleh digali bagi yang meminati sejarah, komunisme, Felda dan politik khususnya di negeri Pahang. Istimewanya, sejarah yang dibicarakannya ialah pengalaman yang beliau sendiri bergelumang dengannya.

Paling mengejutkan saya ialah akrabnya beliau dengan bekas Perdana Menteri Malaysia Kedua Allahyarham Tun Hj Abdul Razak bin Hussein yang beliau sebut adalah tokoh, anugerah Tuhan untuk negara ini dan negarawan yang tiada tolok bandingnya. Dia bukan sahaja pemimpin yang genius tetapi juga seorang sahabat yang baik.

“Sepanjang 21 tahun (1955 - 1976) rapat dengannya, banyak mengajar saya erti kehidupan, malah mengubah hidup sendiri menjadi seperti sekarang.

“Hubungan peribadi yang akrab saya dengan Tun menyebabkan saya selalu berulang-alik ke rumahnya di Jalan Lake Garden Kuala Lumpur ketika itu, sama ada dipanggil beliau atau saya sendiri berkunjung untuk menghantar laporan sambil bertukar-tukar fikiran.

“Sebenarnya ada pertalian kekeluargaan antara kami. Tun Razak merupakan pangkat pak saudara dua pupu kepada saya. Aki Tun Razak (ayah kepada Hussein) sepupu dengan tokki saya. Semasa bertugas di Bentong, saya tinggal berjiran dengan Hussein (ayah Tun Razak) di Jalan Tras, berhampiran simpang Chamang.

“Salah seorang anak Hussein (adik satu ayah dengan Tun Razak) iaitu Mastura, pernah sekelas dengan saya  semasa sama-sama belajar di Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong dalam Special Malay Class Two.”

Selain rapat dengan Allahyarham Tun, ada beberapa pengalaman dan peristiwa yang amat perlu didedahkan kepada umum kerana ianya bukan bersifat peribadi malah akhirnya menjadi dasar negara. Antaranya berkaitan dengan pentadbiran, politik, komunis dan Felda.

Tulisan yang akan dibongkar kembali selepas ini di sepanjang bersama Tun bukan sahaja sekadar melengkapkan catatan sejarah peribadi malahan juga maklumat yang patut dikongsi khususnya untuk generasi muda. Kerana beberapa peristiwa dan usaha Tun tidak tercatat pun dalam mana-mana arkib atau catatan sejarah.

Tulisan mendatang akan membicarakan pengalaman beliau bersama Tun Razak sejak daripada awal.

2 comments:

  1. Intresting ni...harap segera menulis...saya juga minati sejarah..tanahair dan dunia.Dulu saya berkhidmat di beberapa sekolah di Tembeling dan Jerantut (76-81)..assalam..

    ReplyDelete
  2. Saya sudah beritahu dia, dia kata sedia bercerita tentang pengalamannya.
    Sebenarnya kami ada merakam perbualan tentang sejarahnya. Blog ini akan cuba menyiarkannya sedikit demi sedikit

    ReplyDelete