Monday, February 21, 2011

PAS mampu buat kejutan di Kerdau

Harakahdaily

Bagi sesetengah aktivis PAS di Pahang, pilihan raya kecil (di negeri itu) bagi mereka lebih baik tiada daripada ada.

Selepas beberapa pilihan raya kecil silih berganti dan berpindah dari satu negeri ke satu negeri yang lain sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, sesetengah aktivis PAS dari negeri itu kalau ditanya bila pula di Pahang, jawapan mereka boleh dikatakan hampir sama: "Harap-harap jangan ada Yang Berhormat Pahang meninggal dunia."

Beberapa faktor dipercayai menjadi sebab timbulnya kebimbangan seperti itu dalam kalangan aktivis PAS Pahang.

Salah satunya ekoran kecemerlangan Barisan Nasional (BN) negeri itu dalam pilihan raya umum lalu iaitu ketika di negeri-negeri lain, BN dikejutkan dengan pencapaian luar biasa parti-parti pembangkang yang kini bersatu dalam Pakatan Rakyat.

Selain itu, kewujudan tanah-tanah rancangan Felda yang begitu banyak di Pahang, sosio-budaya masyarakat khususnya masyarakat Melayu tradisonal negeri itu dan prestasi PR Pahang yang dikatakan kurang memberangsangkan turut menjadi faktor tambahan mengapa ada kalangan aktivis PAS Pahang tidak gembira jika berlaku pilihan raya kecil di negeri mereka.

Bagaimanapun bagi aktivis-aktivis tersebut, PRK tidak boleh lagi menjadi mimpi ngeri atau iguan buruk kepada mereka. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun menetapkan 6 Mac ini sebagai tarikh membuang undi manakala 26 Febuari sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya Kerdau - sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang terletak dalam Parlimen Kuala Krau, Pahang.

Kerusi Dun Kerdau kosong ekoran Adunnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang 12 Februari lalu akibat serangan jantung selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya.

Malangnya, ketika ada kebimbangan aktivis PAS Pahang jika berlakunya pilihan raya kecil di negeri mereka, PAS negeri itu bukan sahaja perlu berhadapan dengan “sekadar pilihan raya kecil” tetapi satu yang dilihat sangat penting khususnya kepada PAS dan juga PR.

Kerdau ditakdirkan ketika graf prestasi BN dalam pilihan raya kecil berada dalam situasi menaik setelah mencatatkan kejayaan demi kejayaan dalam beberapa pilihan raya terakhir sebelum ini.

Kurang sebulan lalu, BN baru sahaja meraikan kemenangan mereka di Tenang, Johor dengan majoriti yang lebih besar menewaskan calon PAS.

Situasi yang sama turut dihadapi oleh PAS Melaka yang bakal berhadapan dengan satu lagi PRK di Dun Melimau pada tarikh yang sama.

Justeru, sama ada bersedia atau tidak, Kerdau dan Merlimau boleh dikatakan menjadi benteng terakhir kepada PAS untuk menyekat momentum BN atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti dengan jumlah yang besar untuk dijadikan mesej politik kepada rakyat Malaysia sebelum pilihan raya umum akan datang.

Dalam menghadapi situasi ini, Kerdau sebenarnya mempunyai potensi sangat baik kepada PAS untuk melaksanakan misi tersebut berbanding Merlimau yang dikatakan lebih sukar untuk PAS membuat kejutan dalam tempoh dua minggu sahaja lagi.

Dun Kerdau wujud hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR pada tahun 2003.

Jika sebelum ini Kerdau dalam Parlimen Temerloh, kini di bawah Parlimen Kuala Krau. Istimewanya Dun Kerdau ialah kerana kawasannya meliputi kedua-dua belah tebing Sungai Pahang.

Di sebelah pekan Kerdau kawasan mengundi menjajar sejauh kira-kira 15 kilometer bermula dari Desa Murni hingga ke Kuala Tekal. Sementara di seberang sebelah lagi Sungai Pahang, kawasannya menganjur dari Kampung Badok hingga ke Rumpun Makmur di seberang pekan Kuala Krau.

Walaupun timbul kebimbangan dalam kalangan aktivis PAS ekoran senario politik di Pahang, Kerdau sebenarnya menyediakan medan terbaik kepada PAS untuk memberi tentangan paling sengit kepada BN dalam Dun yang mereka kuasai dan negeri yang dikatakan antara kubu kuat mereka.

Daerah itu sendiri menyediakan banyak kelebihan kepada PAS yang hanya perlu dilihat lebih halus dari pelbagai aspek untuk digarap dengan baik seterusnya dijadikan bahan kempen pilihan raya, ia termasuklah aspek geografi, sejarah dan sentimen masyarakatnya.

Kisah stesen keretapi Kerdau, bangunan usang pekan Kerdau dan perkembangan mutakhir kampung-kampung tradisi serta penduduknya dalam daerah itu sebenarnya langsung tidak memberi kelebihan kepada BN sebagai parti yang memerintah selama lebih 50 tahun.

Manakala isu-isu tempatan yang dikatakan paling signifikan dalam sebuah pilihan raya kecil berbanding isu-isu bersifat nasional atau antarabangsa juga tidak kurang banyaknya di Kerdau.

Beberapa projek gagal di Gunung Senyum yang terletak dalam Dun Kerdau seperti 100 ekar tanaman nangka madu, projek ayam kampung dan ladang durian misalnya cukup kuat untuk dimanfaatkan memujuk pengundi supaya mengangkat calon daripada PR pula sebagai wakil rakyat mereka.

Begitu juga dengan masalah harian penduduk yang sudah berlarutan sehingga melampaui belasan tahun. Masalah air, rumah terbengkalai dan jalan rosak sentiasa menjadi perbualan dari masa ke semasa penduduk kawasan ini.

Selain itu, tiga kawasan Felda dan sebuah Fecra yang terdapat dalam Dun Kerdau tidak lagi dilihat sebagai benteng kebal BN khususnya dalam mendapatkan undi orang Melayu yang mendominasi 90 peratus pengundi daerah itu.

Lebih dari itu, kewujudan penempatan masyarakat peneroka ini sewajarnya menjadi kelebihan besar kepada PAS yang selama ini mengangkat isu Felda sebagai agenda penting dalam perjuangan parti.

Melalui Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah serta Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang diterajui salah seorang pimpinan pusat PAS tentulah tidak sukar kepada PAS dan PR menyusun isu demi isu sepanjang tempoh 10 hari yang diberikan oleh SPR.

Tambahan pula, Pahang merupakan antara kawasan Felda yang menjadi tumpuan Anak selama badan itu ditubuhkan.

Difahamkan, kebangkitan masyarakat Felda yang diuruskan oleh Anak dalam menuntut hak-hak mereka lebih ketara di Pahang berbanding negeri lain - selain sebahagian besar aktivis anak sendiri merupakan kalangan peneroka ataupun anak-anak peneroka di Pahang.

Justeru, BN yang akan diwakili Umno sudah pasti tidak mampu duduk dengan selesa sehingga 6 Mac depan dengan pelbagai beban isu yang perlu dijawab mereka dan PAS pula mampu membuat kejutan sekiranya dapat mengunakan semaksimanya segala sumber dan jentera yang mereka ada bersama sekutunya, PKR dan DAP.

Sementara itu, dalam tinjauan awal Harakahdaily, Pekan Kerdau sudah mula sibuk dengan petugas-petugas parti yang melaksanakan kerja-kerja awal pilihan raya. Pekan Kerdau dan kawasan-kawasan sekitarnya sudah mula bergentayangan dengan petugas-petugas parti yang bertanding.

Bilik-bilik hotel yang berhampiran (bandar Temerloh dan Mentakab) sudah penuh tempahannya sementara warung-warung makan sudah mula luar biasa larisnya.

Penyokong-penyokong parti bertanding dijangka akan berkunjung ke sini lebih ramai lagi dalam masa terdekat ini kerana lokasinya hanya sekitar 5 kilometer daripada susur keluar Tol Temerloh, melalui Lebuhraya Pantai Timur.

Kali terakhir berlaku pilihan raya kecil di situ ialah pada tahun 2000, ketika itu pekan Kerdau termasuk dalam Dun Sanggang yang kematian Adunnya Datuk Abdullah Kia.

Kerdau mempunyai jumlah pengundi seramai 9,082 orang berdasarkan buku daftar pengundi terbaru SPR. Daripada jumlah tersebut terdapat 8,182 orang pengundi Melayu (90.09 peratus), Cina 466 orang (5.13 peratus), India 166 (1.82 peratus) dan Orang Asli 268 (2.95 peratus).

Terdapat 13 Unit Pusat Mengundi di Kerdau meliputi kawasan pinggir bandar, kampung tradisional Melayu, estet, pekan lama serta tiga Tanah Rancangan Felda iaitu Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25.

Pada pilihan raya umum 2008 BN menang dengan majoriti 1,615 undi. Zaharuddin yang pertama kali bertanding sebagai calon BN mendapat 4,135 undi berbanding calon PAS Hasanuddin Salim yang memperoleh 2,520 undi.

Walau bagaimanapun keputusan tersebut dilihat satu kejayaan buat PAS kerana merendahkan undi BN sebanyak 950 undi daripada majoriti 2,565 undi yang diperolehi BN pada 2004.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30982:pas-mampu-buat-kejutan-di-kerdau&catid=96:fokus-khas&Itemid=134



1 comment:

  1. secara pribadinya, bagi saya di kerdau takde apa2 pembangunan yang boleh dibanggakan.. tah ek... 1 pun takde rasanya... dan insyaAllah andai proses plihanraya dilakukan secara telus dan bersih saya yakin dacing mmg jatuh bekcai-kecai... dan kerdau terang aman tenteram diterangi bulan yg sentiasa beseri-seri.

    ReplyDelete