Thursday, September 27, 2012

Nasib penghuni Taman Seri Kemuning

Cuba anda bayangkan tinggal di sebuah taman perumahan tanpa sijil kelulusan menduduki atau CF selama 20 tahun.

Apa risikonya?

Risikonya ialah andaikata terjadi sesuatu musibah seperti kebakaran dan sebagainya, segala kerosakan, kerugian dan kemalangan tidak boleh dituntut kerana pihak insuran tidak menerima perumahan tanpa CF.

Akan tetapi inilah hakikat yang terjadi kepada lebih 300 keluarga yang mendiami rumah pangsa Taman Seri Kemuning, Batu 3 Temerloh.

Pembinaan perumahan 5 blok itu pada asalnya adalah perumahan rakyat berpendapatan rendah sama seperti perumahan Bukit Cermin, Desa Jaya Batu 7, Taman Sri Kerinau dan lain-lain milik kerajaan negeri.

Menurut cerita penduduk lama, rumah pangsa terbesar di Temerloh itu merupakan projek semasa Tun Khalil Yaakob menjadi Menteri Besar Pahang dengan mendapat peruntukan dana daripada kerajaan Pusat sementara kerajaan negeri hanya menyediakan tanah.

Dalam masa menyiapkan projek berkenaan, dua kontraktor utama telah ‘lari’ dan bertukar tangan hinggalah syarikat perumahan kerajaan sendiri yang masuk campur.

Pada asalnya bayaran pemilikan berbentuk sewa beli (RM25,000) itu dikutip oleh wakil kerajaan negeri sekitar antara RM50 ke RM100 sebulan.

Lama kelamaan kerajaan negeri pimpinan Umno BN tidak lagi berupaya meneruskan sistem berkenaan lalu menyerahkannya kepada pihak bank.

Tidak dinafikan, kesalahan pihak penduduk memang ada iaitu ada sesetengahnya yang agak ‘liat’ membayar sewa beli bulanan. Tetapi bukan semua.

Manakala kesalahan pihak kerajaan pun ada di mana pegawai pengutip tidak datang, jadi bagaimana penduduk mahu membayar? Ditambah lagi dengan perumahan tersebut sendiri yang tidak mendapat CF membuatkan penduduk ragu-ragu dan tidak mengetahui nasib yang bakal menimpa mereka sebenarnya.

Sehinggalah 500 keluarga yang pada asalnya menghuni rumah pangsa itu, beransur-ansur kurang dan kini hanya tinggal sekitar 300 keluarga dengan kira-kira 1,500 penduduk.

Dengar ceritanya sudah beberapa kali memorandum penduduk dihantar ke pelbagai pihak bagi meminta diselesaikan permasalahan mereka. Ada juga pertemuan dengan Exco perumahan.

Awal tahun ini Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob telah datang berdialog dengan penduduk. Apabila diajukan persoalan CF, beliau juga dikatakan tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan hati penduduk.

Dua tahun lepas Draf Rancangan Tempatan Daerah Temerloh telah menyatakan kawasan berkenaan akan dijadikan transit pengangkutan utama dari Kuala Lumpur ke Kuantan. Dengan lain-lain perkataan, oleh kerana kedudukannya yang strategik menyebabkan kawasan berkenaan akan diambila alih untuk pembangunan sementara penghuni Sri Kemuning menjadi mangsa.

Terbaru, ada pihak kerajaan yang memberitahu kawasan berkenaan akan dibina baru dengan pangsapuri dan rumah pangsa lama akan dirobohkan.

Persoalan inilah yang membuatkan penghuni di situ ‘pening kepala’. Pertama, ke mana mereka akan berpindak untuk memulakan penghidupan baru sedangkan mereka sudah lama bermastautin di situ. Kedua, mereka telah mengeluarkan wang membayar sewa mahupun membelinya. Ada antara mereka dikatakan telah membayar habis pinjaman melalui potongan gaji jadi bukan mudah untuk mereka membuat pinjaman kali kedua mencari rumah lain.

Ketiga, 70 peratus daripada pemilik merupakan warga emas. Jika mereka berpindah sementara menunggu pangsapuri baru, belum tentu nanti mereka akan dapat memiliki rumah baru kerana bank tidak akan mengeluarkan pinjaman kepada mereka lagi kerana faktor usia.

Ertinya, jika sekitar 20 tahun yang lalu mereka menganggap Taman Sri Kemuning merupakan perumahan terakhir mereka sementara menuju mati dan bekalan tinggal untuk anak isteri, rupa-rupanya akan berlaku sebaliknya.

Mereka mula melihat masa depan yang kabur kerana terpaksa ‘merempat’ pula mencari kediaman baru, dalam keadaan usia yang semakin lanjut. Pihak kerajaan tidak lagi dapat diharapkan rakan semasa susah dan senang kerana mereka (kerajaan) hanya mahukan keuntungan.

Kesimpulannya mudah. Maknanya kerajaan yang ada hari ini sebenarnya tidak memikirkan atau tidak mengutamakan rakyat (kecuali ketika merayu undi pilihan raya). Pertimbangan utama mereka ialah benda lain sementara kebajikan rakyat menjadi pilihan tarakhir.

Perhitungan untuk rakyat oleh BN menjadi hanya terkebelakang, sebab itu kesusahan yang ditangggung penduduk Sri Kemuning selama ini tidak diindahkan. Pekikan dan rayuan tidak didengari. Malah nasib mereka selepas ini pun tidak dihiraukan oleh kerajaan BN.

Sebab itu rakyat perlu berubah pada PRU akan datang demi kehidupan, kebajikan dan pembelaan yang lebih baik. Pilihlah Pakatan Rakyat!



Saturday, September 22, 2012

Siasat agihan kedai majlis Kg Batu Papan!

Penduduk kampung Batu Papan, Bera mulai mempertikaikan pemberian dan agihan kedai Majlis Daerah di kampung berkenaan, bagaimana boleh lepas kepada kroni Ahli Majlis berkenaan.

Ceritanya, seperti yang diberitahu kepada kami, di kampung berkenaan ada seorang Wanita Umno yang juga Ahli Majlis, didakwa dengan mudah mengagihkan salah sebuah kedai majlis kepada adik iparnya.

Kes ini jika benar bermakna berlaku penyalahgunaan kuasa dan kronisme, kerana kakitangan itu mempunyai kepentingan.

Menurut penduduk yang mahu dirahsiakan identitnya, sebelum ini wanita Umno itu sudah biasa dengan kerja cantas mencantas. Difahamkan, sudah ada laporan SPRM dibuat terhadap wanita Umno itu.

Kami perlukan sedikit masa untuk membuat penyiasatan dan tidak mahu mendahului keputusan SPRM.

Wednesday, September 19, 2012

Rumah terbakar, ibu Dato' Johari meninggal dunia

Rumah ibu kepada penyokong PAS Dato’ Johari Abdul Ghani (Dato Jo) di Kampung Paya Taram, Kerdau terbakar tengah malam semalam, menyebabkan Wan Kalsom meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut sumber rapat, ibu Dato Jo tinggal bersama seorang pembantu rumah Indonesia (bibik).

Sebelum kejadian, seluruh kawasan kerdau dikatakan terputus bekalan elektrik termasuk rumah mangsa.

Menurut sumber itu lagi, mangsa kemudian memasang lilin dan dikatakan telah menyambar langsir rumah berkenaan. Dalam keadaan panik bibik telah mengajak Allahyarhamah keluar rumah, namun beliau berkeras mahu memadamkan api kebakaran dan menyuruh bibik pergi mendapatkan bantuan orang ramai.

Pada waktu yang sama elektrik tiba-tiba berfungsi semula dan difahamkan telah membuatkan api yang menyambar makin cepat marak.

Dalam kejadian tersebut, 80 % badan mangsa hangus dijilat api.

Ketika kejadian, Dato Jo difahamkan berada di Kuala Lumpur.

Dato Jo ialah seorang ahli perniagaan petroleum dan rumah besar beliau dapat dilihat tersergam di sebelam tapak kompleks PAS Pahang.

Jenazah ibunya disolatkan di rumahnya di situ kira-kira jam 10 pagi ini.

Tuesday, September 18, 2012

Tidak tolak pecah cermin kereta bermotif politik

PEKAN: Adakah budaya samseng dan gangsterisme terus menular lantaran politik membenci dan hasutan yang saban hari dimainkan media arus perdana?

Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan Ustaz Abu Kassim Manaf tidak menolak dua buah kereta yang dipecahkan cermin dalam tempoh dua hari berturut-turut di rumahnya adalah perbuatan khianat atau bermotif politik.

Katanya, ini disebabkan selama ini beliau tidak pernah memiliki musuh atau membuat pinjaman Ah Long justeru tidak menyangka perkara buruk seperti ini berlaku di kawasan Perdana Menteri Malaysia.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada awal pagi Ahad lalu melibatkan kereta Proton Persona milik anak saudaranya yang dibaling tukul sehingga pecah dan hanya disedari keesokan harinya.

Setelah menyedarinya, satu laporan polis dibuat dan tidak menyangka kejadian yang sama berulang apabila kereta Kia Spectra milik saya pula dipecahkan pada sebelah malamnya.

“Kejadian berlaku pada awal pagi Isnin iaitu sekitar pukul 1.30 pagi di mana saya bersama 8 ahli keluarga sedang tidur, dikejutkan bunyi kuat dari arah bahagian dinding depan rumah,” katanya.

Tambahnya, berikutan itu dia dan anaknya bergegas keluar rumah dan melihat seorang lelaki dewasa menunggang motosikal jenis Honda EX5, melarikan diri dengan dengan laju.

“Kami dan jiran-jiran yang juga bangun tidak sempat mengejar suspek yang memecut dengan laju dan menjumpai dua ketulan batu di tepi dan di sebelah dalam bahagian cermin belakang kereta yang pecah.

“Selama sepuluh tahun saya memegang jawatan YDP PAS belum pernah lagi kejadian seumpama ini berlaku dan tiada sebarang ugutan diterima, tetapi tidak menolak kemungkinan kes ini berpunca motif politik,” ujarnya.

Katanya, andaian tersebut berdasarkan pelbagai perbuatan khianat, provokasi dan gangsterisme berlaku melibatkan pemimpin dan program Pakatan Rakyat pada ketika ini tetapi tidak menyangka berlaku di parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abu Kassim yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pekan kira-kira jam 1.30 pada hari yang sama (semalam) bersyukur dia sekeluarga masih selamat dan menganggap kejadian tersebut sebagai ujian daripada Allah.

“Harapan saya ialah agar pegawai polis mengambil tindakan, buat penyiasatan rapi sehingga dapat memberkas penjenayah ini supaya perkara khianat seperti ini tidak berlaku lagi di bandar diraja ini kepada orang lain pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu beliau menganggarkan kerugian yang ditanggungnya tidak kurang daripada RM2,000.



Abu Kassim menunjukkan cermin keretanya yang pecah dibaling samseng


Laporan polis terhadap Faizoull

Satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam terhadap Timbalan Pengarah Besar Felda Faizoull Ahmad berikutan didakwa melakukan tujuh penyelewengan dan salah guna kuasa di dalam agensi berkenaan.

Laporan yang dibuat warga Felda Aris Fezul Ismail dari Jengka 16 itu, menuntut pihak berkuasa menyiasat Faizoull yang dikatakan bakal memegang jawatan Pengarah Besar Felda menggantikan Datuk Zulkifli Abdul Wahab pada 1 Oktober ini.

Antara lain laporan polis itu menyebut pada 20 Julai 2012 Faizoull telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan kedudukan dan pengaruh beliau untuk mengarahkan pegawai-pegawi Jabatan Tadbiran Ibu Pejabat Felda supaya menyediakan kertas cadangan Permohonan Kelulusan Arahan Perubahan Kerja (VO) bagi kerja-kerja hiasan dalaman (ID) Fasa 2 Menara Felda agar dipercepatkan daripada jadual asal lila bulan kepada hanya tiga minggu.

Ini menyebabkan penambahan kos sebanyak RM15 juta (50%) daripada harga asal kontrak iaitu RM29 juta kepada RM44 juta. Kertas cadangan tersebut adalah amat tidak munasabah dan bertentangan dengan Arahan Perbendaharaan perkara 202 (Peraturan Arahan Perubahan kerja).

Faizoull juga didakwa mengarahkan Pegawai Jabatan Pentadbiran membuat bayaran pendahuluan berjumlah RM8.7 juta kepada Atlanta Resources Sdn Bhd untuk menyiapkan kerja-kerja secepat mungkin tanpa mengendahkan peraturan kontrak yang sedia ada.

Selain itu beliau didakwa meluluskan beberapa bayaran kepada Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) tanpa memastikan sesuatu program dijalankan atau tidak antaranya bayaran kepada MBFM sebanyak RM17,000 untuk program Motorcross pada 15 Julai 2012 di felda Chini Timur 2 yang tidak dijalankan.

Faizoull juga dikatakan menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai Pengerusi Program Seminar Transformasi Pegawai Kanan Kumpulan Felda untuk mempengaruhi Lembaga Pengarah melalui Pengurusan untuk melantik terus syarikat JP International Sdn Bhd sebagai Event Manager seminar sedangka syarikat tersebut telah dibubarkan.

Dalam aduan polis yang sama Faizoul dituduh memperdaya dan menipu Ahli Lembaga Felda membelanjakan RM2 juta untuk sebuah seminar dua hari yang hanya dihadiri seramai 152 orang peserta Felda dan 200 orang peserta Kumpulan FGVH.

Kroni pihak tertentu itu didakwa meluluskan kontrak latihan kemahiran anak-anak peneroka kepada beberapa buah kolej, institusi dan pihak swasta. Sebagai ganjarannya pihak tersebut bernmurah hati memberi tajaan penuh kepada Faizoull dalam penganjuran Hari keluarga Jabatan Inovasi dan Pembangunan Generasi Baru (sepenuhnya di bawah kaalan dan penyeliaan beliau) pada 15 Julai 2012 di Tanjung Bidara Resort, melaka. Tajaan pihak-pihak tersebut adalah berupa bayaran penginapan, makan minum, hadiah, barangan, boucer dan lain-lain. Antara yang terlibat membuat tajaan adalah Maalaysian Airlines System (MAS), Limkokwing Universiti, Auto Prima, KFC dan lain-lain.

Beliau dituduh meluluskan bayaran sumbangan kepada pihak luar dan badan politik untuk menganjurkan aktiviti tanpa kelulusan pihak berkuasa Felda sedangkan beliau tidak mempunyai sebarang kuasa untuk berbuat demikian.

“Kami menuntut pihak berkuasa menyiasat dengan saksama aduan kami ke atas penyelewengan dan salah guna guasa yang telah dilakukan oleh Faizoull Ahmad sepanjang beliau bertugas di Felda. Kegagalan pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan akan menyebabkan Felda yang telah pun mengalami berbagai krisis kebelakangan ini tumbang dan runtuh sepenuhnya sepertimana institusi lain milik negara dan orang Melayu yang telah lenyap sebelum ini”.

Sementara itu turut mengiringi Aris semalam ialah Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan, AJK Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat serta para peneroka.


Rakyat Pahang perlu lakukan perubahan untuk makmur

TEMERLOH: Rakyat negeri ini perlu melakukan perubahan politik jika mahu benar-benar menikmati kemakmuran hasil kekayaan negeri selaras dengan nama Pahang Darul Makmur.

Ini disebabkan negeri ini dikurniakan Allah mempunyai kemewahan khazanah alam dan kekayaan sumber semula jadi, namun gagal dimanfaatkan untuk dinikmati rakyat.

Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Haji Jusoh Darus berkata, justeru itu rakyat sendiri mesti berubah jika mahukan perubahan ke arah pemerintahan yang lebih baik selepas 55 tahun diperintah BN.

“Kita tengok di Pahang tidak ada apa yang tidak ada daripada rimba belantara tropika yang terkaya di dunia, hinggalah ke bukit-bukau curam dan gunung-ganang tertinggi, gua-gua bersejarah, galian isi bumi yang tidak ternilai harganya dan air terjun tumpuan rekreasi, hinggalah kepada sungai terpanjang.

“Pahang juga ada tasik-tasik yang memukau, jajaran panjang pantai terindah menghadap Laut China Selatan dan pulau karang laut yang kelima tercantik di dunia.

“Semuanya ini ditakdirkan Allah ada di negeri Pahang yang terbesar di semenanjung ini,” ujarnya.

Tambahnya, namun keistimewaan-keistimewaan tersebut rupa-rupanya tidak memberi kelebihan kepada ekonomi dan pendapatan negeri ini kerana hutang Kerajaan Negeri Pahang telah melepasi paras angka RM2 bilion sementara bajet tahunan kerajaan negeri juga defisit memanjang yang memberi gambaran perbelanjaan melebihi pendapatan.

“Ke mana perginya hasil wang daripada pendapatan itu?,” soalnya ketika berceramah sempena sambutan raya Majlis Tindakan Dun Mentakab di Kampung Bangau Tanjung Sabtu lalu.

Jusoh yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pahang berkata, Pahang juga memiliki tanah yang subur sehingga menjadikan negeri ini pengeluar sayur-sayuran terbesar, pengeluaran sawit dan getah terbanyak namun kehidupan petani seolah-olah tidak terbela dan masih dibelenggu kemiskinan.

Jelasnya, tanah terbiar lebih luas daripada yang ditebus guna, sedangkan masih ramai rakyat yang tidak bertanah. Begitu juga dengan krisis bekalan air selalu berlaku meskipun rakyat berada di pinggir Sungai Pahang.

“Pada saya semua itu kerana kerajaan yang ada tidak cekap mentadbir. Jadi rakyat perlu berubah pada pilihan raya umum akan datang bagi menikmati kemewahan sebenar seperti yang dirasai oleh rakyat di negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat,” katanya.

Sebelum itu Jusoh menyerahkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan dalam Dun berkenaan.

Turut hadir Timbalannya Hassanuddin Salim, Ketua DAP Temerloh Woo Chee Wan, Pengarah Dun Mentakab Norazmi Abdul Majid serta pimpinan PAS Kawasan.

Sementara itu Woo yang berceramah sebelum itu turut menarik perhatian apabila menegur kenyataan Presiden Perkasa yang menuduh ‘PAS sebagai kuda tunggangan DAP’.

“Saya tahu kenyataan beliau ialah untuk menggambarkan DAP parti perkauman Cina dan berjuang untuk Cina. Sebenarnya itu amat salah kerana DAP berjuang untuk semua kaum sebagaimana ahlinya terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Sebagai contoh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pernah ditangkap dan dipenjara kerana memperjuangkan nasib gadis Melayu yang didakwa dirogol oleh pemimpin Umno,” ujarnya.

Katanya, ini menggambarkan DAP membela rakyat tertindas tanpa mengira kaum sedangkan Umno dan pertubuhan-pertubuhan pro-nya mahu memainkan sentimen perkauman tanpa menyedari politik berbentuk hasutan itu tidak diterima lagi oleh majoriti rakyat.

Tambahnya, ulamak PAS dan pemimpin DAP yang kini boleh duduk sebaris menyebabkan parti ‘syaitan yang dikenali’ itu amat cemas kerana selama ini parti itu hidup subur dalam mainan propaganda dan politik hasutan.


Sunday, September 16, 2012

Saifuddin antara 5 digugur calon PRU?

Sekurang-kurang lima ahli parlimen Umno muda Umno akan digugurkan dari menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang. Mereka ialah Khairy Jamaluddin (Rembau), Azalina Othman Saad (Penggerang), Saifuddin Abdullah (Temerloh), Noraini Ahmad (Parit Sulung) dan Fuad Zarkasi (Batu Pahat).

Menurut sumber yang rapat dengan presiden Umno mereka digugurkan kerana sikap politik mereka yang liberal atau pun gentleman yang tidak bertempat.

Telatah mereka dalam mendedahkan idealisme juga tidak memberi keuntungan kepada Umno dan ada kalanya kontras dengan dasar diputuskan.

Khairy Jamaluddin, Saifuddin dan Fuad yang dilihat cuba membawa pembaharuan politik orang muda sejajar kehendak Najib melakukan transformasi politik tetapi tidak memberi kelabaan kepada Umno. "Mereka juga degil dan hendak menunjukkan pandai," kata sumber berkenaan.

Manakala dua bekas ketua Umno, Azalina dan Noraini bakal digugurkan kerana mereka tidak memberi sumbangan kepada parti dan lebih bersikap mendiamkan diri selepas tidak dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri.

Pengguran Azalina dan Noraini juga dikatakan ada sangkut paut dengan Rosmah Manso



Saturday, September 15, 2012

Rosmah bertanding di Pahang?

Oleh: SHAHBUDIN HUSIN

Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, Najib Razak dipercayai sedang mengintai salah satu kerusi Parlimen yang sesuai di Pahang untuk ditandinginya dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Meskipun Rosmah berasal dari Negeri Sembilan, tetapi kedudukan politik di negeri itu yang agak bergelora serta persepsi rakyat yang berbagai terhadap dirinya menyebabkan tiada kawasan yang dirasakan selamat untuknya di negeri kelahirannya itu. Berbeza dengan Pahang yang masih kuat kedudukan UMNOnya serta penerimaan rakyat yang lebih positif, Rosmah diyakini lebih mudah menang jika bertanding di salah satu kerusi Parlimen di negeri itu.

Kedudukan Najib sebagai PM yang berasal dari Pahang juga turut membantu penerimaan yang positif terhadap kemungkinan Rosmah bakal menjadi salah seorang calon Parlimen mewakili BN di negeri itu.

Sumber-sumber yang dekat dengan pimpinan UMNO bagaimanapun menyebut, kedudukan isteri PM itu masih lagi di peringkat penilaian ketika itu. Ada pihak yang menyokong dan ada pula yang kurang senang dengan perkhabaran itu.

Meskipun agak janggal bagi seorang isteri PM bertanding dalam pilihanraya umum tetapi kemasukan Rosmah sebagai Ahli Parlimen dan kemungkinan dilantik menganggotai kabinet dipercayai mampu menambah kukuh kedudukan Najib jika BN sekadar memperolehi kemenangan tipis dalam pilihanraya umum nanti.

Membawa Rosmah dalam kancah yang lebih luas dalam politik dan pentadbiran juga dilihat sebagai persiapan Najib untuk menghadapi masalah dalaman UMNO selepas piliharaya nanti terutama jika BN sekadar mampu menang tipis sahaja iaitu menyekat kemaraan Muhyiddin Yassin yang mungkin menggunakan kaedah sama seperti yang dialami oleh Pak Lah selepas pilihanraya 2008 lalu.

Tindakan Najib memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat sejak Shahrizat meletakkan jawatan, beberapa bulan lalu turut dikaitkan sebagai agenda Najib untuk memberikan jawatan itu kepada Rosmah selepas pilihanraya nanti.

Dalam konteks ini, Rosmah yang dikenali berwatak agak keras serta lebih vokal, dipercayai akan memainkan peranannya untuk menghalang kemaraan Muhyiddin dan seterusnya memastikan Najib terus kekal sebagai PM meskipun jika BN sekadar menang lebih tipis daripada 2008.

UMNO Pahang difahamkan sudah menerima mesej berkaitan kedudukan Rosmah ini tetapi belum diputuskan kawasan mana yang sesuai untuk ditandingi oleh Rosmah itu.

Beberapa pihak dalam UMNO pula tidak merasakan sesuatu yang janggal jika Rosmah bertanding dalam pilihanraya akan datang ini dan diberikan pula jawatan penting dalam kabinet kerana isteri PM itu dilihat berkemampuan, berwibawa dan mempunyai visi dalam pelbagai peranan yang dimainkannya selama ini.

Dari segi persepsi politik pula, kemasukan Rosmah dalam politik juga dilihat selaras dengan pendekatan dalam pembangkang yang turut membenarkan anak dan isteri pemimpin mereka turut bertanding dalam pilihanraya.

Dalam PKR misalnya, selain Anwar bertanding dalam pilihanraya, anaknya Nurul Izzah juga turut bertanding. Malahan isteri Anwar, Wan Azizah selaku Presiden PKR juga dikhabarkan akan kembali bertanding dalam pilihanraya akan datang ini atas desakan akar umbi PKR sendiri.

Dalam DAP pula, selain Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang bertanding dalam pilihanraya, isteri Lim Guan Eng iaitu Betty Chew juga merupakan ADUN di Melaka. Lebih dari itu, Karpal Singh dan anaknya Gobind Singh Deo juga merupakan anak-beranak yang mewakili DAP bertanding dalam pilihanraya lalu.

Cuma dalam Pas belum wujud fenomena itu tetapi dalam pilihanraya umum akan datang ini, selain Nik Aziz Nik Mat yang dipercayai terus kekal menjadi calon, anaknya Nik Abduh yang kini menjadi Timbalan Ketua Pemuda Pas juga disebut-sebut sebagai salah seorang calon pilihanraya.

Sekiranya PKR, Pas dan DAP membenarkan anak dan isteri pemimpin mereka terus bertanding dalam pilihanraya akan datang ini, kehadiran Rosmah sebagai calon BN dijangka tidak akan menjadi isu besar kerana UMNO akan turut memainkan isu yang sama untuk menyerang pembangkang sekiranya kedudukan Rosmah sebagai calon dipertikaikan.

Bagaimanapun yang membimbangkan UMNO ialah berkenaan isu-isu peribadi terutama berkaitan perbelanjaan dan pembelian barang-barang mewah yang pernah dikaitkan dengan Rosmah akan menjadi isu utama dan diperbesar-besarkan oleh PR dalam kempen pilihanraya nanti mampu menghakis keyakinan pengundi terhadap BN.


Friday, September 14, 2012

Tidak mustahil PRU November ini

Spekulasi terkuat ialah kerajaan BN pimpinan Najib Tun Razak akan mengada pilihan raya umum (PRU) pada November, bagi mendapatkan mandat rakyat yang pertama bagi dirinya.

Namun ada yang berpendapat ia tidak mungkin berlaku kerana waktu itu ialah minggu-minggu peperiksaan SPM dan peperiksaan STPM. Juga masih ada yang belum pulang daripada menunaikan ibadah haji.

Walau bagaimanapun, tentang musim peperiksaan itu pernah diadakan juga PRU. Sejarah telah membuktikan ia berlaku pada tahun 1999.

Hari pengundian bagi pilihan raya umum 10 telah ditetapkan pada Nov 29 tahun itu sedangkan peperiksaan SPM telah bermula pada bagi Nov 22 hingga 10 Dis, dan STPM bagi Nov 17 hingga Dis 13.

Kemudian Menteri Pelajaran masa itu , Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa sidang peperiksaan SPM dan STPM bagi Nov 29 dan 30 NOVEMBER ditangguhkan bagi membolehkan guru-guru untuk membuang undi mereka.

Peperiksaan bagi program matrikulasi kementerian juga telah ditangguhkan, iaitu Dis 11 hingga 14 Dis.

Sementara itu timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata hari mengundi pada masa lalu telah kebanyakannya diadakan pada separuh pertama tahun ini.

Selain daripada pilihan raya umum 1999, tiada PRU yang telah diadakan pada bulan November atau Disember.

Tarikh-tarikh PRU adalah seperti berikut: Pertama pada tahun 1959 adalah pada 19 Ogos. Pilihanraya telah diadakan pada 25 April dalam tahun 1964, 10 Mei 1969, Aug 24 pada tahun 1974, 8 Julai 1978, 22 April pada tahun 1982, 3 Ogos pada tahun 1986, 21 Okt pada tahun 1990, 25 April 1995, 21 Mac pada tahun 2004, dan Mac 8 pada tahun 2008.

Tahun ini, peperiksaan SPM yang dijadualkan bagi Nov 5 Dis 6, dan STPM bagi Nov 19 Dis 13.

Walaupun prerogatif untuk membubarkan Parlimen adalah dengan Kerajaan hari ini, SPR puala akan menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian dan panjang tempoh berkempen, Wan Ahmad berkata.

"Selepas Parlimen dibubarkan, suruhanjaya itu mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya. Apabila membuat keputusan pada tarikh, terutama tarikh untuk membuang undi, kita perlu mengambil kira pelbagai faktor selain dari cuaca.

"Kita juga perlu ingat bahawa premis yang digunakan sebagai pusat mengundi kebanyakannya sekolah dan bahawa kita tidak harus mengganggu kelas dan aktiviti-aktiviti sekolah, terutama peperiksaan," katanya.

Wan Ahmad berkata 80% premis mengundi sekolah dan 80% pekerja pilihan raya adalah guru.

Musim haji juga dak menjadi kekangan untuk mengadakan pemilihan sama ada. Pada tahun 1964, pilihan raya umum pada 25 April, dua hari selepas Hari Raya Aidiladha. Pilihan raya 1986 umum pada 3 Ogos jatuh 13 hari sebelum Aidiladha, manakala 1995 pemilihan pada 25 April manakala perayaan adalah pada 10 Mei.

Menurut Lembaga Tabung Haji, kumpulan pertama tahun ini dianggarkan 27.900 jemaah akan berlepas ke Arab Saudi pada 17 Sept.

Puncak musim haji akan semasa Aidiladha, yang dijangka jatuh pada 26 Okt. Kumpulan terakhir jemaah Malaysia dijadualkan untuk pulang ke rumah pada 29 Nov.

(terjemahan bebas dari The Star).



PM bayar komisyen RM200,000 kepada kroni

KORUPSI SUDAH MEMBARAH ; GERAN BANTUAN PERDANA MENTERI LIBAT BAYARAN 'KOMISYEN' RM200,000 KEPADA ORANG TENGAH

che'Gubard semalam (13 September 2012) telah mendapat satu set dokumen yang membuktikan bahawa bagaimana geran bantuan Perdana Menteri kepada sebuah badan kebajikan telah diselewengkan sebanyak RM200,000 yang terpaksa dibayar kepada orang tengah sebagai 'komisyen'.

Set dokumen ini mengandungi :

Surat bertarikh 28 Mac 2012 dari Kementerian Kewangan yang memaklumkan kepada pertubuhan kebajikan tersebut mengenai peruntukan geran sebanyak RM 500,000.
Surat jawapan persetujuan penerimaan bantuan geran dari pertubuhan tersebut kepada kementerian kewangan
Minit mesyuarat pertubuhan tersebut yang menyebut dengan jelas nama pemimpin (antara pemimpin tertinggi Bn) yang membantu mendapatkan geran bantuan dari Perdana Menteri tetapi diputuskan pembayaran 'komisyen' sebanyak 40% dari apa yang perolehi harus dibayar ke sebuah syarikat yang ditetapkan.
Dilampirkan juga penyata kira - kira akaun yang menyatakan dengan jelas pembayaran komisyen dibuat melalui 10 cek kepada syarikat yang dinyatakan sebelum ini.
Beberapa dokumen juga boleh membuktikan operasi pembayaran komisyen ini diketahui oleh pihak yang menguruskan pembayaran dari pejabat Perdana Menteri itu sendiri.
Pembayaran komisyen ini juga dalam pengetahuan pihak berkuasa.

Semua dokumen tersebut telah temui di rumah che'GuBard di N.Tebal, P.Pinang. Persoalanya dalam negara ini korupsi sudah amat teruk umpama sel barah yang merosak dalam tubuh. Peruntukan geran bantuan kebajikan juga sudah terlibat 'komisyen' yang sangat tinggi. Berapa banyak wang rakyat hangus kerana membayar komisyen ini.

Persoalanya :

Pertubuhan kebajikan mana yang dapat Geran Bantuan RM 500,000 dari PM ?
Siapa pemimpin BN yang disebut ?
Syarikat mana dan siapa pemilik syarikat tersebut ?

Bukan sahaja pembelian kapal selam tetapi geran bantuan kebajikan juga sudah perlu bayar komisyen. Malaysia sudah terlalu parah nampaknya.Kesemua dokumen tersebut telah dibuat carian dan disahkan salinan dari dokumen asal yang betul, kini hanya memerlukan beberapa carian lagi sebelum pendedahan penuh. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan membuat pendedahan kesemua dokumen yang diperolehi dalam masa tiga hari dari hari ini.


Sekian

che'GuBard
Penyelaras SAMM Kebangsaan

Tuesday, September 11, 2012

Isu Nasha: Polong mula melolong

Rupa-rupanya Umno begitu tegar dan teruja untuk menggunakan isu Nasharuddin Mohd Isa sebagi propaganda dan gerak saraf bagi menyerang dan melemahkan PAS.

Umpamanya lidah rasmi Umno, Utuseks Malaysia hari ini mulai melalak dan melolong menuduh itu dan ini apabila Majlis Syura PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat tidak mengambil sebarang tindakan terhadap AJK PAS Pusat itu.

Jika boleh, sudah tentu parti ‘syaitan yang dikenali’ itu mahu Nasha dijadikan seperti Dr Hasan Ali dipecat daripada PAS. Pertama, bolehlah ditembak pelbagai tuduhan. Kedua, Nasha sendiri akan digunakan oleh Umno sebagai peluru menembak PAS, sebagaimana yang dibuat terhadap Hasan yang gemar bercakap tentang akidah itu.

Kebetulan memang tidak ada ustaz berwibawa dalam parti syaitan itu. Ia terbukti apabila Najib terpaksa mengambil Nasha sebagai penterjemah apabila bertemu dengan orang-orang Arab baru-baru ini.

Lagipun itu itu hidup selama ini di atas isu menyerang lawannya. Buktinya ialah kes Tengku Razaleigh satu masa dulu yang dituduh memakai tengkolok kristian. Walaupun tengkolok yang sama dipakai oleh Dr Mahathir.

Justeru itu hari ini, bagaikan polong yang dibakarkan belacan atau bagaikan pontianak yang dipaku di tengkuk, suara Umno itu memekik dan melolong kesakitan!

Padan muka!



Monday, September 10, 2012

Nik Aziz, Mat Sabu di kenduri Tuan Ibrahim

BANDAR TUN RAZAK JENGKA: Lebih 5,000 orang mengunjungi majlis kenduri menyambut menantu Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di perkarangan Masjid Lama Bandar Jengka, di sini Sabtu lalu.

Antara kenamaan yang hadir ialah Mursyidul Am PAS yang juga Menteri besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu, Ketua Pemuda PAS Malaysia Nasruddin Hasan serta beberapa orang ahli jawatan kuasa PAS Pusat.

Turut hadir Adun Triang yang juga Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah, setiausaha beliau Choong Siew Onn (Adun Tras) serta pimpinan PAS, PKR dan DAP negeri serta penduduk setempat.

Anak sulung Tuan Ibrahim, Tuan Mohamad Badiuzzaman dan adiknya Tuan Mohamad Zakuan diijab kabulkan dengan pasangan masing-masing Nazirah Badruddin dan Illiya Nurul Iman minggu lalu di kediaman pengantin perempuan.Suasana hari raya Aidilfitri yang masih berbaki membuatkan majlis dikunjungi pelbagai bangsa dan tanpa batasan ideologi politik itu menjadi meriah disajikan hidangan gulai kawah yang enak dengan empat ekor lembu, seekor kerbau dan tiga ekor kambing ditumbangkan.


Sementara itu Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan hadir ke majlis tersebut.

Beliau kelihatan ceria dan teruja menerima menantu dua orang sekali gus meskipun tidak dapat menyembunyikan rasa penatnya, selepas hampir dua minggu bertungkus lumus bagi menjayakan majlis berkenaan.



1.Tuan Guru Nik Aziz diarak ketika sampai

2.Mohamad Sabu disambut petugas

3.Ada sesuatu yang menarik diperkatakan Nik Aziz kepada Tuan Ibrahim

4.Tuan Ibrahim (tengah) bersama tetamu jemputan yang hadir


Thursday, September 6, 2012

Adnan Yaakob juga pernah tonggeng punggung

Jika menunjukkan punggung satu kesalahan, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob juga patut didakwa kerana pernah menonggengkan punggungnya kepada orang ramai semasa pilihan raya kecil (PRK) Sanggang pada tahun 2000 lalu.

“Malah Adnan lebih berat kerana menonggeng kepada rakyat ramai, sedangkan seorang pelajar Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics hanya menonggeng kepada gambar seorang pemimpin negara,” kata Ketua Penerangan PAS Kuala Krau Ustaz Aris Fezul Ismail.

Menurut Aris, tidak cukup dengan menonggeng ke arah orang ramai, Adnan juga membuat isyarat lucah yang menunjukkan perbuatan paling tidak bermoral dilakukan oleh seorang pemimpin tertinggi negeri ini.

“Banyak laporan polis dibuat, tetapi kenapa tidak pernah dipanggil untuk siasatan dan tiada sebarang tindakan? Malah terus dipuja dan terus berkuasa memegang kerajaan negeri ini,” ujarnya lagi.

Beliau mengulas nasib seorang pelajar yang menyertai Janji Demokrasi di ambang merdeka di Datara Merdeka yang dipecat daripada kolejnya oleh Lembaga Disiplin dan Lembaga Akademik kolej berkenaan atas alasan melakukan perbuatan menghina pemimpin negara.

Pelajar semester ketiga jurusan Diploma Kreatif Multimedia terbabit merupakan antara 11 individu yang dikenal pasti polis dalam insiden memijak gambar Perdana Menteri dan isteri serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, pada malam 30 Ogos lepas.

Namun polis telah membebas dan melepaskannya.

"Kita tidak mahu ada dua set undang-undang. Jika rakyat biasa perbuatan terbabit dianggap salah dan dihukum segera. Bagi pemimpin Umno pula melakukan perbuatan yang sama dianggap seolah-olah tidak bersalah.

"Begitu juga kes seorang imam yang membaling kasut di mahkamah, dipenjara. Sedangkan samseng Umno yang membaling kasut ke arah pemimpin (di Kedah) dalam masjid, terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan," tegasnya.

Tambahnya, cara penyiasatan dan penghakiman begini sangat buruk dan rakyat mesti segera menukar pemerintah yang ada kerana keadilan sudha gagal ditegakkan.


Saturday, September 1, 2012

Sekarang siapa haramjadah?

Ketika Pakatan, ANAK dan aktivis-aktivis peneroka mendedahkan bahawa 800 unit saham yang diberi kepada peneroka adalah hutang melalui bank-bank tertentu, mereka dimarah dan dicerca semahunya. Kumpulan-kumpulan peneroka pro-Umno ataupun yang memang pengampu kerana berkepentingan membuat demonstrasi di sana sini serta menghalang pihak tersebut memberi penerangan kepada umum.

Laporan polis juga di buat seluruh negara bagi menggambarkan pejuang-pejuang nasib warga Felda itu pengkhianat. Cercaan demi cercaan dihamburkan bagi melemahkan semangat mereka.

Kemuncaknya ialah apabila Najib Tun Razak sendiri ketika mengumumkan "durian runtuh" di Jengka, menggelarkan pejuang warga Felda itu sebagai HARAMJADAH. Satu gelaran yang paling kasar, biadab dan tidak bertamadun pernah diluahkan oleh seorang Perdana Menteri terhadap rakyatnya, warga Felda.

Tidak cukup begitu, ketika para peneroka tersebut mengambil wang hak mereka sendiri yang diumumkan Najib sebagai "durian runtuh", media pro-Umno terus mengaibkan mereka seolah-olah "keselak" atau kemaruk sangat dengan wang yang diagihkan Felda itu.

Najib sendiri ketika berceramah di Pekan, menghina mereka dengan gelaran "muka tak malu".

Namun sebuah akhbar harian kelmarin menyiarkan kenyataan Ahmad Maslan bahawa saham sebanyak 800 unit itu sebenarnya hutang, bukan percuma. Cuma bezanya peneroka tak perlu bayar, Felda sendiri yang membayar melalui peruntukan RM360 juta. Dan seperti biasa, wang tersebut bukannya datang dari poket Najib atau Ahmad Maslan, tetapi wang milik peneroka di Felda juga.

Ahmad Maslan turut membenarkan, pemilikan saham 215,000 peneroka seluruh negara hanya berjumlah 2.5 peratus secara keseluruhan. Itulah juga yang pernah diberi amaran oleh PR dan ANAK.

Senang cakap, semua khabar yang dibawa baik oleh PR, ANAK mahupun aktivis Felda, semuanya betul. Bahkan amaran risiko harga saham turun naik, memang tepat. Lihatlah saham FGVH terus merudum. Tidak sebagaimana janji pemimpin Umno bahawa jika saham Felda disenarai, peneroka-peneroka akan menjadi kaya raya, dapat durian runtuh dan akan mengalami perubahan besar dalam kehidupan selepas 50 tahun!

Akhirnya semuanya temberang.

Yang betulnya hanyalah amaran PR tadi.

Sekarang siapa yang layak digelar haramjadah?