Tuesday, August 7, 2018

Paip rugi tiga tahun berturut-turut

KUANTAN: Kedudukan kewangan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) disifatkan sebagai kurang stabil apabila mencatatkan kerugian sebelum cukai bagi tempoh tiga tahun berturut-turut mulai 2015.

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, menyatakan Paip mencatat kerugian RM114.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015, RM108.22 juta (31 Mac 2016) dan RM103 juta (31 Mac 2017).

Selain itu, pengurusan bekalan air oleh syarikat yang ditubuhkan pada 6 Februari 2008 juga didapati dilakukan dengan kurang cekap manakala amalan tadbir urusnya juga disifatkan sebagai kurang memuaskan.

"Pengurusan bekalan air telah diuruskan dengan kurang cekap yang mana prestasi Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) tidak mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

"Pengurusan pengebilan air telah diuruskan dengan kurang cekap yang mana tunggakan hasil air bagi kategori rumah tangga dan perdagangan meningkat setiap tahun. Amalan tadbir urus Paip kurang memuaskan kerana tiada prosedur operasi standard (SOP) disediakan dengan lengkap," kata laporan itu.

Sementara itu, Paip menerusi maklum balas pada 27 Februari lalu, menyatakan prestasi kewangan yang tidak stabil itu adalah ekoran tarif air yang rendah menyebabkan jualan air tidak dapat menampung kos operasi dan pentadbirannya.

"Bagi kos operasi dan pentadbiran pula, tidak termasuk bil Tenaga Nasional Berhad (TNB), peningkatan kos yang ketara adalah pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015, disebabkan peningkatan kos bahan mentah oleh pembekal.

"Kos bil TNB pula menunjukkan peningkatan ketara pada tahun berakhir 31 Mac 2015 iaitu 19.7 peratus disebabkan peningkatan tarif elektrik. Kos bil TNB ini termasuk dengan denda surcaj lewat bayar," katanya.

Paip menambah walaupun mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut, mereka masih mampu menampung kos operasi dan pentadbiran tidak termasuk bil TNB melalui kutipan hasil jualan air dan bantuan modal daripada kerajaan negeri.

Mengulas  cadangan meningkatkan tarif air, Paip berkata pihaknya dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memohon kenaikan itu pada 2015, namun ia ditangguhkan oleh kerajaan negeri.

"Paip telah menubuhkan Jawatankuasa Kajian Tarif pada peringkat lembaga pengarah dan telah bersidang pada 2016, yang mana cadangan pelarasan tarif air dikemukakan sekali lagi kepada kerajaan negeri serta sedang menunggu keputusan muktamad mereka," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment