Thursday, September 30, 2010

Pulang wang judi di PP: Kemuncak drama arahan Umno

Di Pulau Pinang, Umno sah mengarahkan drama 40 penerima bantuan program basmi kemiskinan yang memulangkan balik wang ihsan sebanyak RM100 daripada kerajaan negeri.

Antara media paling besar memainkan isu ini ialah akhbar lidah rasmi Umno yang kini sedang menjunam edarannya, Utusan Malaysia yang meletakkannya di muka depan. Tv3 juga menjadikan pakcik makcik seperti watak dalam rancangan ‘Bersamamu’... merahang (bahasa Temerloh yang bermakna menangis)

Anda percaya wang RM100 yang telah diberikan beberapa hari lalu itu (sebenarnya dah habis orang miskin itu belanjakan), dipulangkan balik? Jangan percaya, yang dipulangkan itu wang yang “diberikan Umno” kemudian dipulangkan balik kepada wakil-wakil Umno di Pulau Pinang.

Tujuan drama ini dilakonkan ialah untuk ditontonkan kepada media dan orang ramai kerana inilah kesempatan terbaik untuk diambil peluang bagi mencetuskan isu politik baru. Satu cara menyerang dari golongan yang kalah bagi dilihat sebagai hero, kononnya!

Siapa Umno mahu bercakap tentang judi haram? Anda ingat Loteri Kebajikan Masyarakat yang diasaskan oleh bapak segala Umno itu? Kenapa judi haram itu Umno kaitkan dengan kebajikan? Kepada siapa hasil judi itu diagihkan? Haram atau halal? Ada penerima yang pulang balik?

Berapa banyak premis judi yang ada di tanah air ini yang sengaja dihalalkan perlesenannya? Kenapa diizinkan? Sudah tentulah Umno dan kerajaan mahukan hasil cukainya. Tapi buat apa wang itu? Sudah tentu mahu diagihkan. Kepada siapa? Itu Umno yang kena jawap kerana Umno merupakan pengurus hasil judi tertua di negara ini.

Pahang mempunyai banyak pusat judi, bahkan antara yang teragung di Asia Tenggara iaitu dalam daerah Bentong. Hasil-hasilnya dikutip oleh majlis perbandaran kemudian diagihkan kepada rakyat, tidak kiralah melalui projek atau pendapatan atau sumbangan. Tidak kedengaran pula ada drama pulang balik!

Barangkali selepas ini ada pihak yang menaja drama orang Bentong pulang balik wang hasil judi!

Jadi bolehkah Umno berbicara soal agama dan moral?

Sedangkan Setiausaha Agung Umno sendiri, iaitu Tengku Adnan Tengku Mansor, menurut laman Umno-reform, dikatakan memiliki saham syarikat perjudian dalam Bukit Tinggi Resort Berhad yang memperolehi lesen judi mesin slot

Umno dan Sports Toto

Sports Toto Malaysia diasaskan pada tahun 1969 dengan nama asal syarikat berkenaan ialah Unilite Electrical Industries Berhad. Setelah itu pada tahun 1987 ia ditukar nama kepada Far East Asset Berhad dan dalam penstrukturan semula pada tahun 1992, ia diambil alih oleh Berjaya dan dikenali sebagai Berjaya Sports Toto Berhad.

Sehingga kini Sports Toto mempunyai 681 kedai judi di seluruh negara dan mempunyai dua syarikat perjudian di luar negara iaitu Philippines Berjaya Toto dan pada tahun 1997 membantu kerajaan Ghana menyusun kegiatan loteri di negara berkenaan.

Syarikat ini adalah merupakan anak syarikat milik penuh Berjaya Group Berhad yang dimiliki oleh Tan Sri Vincent Tan, kroni yang rapat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Berdasarkan carian yang dibuat Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah yang juga Setiausaha Kerja Umno Malaysia, Tengku Adnan Tengku Mansor masih memegang saham di dalam Berjaya Group Berhad yang memiliki Sports Toto.

Pegangan Tengku Adnan sebanyak 3.5 juta saham dibuat melalui Cimsec Nominees.

Ini menjadikan Tengku Adnan `mewakili Umno di dalam syarikat perjudian Sports Toto melalui pegangan saham Berjaya Group Berhad.

Selain itu, Sports Toto Malaysia juga mempunyai dua pengarah yang merupakan bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia yang kebetulan orang Melayu dan beragama Islam. Mereka ialah Tan Sri Jaafar Abdul dan Mohamed Saleh Gomu.

Selain dua bekas pegawai kanan polis tersebut, antara muka Melayu yang menjadi pengarah syarikat di bawah kumpulan Berjaya yang turut memiliki saham dalam Sports Toto Malaysia ialah Datuk Annuar Zaini dan Datuk Sulaiman Mohd Noor yang menjadi pengarah Berjaya Group Berhad yang memiliki 292,336,584 saham di dalam Sports Toto.

Manakala dua lagi pengarah Melayu iaitu Datuk Adnan Shuaib dan Arsam Damis masing-masing menjadi pengarah Berjaya Land Berhad yang memiliki 284,644,046 saham di dalam Sports Toto.

Daripada carta ini jelas Umno punya `wakil dalam syarikat judi dan bekas polis turut `melindungi kegiatan judi berkenaan.”

Umno dan Genting

Genting Berhad yang merupakan pengendali kasino terbesar di Asia Tenggara diasaskan pada 30 Julai 1968.

Tiga tahun selepas ditubuhkan iaitu pada 28 Disember 1971, Genting Highlands Hotel Sdn. Bhd telah disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan pada tahun 1978 dikenali sebagai Genting Highlands Hotel Berhad.

S etelah itu namanya dikenali sebagai Genting Berhad dan menjadi pusat perjudian terbesar di rantau ini.

Di bawah bendera Genting, dua syarikat utamanya ialah Resort World Berhad dan Genting Berhad. Penglibatan Umno dalam syarikat perjudian ini telah berlangsung dan warisannya masih kekal sehingga ke hari ini.

Umno melalui bekas Pengerusinya, Tan Sri Noah Omar (datuk kepada Perdana Menteri Malaysia) yang kini dikendalikan oleh Yayasan Noah memiliki 602,318,000 saham di dalam Resorts World Berhad yang mengendalikan perniagaan judi dalam dan luar negara termasuk di atas kapal peranginan.

Manakala sebanyak 3,334,600 saham Genting Berhad dipegang oleh Yayasan Noah yang mana syarikat berkenanaan merupakan syarikat pegangan ekuiti perniagaan judi dan kasino.

Yayasan Noah kini diwarisi oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang kedua-duanya adalah cucu kepada Tan Sri Noah. Selain itu beberapa tokoh Melayu turut menjadi pengarah Resort World Berhad dan Genting Berhad.

Antaranya ialah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Amin Osman dan bekas pegawai bank, Datuk Paduka Nik Hashim Yusof yang menjadi Pengarah Genting Berhad.

Manakala bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Wan Sidek Wan Abdul Rahman dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Alwi Jantan merupakan Pengarah Resorts World Berhad.

Ini memperlihatkan penglibatan Umno dalam aktiviti perjudian sudah bertaut sejak dulu lagi malah kini diwarisi oleh generasi kepimpinan muda dalam Umno.

Umno dan Magnum 4D

Magnum 4D Berhad sebelum ini dikenali sebagai Leisure Management Berhad. Ia kadang kala lebih popular di kalangan kaki ekor sebagai tempat pelaburan.

Magnum 4D mempunyai lapan wilayah Magnum 4D Sdn Bhd iaitu Magnum 4D Selangor, Perak, Penang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pantai Timur dan Malaysia Timur. Semua Magnum 4D wilayah ini menjadi anak syarikat Magnum 4D Berhad.

Syarikat ini mempunyai kepentingan tidak langsung Menteri Kewangan Diperbadankan. Ini berikutan pegangan saham Menteri Kewangan Diperbadankan melalui dua syarikat yang memegang saham di dalam magnum 4D.

Pertamanya ialah Multipurpose Berhad yang menyaksikan pegangan 7,723,285 saham oleh Menteri Kewangan Diperbadankan di dalam syarikat itu dan Multipurpose pula memiliki 461,473,178 saham di dalam Magnum dan 60,502,000 saham dalam 4D.

Ini menjadikan menteri Kewangan Diperbadankan mempunyai pegangan tidak langsung melalui Multipurpose di dalam `pusat pelaburan mingguan tersebut.

Keduanya, Menteri Kewangan Diperbadankan mempunyai saham di dalam Kamunting Corporation Berhad iaitu sebanyak 3,055,069 saham. Manakala Kamunting yang pengerusinya ialah bekas Exco Pemuda Umno, Datuk Haji Mohamed Al-Amin Majid memiliki 1,900,000 saham di dalam 4D.

Ini menjadikan lingkaran pegangan tidak langsung Menteri Kewangan Diperbadankan di dalam sayarikat judi dibuat melalui pegangan dua syarikat.

Menyentuh mengenai Magnum 4D Berhad, nama yag tidak boleh dipisahkan ialah Tan Sri Khir Johari yang merupakan pengarah syarikat itu. Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Umno memiliki 40,843 saham di dalam Magnum dan 6,666 saham di dalam 4D.

(Cerita lanjut boleh dibaca di laman Umno-reform).

Barangkali, orang Pekan juga selepas ini mahu pulangkan balik wang sumbangan (duit raya, duit kebajikan, duit kopi dan macam-macam lagilah) yang mereka terima!










Wednesday, September 29, 2010

Patin Pekan ancam Patin Temerloh

Ikan patin (nama saintifiknya Pangasius Sutchi) dari daerah Temerloh, Pahang sememangnya sudah terkenal kerana keenakan rasanyanya terutama apabila digulai dengan tempoyak. Sehingga mampu menarik penggemar-penggemar dari luar datang untuk menikmatinya.

Sebab itu boleh dikatakan di Temerloh, tidak ada kedai makan yang tidak menjual gulai ikan patin. Sehinggalah tag-line daerah ini sendiri ialah ‘Temerloh Bandar Ikan Patin’.

Spesis ikan air tawar ini pernah mencetuskan kontroversi di negara ini kerana harganya yang mencecah ratusan ringgit sekilogram kerana permintaannya yang tinggi, keenakan rasanya dan tidak serupa dengan jenis terdapat di tempat lain.

Terdapat tiga jenis ikan yang bernilai komersial tinggi dan membiak dalam Sungai Pahang itu iaitu Patin Emas, Patin Buah dan Patin Muncung. Harga bagi sekilo Patin Emas ialah RM35, Patin Buah (RM80) dan Patin Muncung pula mencecah RM250 sekilo.

Harga yang begitu tinggi pada masa ini adalah disebabkan kesukaran menemui ikan berkenaan kerana faktor antaranya kualiti air yang makin menurun serta kepupusan.

Sejak kira-kira 10 tahun yang lalu, terdapat usaha menternak Patin dalam sangkar di Temerloh. Pada masa ini terdapat kira-kira 100 penternak Patin dengan lebih 1,000 sangkar peliharaan sepanjang Sungai Pahang dan Sungai Semantan di daerah ini.

Pada masa ini Patin sangkar boleh didapati dengan harga RM14 sekilo. Meskipun rasanya tidak setanding dengan Patin sungai yang asli kerana hanya diberi makan pelet berprotin, namun pasarannya tetap laris kerana mudah didapati dan masih berkhasiat tinggi.

Patin sangkar Temerloh juga mendapat sambutan daripada pembeli luar terutama dari Lembah Klang. Ini disebabkan jarak perjalanan dari Tol Gombak ke Tol Temerloh mengikut Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hanya mengambil masa kurang daripada satu setengah jam. Ini membuatkan permintaan patin meningkat dan ada kalanya tidak cukup.

Akhir-akhir ini terdapat pula rungutan, terutama daripada pelanggan luar, bahawa rasa ikan Patin sangkar Temerloh tidak seenak dulu. Sebenarnya Patin yang mereka beli itu bukannya Patin Temerloh tetapi Patin yang didatangkan dari luar.

Permintaan tinggi Patin Temerloh telah diambil kesempatan oleh peniaga-peniaga di Temerloh bagi mengimport Patin dari tempat lain, terutamanya dari Pekan. Patin Pekan pula, dikatakan jauh beza rasanya daripada Patin Temerloh. Selain rasa yang kurang enak, ada yang berkata pemakanan Patin Pekan juga turut diragui kebersihannya.

Menurut seorang yang pernah “terbeli” Patin Pekan, dagingnya agak lembik, isi kekuningan dan rasanya tidak manis. Ini berbeza dengan Patin Temerloh yang dagingnya pejal, isi jernih dan rasanya sedap.

Lambakan Patin luar di Temerloh tanpa dikategorikan atau tidak diberitahu oleh peniaga kepada pelanggan menyebabkan ada yang merasa tertipu kerana mereka menyangka ikan tersebut datangnya daripada sangkar di daerah tersebut.

Seorang penternak Patin sangkar Temerloh, Shahrul Abu Samah, 37, mengakui ada peniaga yang menjual ikan Patin Pekan. Katanya, ini disebabkan peniaga mahukan untung lebih dan permintaan pelanggan sendiri.

“Peniaga nak untung lebih... Patin luar harga tolak hanya RM8 saja, sedangkan Patin sini RM10, mereka jual harga RM14. Jadi dapatlah untung lebih.

“Bekalan juga berkurangan berbanding permintaan terutama daripada orang Kuala Lumpur. Sebab kebanyakan Patin sangkar yang ada sudah ada pelanggan-pelanggan restoran,” katanya.

Shahrul berkata, anak ikan patin yang dilepaskan dalam sangkar mengambil masa sehingga enam bulan baru boleh dijual. Dalam tempoh itu banyak musibah yang boleh menyebabkan penternak rugi antaranya banjir dan ikan mati akibat pencemaran.

Shahrul sendiri pernah kerugian RM15 ribu apabila Patin dalam sangkarnya mati. Baginya, risiko menternak Patin membuatkan lebih ramai yang memilih menjadi peniaga patin daripada menternak ikan tersebut.

“Tetapi masalah Patin dari luar ini jika tidak dibendung boleh menyebabkan salah tanggapan orang ramai. Dengan itu saya harap pihak berkuasa mengambil inisiatif mengawal peniaga dengan isytiharkan atau letak penanda sama ada yang dijual itu Patin Temerloh asli atau Patin luar. Ini bagi mengelakkan nama patin dari daerah tercemar,” jelasnya.

Pendapat Shahrul turut dikongsi sama oleh peniaga restoran, Jaffry Ramli, 42, yang mengakui tidak pernah membeli Patin luar, mahukan pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan Majlis Daerah bertindak bagi menjaga reputasi dan identiti Temerloh Bandar Ikan Patin.

“Sikap peniaga ini boleh pada masa depan jika tidak ditangani boleh mematikan industri Patin sangkar Temerloh kerana hilang kepercayaan. Bukan saja penternak bahkan juga peniaga kedai makan. Bila orang dah takut tertipu tidak mustahil ada yang akan boikot makan ikan air tawar ini.

“Kalau tak mahu menjejaskan reputasi Patin Temerloh pihak berkuasa mesti memantau supaya peniaga meletakkan tanda sama ada yang dijual itu Patin Temerloh atau sebaliknya. Bagi mereka tempoh, kalau engkar ambil tindakan,” tegasnya.

Tambah Jaffry, boleh dikatakan 100 peratus pengusahan Patin sangkar Temerloh terdiri daripada orang Melayu. Jadi jika pihak berkuasa tindak mengambil inisiatif atau sebarang tindakan, nasib dan masa depan mereka boleh terjejas.

Selain daripada itu, Patin Temerloh yang selama ini dianggap hidangan istimewa akan dikira biasa sahaja di samping identiti Temerloh Bandar Ikan Patin hanya akan menjadi sebutan sinis pada masa depan.

Nelayan Sungai Pahang, Sidi Maarof, 48, berkata pemborong ikan Patin dari luar Temerloh tidak boleh disalahkan karana baginya, mereka datang kerana ada permintaan.

“Saya diberitahu satu hari tidak kurang sebuah lori besar yang datang dari luar menurunkan Patin Pekan di sini. Saya fikir kerajaan pun tak boleh sekat, yang berkesannya ialah pembeli boleh memainkan peranan. Tapi Jabatan Perikanan kena pantau kemasukan Patin luar.

“Jika tidak, saya nampak persaingan dari Patin luar boleh mengakibatkan penternak Patin sangkar Temerloh gulung tikar. Sekarangpun dah banyak penternak yang tak larat apabila bahan makan ikan mahal menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil,” katanya.

Sidi menegaskan, pihak kerajaan juga bersalah kerana mengisytiharkan tag-line Temerloh sebagai Bandar ikan Patin tetapi tidak ada fokus atau insiatif untuk menjadikan spesis ikan tersebut benar-benar dapat memenuhi permintaan semua pihak.

Katanya, penternak tetap terpaksa mendapatkan benih Patin dan makanan ikan pada harga terlalu tinggi. Sedangkan jika kerajaan serius, kilang memproses makanan ikan dan pusat pembenihan Patin boleh dibina dan dipusatkan di Temerloh sehingga boleh menjadi pusat kajian dan rujukan seantero dunia.







Peneroka menang lagi kes saman Felda

KUANTAN, 29 Sept: Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini memutuskan peneroka Felda berhak mendapatkan bayaran tanam semula sebanyak RM1,700 seekar dari Felda walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu.

Kaputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya ekoran saman yang dikemukakan oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda kerana enggan membuat bayaran itu kepada mereka.

Namun, Hakim itu memutuskan, bayaran itu hendaklah dibuat oleh Felda dengan syarat peneroka memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Felda.

Hakim menolak hujjah pembelaan Felda yang menyatakan peneroka tidak berhak mendapatkan jumlah itu kerana jumlah caruman mereka tidak sampai.

Namun, hakim memutuskan Felda perlu membayar jumlah itu kerana ia telah ditetapkan oleh Felda sendiri.

10 peneroka Felda itu diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala Felda diwakili oleh Tetuan Abdullah Zainudian yang diwakili oleh Puan Doshi.

~ Harakahdaily

Cucu Mat Kilau tawar bertanding Exco AMK Pusat

Blogger terkenal negeri Pahang, Cucu Mat kilau (CMK) akan menawarkan diri calon exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat pada pemilihan 2010 yang sedang berjalan sekarang.

CMK atau nama sebenarnya Mohd Shukri Jamaluddin, 39, memberitahu Selamatkan Pahang, beliau berbuat demikian bagi tujuan memantapkan bidang ICT anak muda yang merupakan medium baru maklumat masa kini.

CMK merupakan antara blogger awal dari negeri Pahang di mana blog miliknya cucumatkilau.blogdive telah berada di internet sejak 5 Disember 2008 iaitu ketika memuncaknya era reformasi.

Beliau yang keluarganya berasal dari Kampung Pulau Tawar, Jerantut dan berhijrah ke Felda Jengka 7 Maran merupakan bekas pimpinan pelajar ITM Perak.

Sebelum menjadi blogger sepenuh masa, beliau pernah berkhidmat sebagai Juruteknik perancang bandar jabatan kerajaan di Kuantan.

Selain mengendalikan blog cucumatkilau, beliau pernah berkhidmat sebagai deejay di Pahang fm dan masih merupakan deejay jemputan pelbagai majlis. Selain itu, beliau adalah antara editor eksekutif laman paling terkenal dan kontroversi di Pahang iaitu blog Pahangdaily.blogspot.

Dari segi politik, beliau merupakan bekas Ketua Penerangan AMK Pahang dan calon PKR Dun Kemayan pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

Pada 24 Disember 2007 beliau telah ditangkap oleh 8 orang anggota polis dalam satu serbuan di rumahnya di Inderamahkota, Kuantan.

“Saya dipukul, diugut dan diperlakukan sesuka hati dan diperlakukan sesuka hati oleh mereka dengan tangan bergari, namun itulah kenangan paling pahit yang saya lalui,” tulis beliau dalam blognya.

Shukri yang menyimpan khazanah "Kitab Kanun Salasilah 13 Generasi Keturunan Pulau Tawar" dan "Rahsia Kepahlawan Mat Kilau" kini sedang giat mempromosikan projek Blogger Usahawan.

Ramai berpendapat, jika Shukri menduduki exco AMK Pusat peluang yang ada akan dapat dimanfaatkan bagi mendedahkan timbunan isu negeri Pahang ini yang selama ini masih jarang diusik oleh blogger-blogger bertaraf nasional.

Selamatkan Pahang mengucapkan selamat maju jaya kepada CMK.



Tuesday, September 28, 2010

Bangunan sebelah pejabat PAS terbakar

TEMERLOH: Kedai menjual produk ladang dan input pertanian, Kenmart Jaya yang berada selang sebuah daripada pejabat Perhubungan PAS Pahang di Jalan Bahaman 4 dekat sini, terbakar dipercayai akibat litar pintas.

Kebakaran yang dikatakan bermula jam 3 pagi itu memusnahkan tingkat tiga bangunan kedai berkenaan menyebabkan seluruh blok kedai termasuk bangunan pejabat PAS Pahang terputus bekalan elektrik.

Tingkat tiga bangunan yang terbakar itu dipercayai dijadikan stor menyimpan barang. Api yang marak telah merebak sedikit membakar bilik air sebelah belakang bangunan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang terletak bersebelahan.

Sehingga tengahari ini, siasatan masih dijalankan oleh pasukan bomba, polis, forensik dan TNB.

Sepuluh kakitangan pejabat PAS diarahkan bercuti hari ini.


Monday, September 27, 2010

ADUN Galas Meninggal Dunia - PRK lagi

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Che Hashim Sulaima, 47, meninggal dunia di Hospital Pakar al-Islam, Kampung Baru akibat barah usus kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Maklumat tersebut disahkan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang turut berada di pusat rawatan berkenaan sejak pagi tadi.

"Beliau disahkan meninggal pada pukul 4.30 petang," katanya ketika dihubungi.

Che Hashim dimasukkan ke KBMC sejak lima hari lalu.

Anggota keluaga beliau turut berada di pusat rawatan berkenaan. Jenazahnya akan dibawa pulang ke Gua Musang.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS turut menziarahi Che Hashim antaranya Penolong Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar.

Che Hashim disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu apabila batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, China.

Julai lalu beliau sekali lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana Kota Bharu.




Ibrahim Ali tidak perkasa di Kelantan

KUANTAN: "Saya bertaubat nasuha kerana jadi orang yang perkenalkan Ibrahim Ali sebagai calon Parlimen Pasir Mas ketika Pilihanraya Umum ke-12 lalu", kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan Ahmad Fadhli Shaari dalam ceramahnya di Markas PAS Taman Guru Kuantan malam tadi.

Beliau turut menegaskan bahawa Ibrahim Ali memanglah satu-satunya wakil rakyat "katak lompat" yang tiada tolok bandingannya.

"PAS terpaksa mencalonkan nama beliau berdasarkan senario politik semasa ketika itu. Tok Guru seboleh-bolehnya ingin mempertahankan pemerintahan Islam di Kelantan. Kita sangka Ibrahim Ali sudah insaf dan akan kembali ke pangkal jalan. Rupa-rupanya, Ibrahim bukanlah orangnya.
Malah, selepas kemenangan di Pasir Mas beliau secara lantang mengutuk kepimpinan Tok Guru Nik Aziz",tambah beliau lagi dalam ceramah anjuran Pemuda itu.

PAS katanya tidak akan memberi ruang lagi kepada orang seperti Ibrahim Ali. "Saya dengar beliau akan melakukan kejutan besar dalam pilihanraya umum akan datang. Apa yang mahu dikejutkan agaknya. Apakah kejutan kerana menjadi calon bebas atau apa agaknya?", katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa Ibrahim Ali sengaja membuat Majlis Perhimpunan Melayu Perkasa Kelantan di Stesyen Keretapi Pasir Mas semalam kerana tahu orang ramai lalu lalang di kawasan itu.

"Kita membenarkan beliau menggunakan Stadium Mini Pasir Mas untuk membawa mantan PM Dr Mahathir Mohamad dalam programnya itu. Namun, Ibrahim menolak dan sengaja mahu mengadakannya di Stesyen Keretapi. Beliau takut, orang tidak ramai hadir ke stadium yang akan memalukan Mahathir nanti.

Maka, di stesyen keretapi itu memang kita ketahui ramai orang lalu lalang dan berurusan di kawasan terbabit. Lantaran itulah beliau membuat majlis berkenaan di lokasi itu",

tambahnya lagi. Sementara itu, Fadhli turut mendedahkan cubaan UMNO untuk memalukan dan menjatukan maruah Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS. Bermula dengan kes penipuan perasmian perlepasan perlumbaan basikal Le' Tour De Langkawi awal tahun lalu, kemudian penipuan perasmian Fiesta Kelantan dan terbaru berkenaan cek RM4 billion pula. Semua ini adalah niat jahat mereka untuk mencemarkan nama baik Tok Guru Nik Aziz sebenarnya.

"UMNO tidak mahu insaf-insaf, sedangkan sudah banyak petunjuk yang diberikan atas penipuan yang mereka lakukan", katanya.

Beliau berkata, isu RM4 billion sengaja diada-adakan untuk memalukan Tok Guru. "Syarikat terbabit sebenarnya baru berbincang dengan Tok Guru berkenaan projek pembangunan bernilai lebih RM300 bilion di pantai Tumpat. Mereka belum menghantar proposal yang perlu dibawa kepeada Unit Perancangan Ekonomi Negeru (UPEN) untuk diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum diluluskan.

Namun, syarikat berkenaan berkenan untuk memberi ganjaran RM4 billion kepada kerajaan negeri. Sebelum hari raya lalu, mereka mengadakan majlis dan mengundang adik Tok Guru untuk hadir. Tiba-tiba beliau dipanggil ke pentas kononnya untuk menerima hamper dan sebagainya.

Tiba-tiba mereka memberikan replika cek bernilai RM4 billion, untuk diambil gambar dan dihebahkan di dalam media arus perdana kononnya terdapat unsur rasuah dalan hal berkenaan", katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan, pimpinan PAS sedikit pun tidak tergugat dengan isu tersebut sebenarnya.

~ http://www.fadhlibrahim.blogspot.com/

Saturday, September 25, 2010

Pisau.net blog lucah, Guan Eng tak payah layan

TEMERLOH: Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Suhaimi Saad mempertikaikan bagaimana media arus perdana mengangkat cerita daripada sebuah blog lucah dijadikan isu semasa sehingga dibincangkan menjadi isu negara.

Sekali gus, kata Suhaimi, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak perlu melayannya kerana blog separa porno itu hanya bertujuan untuk meraih populariti.

Blog Pisau.net yang berpengkalan di Pulau Pinang itu dimiliki oleh seorang penyokong Umno yang baru-baru ini mempertikaikan wang ehsan yang diagihkan oleh Kerajaan Pulau Pinang.

Baru-baru ini blog yang banyak membuat gambar super-impose bogel pemimpin politik itu telah menuduh wang yang diagihkan kepada warga Pulau Pinang sebagai wang yang dipungut daripada hasil judi.

Keratan cerita berkenaan telah dicetak dan diulas antaranya oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno Reezal Merican Naina Merican di Tv3. Media-media cetak berbahasa Melayu kepunyaan Umno turut memainkan (spin) cerita berkenaan.

“Saya hairan bagaimana sebuah blog lucah tajaan Umno... yang bahannya tidak ada kredibiliti dan jelas berbentuk tuduhan, cerita siarannya boleh diangkat oleh media yang bertaraf profesional... itu yang menghairankan.

“Walhal kalau nak dikira cerita dari blog, dah lama dah kita anggap Allahyarhamah Aminah alias Altantuya diarahbunuh oleh pemimpin negara. Tapi kita tak pakai sumber tidak rasmi, walaupun kita mahu isu itu disiasat.

“Saya fikir Umno dan konco-konconya sudah amat terdesak dan kekeringan idea sehingga sumber blog lucah pun diangkat menjadi isu nasional. Saya fikir Guan Eng tak payah buang masa melayan karenah propagandis Umno itu,” ujarnya.

Ketika dilayari, blog tersebut banyak memaparkan gambar bercorak porno yang disuper-impose kepada pemimpin Pakatan.

Sementara blog-listnya pula menyenaraikan semua blogger dan cyber trooper daripada Umno yang ditugaskan menghentam Pakatan Rakyat dengan membelakangkan etika kemanusiaan dan Islam.

Umno mula mengggiatkan peperangan melalui dunia siber setelah parti tersebut menanggung kekalahan besar pada pilihan raya umum (PRU) Mac 2008 yang lalu, yang mereka percaya antara lain disebabkan perkembangan dunia maya di negara ini terutama di kawasan-kawasan bandar.




Buru landak: Ketua polis Temerloh ditukarkan

TEMERLOH: Gara–gara tertembak rakannya sendiri ketika memburu landak di Hutan Simpan Kemasul, Lanchang, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Superintendan Ahmad Fadzillah Mohamed ditukarkan.

Demikian menurut kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berhubung pertukaran pegawai kanannya yang terbabit dalam kes tertembak rakan ketika memburu, Sabtu lalu.

Dalam kejadian tersebut, Ahmad Fadzillah tertembak rakannya, Penolong Pegawai Risda Daerah Maran, Che Abdul Ghani Midon, 49, ketika memburu.

Dalam kenyataannya kelmarin, Ismail berkata, langkah itu bagi memudahkan siasatan kes dibuat mengikut prosedur biasa polis, tanpa sebarang pengecualian walaupun membabitkan pegawai kanan polis dan tindakan tatatertib sewajarnya juga dikenakan selepas siasatan.

Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani ketika mengulas kenyataan Ismail, hanya berkata: “Ia prosedur biasa bagi membolehkan siasatan dijalankan,” kata




Pemuda PAS bantah cara Ismail Sabri raya

Assalamualaikum,

Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau amat kecewa dan membantah sekeras-kerasnya cara sambutan Aidil Fitri yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Bera, merangkap Menteri KPDNK dan juga merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada 19 September 2010 di Laman Kerayong, Parlimen Bera Pahang.


Program yang berbentuk hiburan itu menampilkan wanita-wanita yang berpakaian ketat dan seksi berjoget, menari meraikan kesyukuran sempena menyambut kedatangan Syawal yang mulia ini. Manakala MP Ismail Sabri sendiri menari dan menyanyi berduet dengan seorang perempuan yang tidak segan silu mendedahkan auratnya di hadapan khalayak ramai.

Bagaimana seorang muslim yang bergelar pemimpin dan wakil rakyat sanggup melakukan perbuatan terkutuk di sisi syariat Allah, adakah beliau menganggap bahawa penganjuran maksiat itu tidak salah di sisi Islam?!, adakah beliau sudah merujuk ulama?! adakah beliau merasakan bahawa persoalan dosa itu hanya perkara remeh-temeh?! adakah beliau sedar bahawa seorang muslim apabila menyambut hari raya hendaklah membesar dan mengagungkan Allah SWT dengan erti kata mentaati, mendahulukan dan mengutamakan arahan Allah dalam semua perkara mengatasi kehendak dan keperluan yang lain?! sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud " Hendaklah kamu sempurnakan bilangan puasa kamu dan hendaklah kamu bertakbir membesarkan Allah di atas hidayah petunjukNya kepada kamu supaya kamu bersyukur ".

Hairan!!! Dalam keadaan maksiat terlalu banyak sehingga sukar dibendung, berlakunya penzinaan setiap hari, kelahiran anak luar nikah yang sentiasa meningkat setiap hari, pembuangan dan pembunuhan bayi yang tidak berdosa berlaku di seluruh negeri, gejala sosial yang sangat keritikal dan pergaulan bebas yang sangat membimbangkan, khususnya di kalangan orang melayu beragama Islam...

NAMUN apa yang berlaku itu sidikitpun tidak memberi kesan dan meresahkan MP berkenaan, tanpa rasa malu dan takutkan Allah beliau tetap menganjurkan program yang boleh menimbulkan keghairahan di kalangan generasi muda seterusnya boleh membawa kepada zina, sedangkan Allah menjelaskan secara nyata di dalam al-Quran supaya jangan menghampiri perkara yang boleh membawa kepada zina, firmanNya dalam surah al-Isra` ayat 32: " Jangan kamu hampiri perkara yang boleh membawa kepada zina, kerana sesungguhnya zina itu perbuatan keji dan seburuk-buruk jalan ".

Seorang pemimpin sewajibnya mendidik dan membimbing masyarakat ke jalan yang diredhoi Allah supaya berjaya di dunia dan di akhirat, BUKANNYA mendidik dan mengajar rakyat ke jalan yang dimurkai Allah.

Justeru itu, saya menyeru kepada generasi muda dan lama agar menolak mana-mana pemimpin yang tidak taatkan perintah Allah, pemimpin yang merosakkan masa depan anak-anak muda mudi masa kini. Agar kita dipimpin oleh pemimpin yang bertaqwa, kerana pemimpin yang bertaqwa akan melahirkan generasi yang bertaqwa sebagaimana yang dinyatakan oleh para hukama` " Kehidupan masyarakat terbentuk dengan corak kehidupan pemimpinnya ".

SHAHRIL AZMAN ABDUL HALIM
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang
Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau


Keresahan Orang Asli yang tanah pesaka mereka diceroboh

ROBOT ITU DATANG

Mak..mak…mak..
Robot itu datang….datang kesini
Bunyinya sangat dan bingit…
Terdapat bermcam jenis robot itu..
Datang bersama “Tuan” masyarakat kita…

Apak…apak…apak…
Kenapa robot itu menceroboh pasaraya kita..
Pasaraya kita yang menyediakan rotan, herba dan buah-buahan..
Tempat aku bermain sorok-sorok dan menenami si pacat menghisap darah…
Tualang, merbau, cengal dan teman-teman pokokku lain habis tumbang..
Aku…aku…kaget kenapa robot itu kejam membunuh kawan-kawanku..

Nek..nek..nek…
Kenapa robot itu datang…air sungai jenih menjadi keruh..
Sungai tempat aku berenang, mendapatkan sebarau dan bermain rakit
Kini berwarna teh susu tetapi tiada gula sudah semakin cetek…
Sungai ini berbau dan mempunyai tompok minyak robot..
Ramai kawan-kawan ikan bergelimpang meninggal dunia…
Aku, dia dan kami akan pupus nanti kerana racun robot itu???...

Atuk..atuk..atuk…
Tolonglah jampi supaya Robot itu keluar daripada tempatku…
Mohon kepada roh nenek moyang supaya menghalang kerja robot itu…
Sudah…sudah..cucu..atuk dah bermohon tetapi robot itu tetap degil..
Degil kerana mereka menganggap tempat kami sebagai tempat “Tuan”
“Tuan” yang mengaku lebih berkuasa daripada yang Maha-Pencipta..

Haruskah aku dan anak-anak muda belantara menyumpit robot

dan “Tuan” itu…
Tetapi mereka ada bom C4

dan kapal selam yang tidak boleh menyelam…
Sumpit tidak lut kepada jet pejuang

walaupun tanpa enjin yang dicuri…


Ya Allah Ya Tuhanku

Yang Maha Pengasih dan Penyayang

aku berdoa
Selamatkan tempatku serta bangsaku

daripada kezaliman robot dan “Tuan”
Amin Rabil Alamin…

Oleh: Ramli Lugan,
(Orang Asli Peneras, Temerloh)

Dari blog: Lanai Lestari

Friday, September 24, 2010

AC Mizal dikurnia Dato’ Pahang

Penyanyi, pelakon serta pengacara terkenal AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 39 tahun, bakal bergelar Datuk. Pangkat tersebut bakal dikurniakannya mungkin pada hari keputeraan S ultan Pahang nanti.

Demikian dilaporkan oleh akhbar Berita Harian hari ini.

“Gelaran itu membuatkan saya takut. Saya tak tahu macam mana nak buat. Apabila membawakan gelaran seperti ini, saya perlu bersedia untuk menerima pelbagai dugaan. Sekarang saya hanya tunggu saja apa dugaan itu.

”Saya berdiam diri bukan untuk berahsia tetapi berada dalam tempoh bersedia kerana gelaran ini terlalu besar. Saya berada dalam bidang seni selama 24 tahun, manakala perniagaan saya baru bertapak sejak 10 bulan lalu.
Walaupun gelaran ini membuatkan saya takut, tetapi itu bukan bermakna tidak menghargai kurniaan Sultan Pahang. Saya berterima kasih kerana secara tidak langsung anugerah itu membawa kebaikan kepada perniagaan saya.

”Saya bangga sekurang-kurangnya pembabitan artis dalam bidang perniagaan diiktiraf dan berharap ini menjadi positif dan lebih ramai artis yang dapat mengikut jejak langkah saya, katanya yang masih belum menggunakan gelaran Datuk selagi belum menerima surat kurniaan secara rasmi.”

AC yang kini bergelar pengarah di Ikhtiar Destinasi Sdn Bhd (IDSB) iaitu syarikat yang mengeluarkan produk kesihatan berasaskan gelang tangan serta produk lain seperti aksesori, pakaian, barangan elektrikal dan elektronik berkata, sekalipun perniagaannya kini semakin maju tetapi dia tidak berhasrat meninggalkan dunia seni yang sudah menjadi darah dagingnya.

Malah kontraknya bersama Astro masih berbaki dua tahun dan dia kini sedang menanti projek yang akan disambung tidak lama lagi. Bagaimanapun katanya, dia akan lebih selektif dalam menerima tawaran bersesuaian dengan faktor umurnya.




Siapa ASP Suresh, Inspektor Muru?

Di tengah-tengah kekalutan dan simpang siur peristiwa ngeri pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga yang lain, di akhbar muncul pula cerita polis meminta ‘wang pembebasan’ daripada isteri tahanan.

Pegawai polis yang disebut dalam berita akhbar itu ialah ASP Suresh dan Insperktor Muru yang meminta wang RM1 juta daripada isteri ahli perniagaan India yang hilang di negara ini, S Usharani, 27.

Isunya berbangkit bermula dengan rakaman perbualan telefon bimbit jenis Nokia dalam bahasa Tamil itu berkisar mengenai pertanyaan Usharani kepada suspek keadaan suaminya, Muthuraja Allal Kanthan, 34.

Turut diperdengarkan ialah rakaman perbualan telefon antara Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa pegawai polis dari Bukit Aman bernama Asisten Superintendan (ASP) Suresh.

Katanya, rakaman panggilan telefon itu dibuat pada 28 Januari dan 23 Februari lalu.

“Pada 28 Januari itu saya menghubungi peguam (suspek) dan dia memberitahu berada di luar negara dan menafikan suami saya ada bersamanya. Dia juga memberitahu akan menghubungi saya selepas kembali ke Banting.

“Pada 23 Februari pula saya menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai polis berpangkat ASP bernama Suresh dari Bukit Aman. Lelaki itu mendakwa suami saya ditahan polis kerana kesalahan dadah dan meminta RM1 juta untuk membebaskannya,” katanya.

Selain dua panggilan itu, Usharani yang tiba dari Chennai, India, kelmarin berkata, beliau turut menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Inspektor Muru dari Bukit Aman, juga meminta wang daripadanya untuk membebaskan suaminya.

Usharani berkata, beliau menyerahkan kedua-dua rakaman itu kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) di Bukit Aman, hari ini.

Muthuraja yang menjalankan perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dipercayai ada hubungan perniagaan dengan suspek (pembunuh Soesilawati)_dan adiknya sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, sejak 19 Januari lalu, beliau gagal menghubungi suaminya.

Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia pada 8 September lalu dan membuat laporan polis di Banting. Dalam laporannya, beliau memaklumkan suaminya pernah menyebut dia dibawa ke sebuah ladang milik peguam berkenaan.

Kelmarin, polis mengesahkan Muthuraja turut dibunuh dan siasatan kini dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kita biarkan kes berkenaan kepada penyiasatan polis, kerana kita tiada hak mencampurinya.

Namun kes terbaru yang melibatkan ‘polis minta suapan’ itu sesuatu yang baru kepada umum. Memang, kes tersebut belum tentu betul, mungkin ada samseng yang menyamar bagi mendapatkan wang secara mudah.

Akan tetapi apabila telah disiarkan media, ia mewujudkan satu tanggapan bahawa apakah polis boleh ‘deal’ untuk menahan atau melepaskan seseorang berdasarkan wang.

Jika ini yang menyelubungi pemikiran awam, ia boleh merencatkan reputasi polis itu sendiri pada kaca mata awam.

Tambah-tambah pula baru-baru ini pihak Peguam Negara menolak kertas pertuduhan yang disiapkan oleh pasukan polis. Ini hanya menimbulkan pelbagai spekulasi bahawa akan terlepas lagikah penjenayah sebenar apabila pihak pendakwa gagal di mahkamah.

Kita pernah mendengar rentetan kes yang terus senyap tanpa sebarang khabar berita. Antaranya kes Mustakizah. Kes Noritta Shamsuddin juga senyap tanpa dapat dibuktikan pembunuhnya yang sebenar.

Isu kehilangan kanak-kanak seperti Nurin Jazlin dan beberapa orang lagi, juga terus diam.

Kita percaya, harapan semua pihak ialah mahukan pasukan polis terus unggul sebagai pihak berkuasa dan penguasa. Kerana rakyat perlukan perlindungan.






Thursday, September 23, 2010

Masalah air di Felda: Pegawai di KL diminta turun sendiri

TEMERLOH: Peneroka Felda di Pahang menyangkal dakwaan agensi berkenaan yang menafikan berlaku masalah bekalan air di tanah-tanah rancangan di negeri ini terutama pada hari raya lalu.

Mereka sebaliknya meminta pegawai tertinggi Felda turun ke penempatan-penempatan peneroka bagi menyaksikan sendiri kesukaran mereka mendapatkan air serta berusaha menyelesaikan masalah yang telah berlarutan puluhan tahun itu.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 10 September lalu menyiarkan kenyataan Pengarah Pembangunan Komuniti dan Koordinasi Felda, Mohamad Ibrahim yang menafikan laporan akhbar Siasah bahawa bekalan air di Felda Purun, Bukit Damar, Lakum dan Jengka di Pahang berada di tahap kritikal.

Kenyataan tersebut bagi menafikan laporan berita Siasah yang bertajuk 'Peneroka derita beraya tanpa air' bertarikh 12 hingga 18 September dan menganggapnya tidak benar. Menurutnya, berita yang disiarkan itu hanya bertujuan memberi gambaran buruk terhadap Felda.

Siasah sebelum itu menyiarkan kenyataan peneroka-peneroka di tanah rancangan Felda di Pahang, sambutan hari raya biasanya akan menimbulkan fobia kepada mereka kerana pada ketika itu bekalan air akan menjadi begitu kritikal dan terputus kerana penggunaannya yang meningkat.

Laporan tersebut memetik kenyataan peneroka, masalah terputus bekalan air seolah-olah sudah menjadi “kewajipan”, di mana setiap kali Aidilfitri menjelma, kebanyakan kawasan akan dihantui masalah ketiadaan air dan berlarutan disebabkan tekanan air rendah akibat penggunaan meningkat.

Ini mengakibatkan generasi kedua Felda yang tinggal di perantauan tidak selesa untuk pulang cuti berhari raya lebih lama. Selain kesukaran untuk mendapatkan air minum dan mandi manda, penduduk juga menghadapi masalah untuk mengadakan rumah terbuka.

Anak peneroka Felda Purun, Bera, Che Zuhar Haron, 49, kesal dengan penafian yang dibuat oleh pegawai tinggi Felda tentang masalah air di tanah rancangan itu seraya mempelawa pegawai yang bertugas di ibu pejabat Felda turun sendiri melihat masalah peneroka yang sering terputus bekalan air.

Tambahnya, musibah tersebut bukannya baru malah sudah berlanjutan sejak 30 tahun terutama melibatkan Felda Purun, Mayam dan Kumai dalam Gugusan Bera.

“Sejak awal raya lalu kami sudah ditimpa masalah terputus bekalan air dan saya nafikan kenyataan pegawai berkenaan yang mengatakan masalah air di Felda ini selesai. Memang ada diletakkan tangki air Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di simpang-simpang di sini, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah peneroka.

“Bayangkan bagi peneroka yang dah tua, bagaimana mereka mampu untuk memunggah air? Dalam masa yang sama bil air paip kena bayar juga.

“Sebab itu saya minta pegawai dari ibu pejabat Felda turun sendiri dan bermalam di sini. Jangan dengar cakap pihak tertentu saja... mari jumpa dengan kami yang menghadapi musibah bekalan air ini yang sudah berlarutan sejak 30 tahun,” jelasnya.

Che Zuhar menambah, selain tangki yang sudah uzur di Felda Purun, beliau diberitahu saluran paip bawah tanah sudah diganti baru tetapi yang menghairankan masalah bekalan air tetap tidak pernah selesai justeru meminta pegawai tinggi Felda turun untuk menyelesaikan masalah penduduk bersama Jabatan Bekalan Air (JBA).

Masalah bekalan air di Felda Gugusan Bera sebelum ini sudah beberapa kali disiarkan dalam televisyen dan akhbar yang membuat tinjauan terhadap masalah tradisi yang dihadapi peneroka itu.

Sementara itu, akhbar Sinar Harian edisi Pahang bertarikh 15 September bertajuk ‘Bengang masalah air berulang’ turut menyiarkan rungutan penduduk sekitar Felda Purun, Mayam dan Kumai yang terpaksa merayakan Aidilfitri baru-baru ini dalam suasana ketiadaan bekalan air paip.

Ganguan bekalan air itu berlaku sejak sebelum raya dan berlarutan beberapa hari sehingga ramai peneroka yang terpaksa merayakan Aidilfitri di luar Felda.

Dalam pada itu Engku Norzaman Engku Mohamed, 41, dari Jengka juga turut bertegas bahawa masalah bekalan air memang berlaku terutama di kawasan bukit di Felda Jengka 8, 9 dan 12 dan pegawai tidak patut menafikannya.

“Bagi saya pegawai tinggi Felda di Kuala Lumpur tidak sepatutnya menafikan masalah utama yang menghantui peneroka ini. Lojiknya memang apabila kaum keluarga peneroka berkumpul tekanan air paip menjadi rendah terutama yang mendiami kawasan bukit.

“Pegawai dari Kuala Lumpur patut turun sendiri dan membuat kajian di mana puncanya supaya tidak ada pihak yang mengelak dengan menuding jari menuduh masalah bekalan air di Felda mahu dimanipulasikan. Ini penting supaya Felda tidak dipandang serong oleh masyarakat umum,” ujarnya.

Selamatkan Pahang akan meninjau dan mendedahkan lebih banyak kawasan Felda di negeri Pahang selepas ini bagi membuktikan wujud masalah bekalan air di kawasan berkenaan.


Gambar:

1. Keratan akhbar Sinar Harian 15 September

2. Keratan akhbar Utusan Malaysia



Jamuan Idul Fitri PAS Sarawak di Saddad Court ,Pertrajaya , Kuching_18 September

Gambar-gambar kiriman:
MAZLAN MOHD YASIN







Tips Memikat Lelaki...

1. Sentiasa tersenyum dan jangan bersikap sombong apabila berinteraksi dengan si dia.

2. Berwatakan menarik (Persenaliti yang mampu mengugat hatinya).

3. Jujur dan sentiasa merendah diri.

4. Lakukan apa yang dia suka dan jangan lakukan apa yang dia tak suka.

5. Mempunyai bentuk badan yang menarik dan melentik (terpulang kepada individu).

6. Mempunyai tingkah laku yang baik dan lemah lembut.

7. Pandai dalam memainkan peranan sebagai seorang wanita ketika berada disamping lelaki yang anda minati.

8. Jangan terlalu mengongkong dan sangat bergantung kepada lelaki. Lelaki juga perlu wanita yang pandai berdikari. Tetapi jika dia sudi menolong apa salahnya. Tetapi jangan memaksa dan selalu sehingga menyusahkan si dia.

9. Ketika berinteraksi dengan mereka jangan lupa gunakan bahasa tubuh yang anda ketahui seperti mata dan tangan.

10. Jaga cara pemakaian anda,seksi atau tidak terpulang kepada lelaki yang anda minati.

11. Sering memberikan kad ucapan buat si dia yang kamu minati sebagai rancangan pertama memikat dirinya.

12. Lelaki sukakan wanita yang suka berterus terang tanpa menyembunyikan sesuatu.

13. Apabila berhadapan dengan lelaki yang kamu minati, renung matanya dan tunjukkan sifat humor kamu. Ini adalah taktik untuk memberitahu si dia bahawa kamu boleh didekati tetapi bukan beerti kamu ini perempuan murahan dan mudah didekati.

14. Jangan bersikap selalu jual mahal apabila berada bersama mereka.

15. Bijak menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.

16. Yang paling penting lelaki suka dimanjai dengan belaian dan kata-kata yang romantik.

17. Jangan sesekali memperbandingkan dia dengan sesiapa sahaja. Lelaki cukup pantang dalam hal ini!

Ramainya orang gila di Malaysia!

Gila yang dimaksudkan ialah skizofrenia. Masalah mental jenis itu di negara ini semakin membimbangkan apabila sekurang-kurangnya 2,000 kes baru skizofrenia dilaporkan di seluruh negara setiap tahun.

Demikian diumumkan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu Bakar. Selain daripada jumlah yang dilaporkan itu, beliau yakin masih ramai lagi pesakit skizofrenia belum dirujuk kepada doktor untuk mendapat rawatan sewajarnya.

Jelas beliau, punca-punca yang menyebabkan seseorang menghidap skizofrenia termasuklah penyakit keturunan, menghadapi kesukaran dan masalah ketika proses melahirkan, pengambilan dadah serta kecederaan otak.

"Bagaimanapun, skizofrenia boleh dirawat dan pesakit akan sembuh sepenuhnya jika mereka menerima rawatan awal," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Hari Kesedaran Skizofrenia 2010 di Kuala Lumpur.

Penyakit skizofrenia merupakan salah satu sakit mental serius yang menyebabkan tingkah laku dan emosi seseorang berubah secara drastik.

Pesakit skizofrenia mempunyai pelbagai gejala seperti halusinasi, delusi, paranoia, emosi keterlaluan dan kemurungan.

Dr. Abdul Kadir juga memberitahu, skizofrenia perlu dirawat secepat mungkin bagi mengurangkan kemungkinan penghidapnya berubah menjadi ganas.

"Pesakit skizofrenia terutamanya dalam kalangan lelaki khususnya di peringkat belia lebih cenderung untuk melakukan keganasan jika tidak mendapatkan rawatan.

"Sementara itu, jika mereka ini turut mengambil dadah terlarang di samping enggan menerima rawatan, maka kecenderungan mereka untuk bersikap ganas ialah 20 kali ganda berbanding pesakit yang menerima rawatan,'' jelasnya.

Beliau turut menasihati orang ramai yang mengesyaki mereka sendiri atau ahli keluarga menghidap masalah mental untuk segera berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan yang sesuai.

"Rawatan berterusan sekurang-kurangnya dua tahun diperlukan untuk memulihkan pesakit ini dan pada masa yang sama, sokongan moral daripada ahli keluarga dan sahabat-handai sangat diperlukan," katanya.


Umno dah mandi hadaskan Kamalanathan?



Lokasi Masjid Sg Tengi Hulu Selangor. Tarikh - bulan Ramadhan

Wednesday, September 22, 2010

Ribut landa 22 kampung

TEMERLOH: Sekurang-kurangnya 52 rumah di 22 kampung di daerah ini rosak teruk akibat dilanda ribut yang berlaku kira-kira jam 6.20 petang, kelmarin.

Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr Sallehuddin Ishak berkata, kebanyakan rumah yang terjejas, rosak pada bahagian bumbung apabila diterbangkan angin dan terdapat laporan mengatakan beberapa rumah dihempap pokok.

Menurutnya, kejadian itu antara yang terburuk pernah berlaku di daerah ini kerana membabitkan kawasan di lima mukim meliputi Sanggang 1, Sanggang 2, Jenderak 1, Jenderak 2 dan Kerdau.

“Kita telah menggerakkan semua agensi dan jabatan terlibat, antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membantu penduduk yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemui semasa melawat mangsa di setiap kampung yang terlibat tengah malam kelmarin, sebaik ribut mula reda.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah, Azran Deraman dan beberapa pegawai serta pembantu wakil-wakil rakyat kawasan terlibat.

Sallehuddin berkata, ribut itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa, namun seorang penduduk Kampung Kerai dilaporkan mengalami cedera ringan.

“Hanya cedera ringan dan mangsa tidak mahu ke klinik,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan JKR bertungkus lumus membersihkan 44 pokok yang tumbang menghalang jalan dari Kampung Bintang hingga ke Kampung Batu Sawar, di sini.

Sinar Harian difahamkan, kerja pembersihan yang dilakukan hanya berakhir kira-kira jam 5 pagi.



Bencana paling buruk pernah berlaku




Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kerai, Nordin Idrus berkata, kejadian ribut itu antara yang terburuk pernah berlaku.

Menurutnya, angin kencang berserta hujan dan petir berlaku dalam tempoh sangat lama.

“Ketika kejadian, saya bersama anak, cucu seramai 18 orang dalam rumah. Kebetulan kami baru selesai mengadakan kenduri arwah menantu yang meninggal Jumaat lepas.

“Anak dan cucu yang pulang beraya dan kenduri masih ada di sini, jadi kami semua berlindung dalam rumah semasa kejadian. Dalam kekalutan, tiba-tiba pokok mempelam di belakang rumah tumbang dan menghempap dapur rumah mengakibatkan banyak barang rosak teruk,” katanya.

Nordin berkata, turut rosak ialah dinding dan bumbung bilik tidurnya yang belum ditaksirkan jumlah kerugian sebenar.

Sementara itu, penduduk Kampung Sanggang Seberang, Hussin Mohamed Amin, 51, berkata, angin kencang bertiup dalam tempoh 20 minit.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang ketika saya sedang berehat bersama keluarga di rumah. Saya nampak atap rumah jiran diterbangkan angin. Saya sempat melaungkan azan dua kali sebelum sekali lagi angin kencang datang dan menerbangkan atap dapur saya.

“Komputer, televisyen dan beberapa barang elektrik rosak kena air hujan. Saya anggarkan kerugian lebih RM5,000,” katanya.

Jirannya, Mat Jasmi Nasir, 58, berkata, kejadian yang berlaku sangat menakutkan dia dan isteri.

Menurutnya, bunyi angin sangat kuat, tambahan pula belakang rumahnya tiada pokok yang menghalang menyebabkan tiupan angin terus mengenai rumahnya.

“Saya baru bina rumah ini kira-kira dua tahun lalu. Angin kuat menerbangkan atap rumah dan garaj kereta saya,” katanya.



Bantuan akan disalur



Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin yang melawat mangsa pagi semalam berkata, beliau akan berbincang dengan beberapa pihak bagi membantu mangsa ribut terbabit.

Menurutnya, semua yang terlibat tidak perlu bimbang kerana Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan kepada mereka berdasarkan nama yang disenaraikan.

“Saya juga nasihatkan mereka supaya menebang pokok-pokok di sekitar rumah yang berisiko tumbang jika berlaku ribut.

“Ini sekurang-kurangnya akan menyelamatkan rumah mereka jika berlaku kejadian seumpama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Daerah, Azran Deraman berkata, seramai empat juruteknik dikerahkan menilai kerosakan yang berlaku di semua kawasan terlibat.


~ Sinar Harian


Cara Memikat Hati Wanita

Kadangkala orang lelaki beranggapan terlalu mudah untuk mendapatkan hati seorang wanita, namun tidak semua. Setiap manusia mempunyai hati dan naluri yang berbeza yang mempengaruhi sikapnya. Di sebalik kelembutan seseorang wamita itu terselit juga keegoaannya yang jarang mereka tonjolkan. Oleh itu kaum adam belajarlah cara untu menambat hati wanita yang anda sayangi.

Perempuan inginkan perhatian dan kasih sayang, terutamanya dari orang yang disayangi. Oleh itu tunjukkan sifat keperihatinan dan kasih sayang yang tiada nilai kepada mereka. Bila mereka rasa terhibur dan bahagia mereka akan menjadi seorang pasangan yang amat setia dan cinta sepenuh hati. Sekiranya kasih sayang yang mutlak telah didambakan kepada orang yang disayanginya, segala pengorbanan akan dilakukan tanpa memberi sebarang nilai-itulah perempuan.

Gunakan sepenuhnya teknologi yang ada di zaman sekarang. Seringlah menelefon atau menghantar e-mail untuk bertanyakan khabar atau paling minima mengucapkan Hai untuk menunjukkan bahawa dia sering di hati kamu. Bagi mereka walaupun satu ungkapan atau satu ayat, ia merupakan sesuatu yang sangat berharga dan begitu bahagia menerimanya.

Berkongsilah masalah dengan mereka, cuba dengar pendapat mereka, sekurang-kurangnya mereka akan berasa yang mereka itu penting dalam diri kamu dan diperlukan.

Jangan kamu ambil remeh-temeh pada perkara yang amat penting bagi mereka. Mereka sangat kuat ingatan terhadap tarikh-tarikh penting, contohnya hari ulang tahun. Apa salahnya buat surprise sekali sekala kepada orang yang kita sayangi. Mereka akan dapat rasakan yang kamu betul-betul menyayanginya.

Perempuan terkenal dengan sifat manjanya. Mereka sering ingin melakukan sesuatu bersama orang yang disayangi. Mereka akan meminta bantuan kamu walaupun mereka mampu melakukannya. Jangan menolak sekiranya kamu tiada halangan ketika itu.Inilah masanya untuk kamu menonjolkan ke macho an kamu!.

Pujuklah mereka dan tenangkan mereka sekiranya mereka dalam kesusahan. Ketika ini mereka benar-benar inginkan kamu di sisi mereka.

Jangan kedekut memberi pujian kepada mereka kerana mereka berhak mendapat pujian.

Berbincanglah kamu selagi kamu boleh berbincang dan berbincanglah bersama-sama dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Jangan kamu menggunakan kuasa veto kamu dalam membuat keputusan. Cuba memahami keinginannya dan kemahuannya. Sesetengah perempuan tidaksuka menyatakan secara terus terang tentang apa yang mereka inginkan, kadang-kadang mereka suka berkias dan memberi contoh cerita orang lain kepada kamu. Jadi kamu kenalah peka dan gunakan kepakaran kamu untuk memenangi hati mereka.

Jangan lupa, mereka juga ada ego yang terselit di celah-celah kelembutan mereka. Apabila mereka terancam atau tercabar..lahirlah sifat amarah, cemburu dan cepat merajuk. Masalah akan timbul bagi mereka yang suka memendam terhadap sesuatu yang mereka tidak puas hati.

Mereka akan meletup pada suatu hari. TETAPI kamu jangan sama-sama meletup. Kamu juga jangan lupa dalam diri kamu wujud satu sifat kepimpinan untuk menyelesaikan masalah yang timbul dalam keadaan yang terkawal .Cari sebab mengapa ia terjadi dan bawa berbincang. Ditahap ini kesabaran, toleransi dan komunikasi amat penting.

Lakukan dalam keadaan ketika mereka sudah sejuk . Mungkin kamu juga boleh cool kan diri kamu dengan berfikir secara positif contohnya mengapa mereka cemburu. Itu kerana mereka SAYANGkan kamu!

` dari emel


Hudud boleh dilaksanakan di Malaysia – Pakar Perlembagaan

Jenayah ngeri seperti pembunuhan kejam serta gejala sosial dewasa ini makin menggerunkan peningkatannya. Justeru ramai yang menganggap ia terjadi kerana undang-undang dan peraturan ciptaan manusia yang ada tidak lagi menggerunkan manusia.

Lantaran, sudah ramai yang sedar bahawa tidak dapat tidak undang-undang sosial manusia pada hari ini mesti dikembalikan kepada hukum yang diturunkan oleh pencipta manusia itu sendiri, iaitu Allah SWT.

Dengan demikian, bolehkah hukum hudud yang terkandung dalam Al-Qur-an, Hadis dan ijmak ulamak dilaksanakan di negara ini yang sejak lama mengamalkan dan mengguna pakai undang-undnag penjajah Inggeris?

Umno dan konco-konconya berhujah bahawa undang-undang yang telah dimaktubkan dalam perlembagaan peninggalan penjajah itu tidak boleh diubah.

Namun begitu bagi pensyarah undang-undang pakar perlembagaan Prof. Dr Abdul Aziz Bari, hudud boleh dilaksanakan tanpa perlu pinda perlembagaan secara besar-besaran, tetapi memadai dengan menggubal sebuah akta dan enakmen.

Ertinya, pelaksanaan undang-undnag Islam itu tidak sesukar mana jika mahu dilaksanakan seperti kata pepatah: ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

"Hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan yang memerintah bersetuju untuk membentangkannya dan menyediakan prasarana yang diperlukan," kata Abdul Aziz.
Beliau yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa berkata, "oleh kerana hudud adalah dasar PAS dan bukan keutamaan Pakatan Rakyat maka apa yang perlu dilakukan ialah menyakinkan rakyat.

"Apabila rakyat faham dan mahu hudud dilaksanakan kerajaan tidak ada pilihan. Di sini saya setuju dengan kenyataan yang pernah disuarakan oleh bekas presiden PAS, almarhum Datuk Fadzil Noor dahulu. Umumnya rakyat perlu faham dan sokong," ujar beliau seperti dilapor Harakah.

Beliau juga turut menjelaskan tentang kenyataan yang disalah erti oleh media kononnya hudud tidak boleh dilaksanakan dengan pendekatan yang klasikal.

Katanya, beliau bercakap dengan media yang tidak boleh memahami hudud; sebenarnya beliau mengatakan bahawa pelaksanaan hudud dalam negara moden seperti Malaysia perlu dibuat dalam konteks perlembagaan dan undang-undang.

"Dan ini telah pun diikuti dalam pelaksanaan hukum Islam yang lain seperti perbankan Islam, undang-undang keluarga Islam dan seterusnya.

"Kita boleh belajar dari pengalaman masyarakat Islam silam tetapi akhirnya apa yang perlu ditangani sekarang inilah yang menentukan. Prinsipnya tetap dan sama tetapi pelaksanaan menuntut kebijaksanaan dan pengubahsuaian," tegas Aziz.

Tuesday, September 21, 2010

Ikan patin: Koperasi perlu geran tahunan

TEMERLOH: Koperasi Penternak Ikan Patin dan Nelayan Sungai Pahang memerlukan geran tahunan daripada kerajaan untuk melepaskan lebih banyak benih ikan ke dalam Sungai Pahang dan Sungai Semantan.

Wakil Khas Parlimen Temerloh, Abu Hanipah Majid berkata, geran tahunan itu diperlukan untuk membiakkan lebih banyak ikan sungai supaya ahli koperasi itu terutamanya nelayan sungai mampu meraih pendapatan kekal. Menurutnya, koperasi itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat kali pelepasan dan pembiakan ikan sungai setahun untuk menambah smula hasil sungai yang semakin berkurangan.

"Geran tahunan ini mampu menstabilkan pendapatan nelayan yang bergantung dengan hasil sungai sebagai punca pendapatan mereka. "Ia berbeza dengan penternak ikan sangkar kerana nelayan sungai bergantung sepenuhnya pada hasil tangkapan ikan sungai berbanding penternak yang sudah tentu mempunyai sumber tetap untuk dijual sebagai pendapatan utama meraka," katanya selepas merasmikan mesyuarat koperasi itu, di sini, baru-baru ini.

Justeru, Abu Hanipah berkata, koperasi itu digesa berhubung lebih rapat dengan Jabatan Perikanan supaya mampu mendapatkan geran tahunan selain menyediakan kertas kerja lebih mantap untuk membantu ahlinya membangunkan kilang makanan ikan. Menurutnya, harga makanan ikan terlalu tinggi menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil dan memerlukan beberapa langkah untuk mengatasi masalah itu segera.

"Sebagai langkah awal koperasi perlu menyediakan kertas kerja untuk dihantar kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia supaya geran membina sebuah kilang memproses makanan ikan dapat diluluskan. "Dengan adanya kilang sendiri, secara automatik dapat membuka peluang kerja kepada ahli selain meningkatkan lebih banyak industri hiliran produk patin dan ikan sungai," katanya.

Memburu landak, mata pegawai Risda yang kena

TEMERLOH: Hasrat Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Fadzillah Mohamad hanya untuk menembak landak, namun tidak semena-mena serpihan peluru penabur tembakan tersebut telah mengenai mata kanan seorang petugas Risda.

Kejadian malang itu telah berlaku pada jam 5.10 petang Sabtu lepas itu, ketika pegawai polis itu berburu di hutan Kemasul, Lanchang Sabtu lepas.

Akibatnya, mata kanan Abdul Ghani rosak. Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Rosnah Ismail.

Dr Rosnah berkata, serpihan peluru turut terdapat di bahagian leher mangsa.

Serpihan peluru itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat dengan bantuan beberapa pakar termasuk pakar pergigian, katanya.

Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan melawat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.





Monday, September 20, 2010

PKR Temerloh: Nizam, Man Kadir, Bob menang

TEMERLOH: Ketua Cabang Temerloh Ahmad Nizam Hamid mengekalkan jawatannya apabila mengalahkan pencabarnya Mohd Saim, dalam pertandingan satu lawan satu, semalam.

Dalam pertandingan itu, muka baru Abdul Kadir Abdul Manap atau Man Kadir berjaya menguasai kerusi timbalan. Sementara aktivis Raja Burhan Raja Jaafar diumumkan sebagai Naib.

Pemilihan diadakan di Sekolah Agama Al-Mukmin dan berlangsung lancar.

Nizam ialah calon PKR bagi Parlimen Temerloh pada PRU 2008, sementara Saim merupakan calon Dun Lanchang menentang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin. Man Kadir pula ialah bekas Setiausaha PKR Kuala Krau di bawah Haji Suhaimi Said, dan baru berpindah ke Cabang Temerloh.

Sementara itu, semua kerusi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dikatakan dikuasai oleh ‘orang Saim’.

“Tetapi itu baik bagi check anda balance dalam parti,” kata Shukor Mahmud.

Nizam pula ketika diminta komen, hanya berkata beliau tidak berkempen pada pemilihan ini dan sekadar mempertaruhkan reputasi nama dan gerak kerjanya sebelum ini.


Timbalan menteri hadir rumah terbuka PAS Pahang

Kemeriahan sambutan Aidilfitri anjuran PAS Pahang bersama Adun Kuala Semantan dan Kawasan Temerloh berjaya menarik kira-kira 2,000 pengunjung bermula jam 11 pagi hingga 2 petang.

Lebih menarik, majlis jamuan tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Temerloh yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Majlis yang dipengerusikan Ketua DPP Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak, itu dimulakan dengan ucapan Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad, YDP PAS Temerloh Ustaz Abdul Rahim Latif dan kemuncaknya oleh Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Selain pengunjung dijamu dengan makanan enak seperti lemang, nasi himpit, mi, nasi minyak dan lain-lain, kanak-kanak pula dihiburkan dengan pemberian duit raya dan ais krim percuma.

Antara tetamu kehormat lain yang turut hadir ialah Timbalan PJ Ustaz Yusof Embong, Setiausaha BPPNP Roslan Zainal, Bendahari BPPNP Musaniff Abdul Rahman, Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim, Ketua Pemuda Ustaz Suhaimi Saad, Ketua Cabang PKR Temerloh, Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Balasubramaniam, Ketua Pemuda DHPP Pahang Balasurendran, serta pimpinan.

Kelihatan Saifuddin (duduk, kanan) sedang tertawa mendengar cerita Syed Hamid

Peneroka tuntut janji Felda

SELENDANG: Seramai 132 peneroka Felda Selendang 2, merayu kepada kerajaan dan Felda supaya menyerahkan segera geran hak milik tanah kepada peneroka yang menjelaskan hutang Bayaran Kembali (BK).

Peneroka mendakwa, Felda sebagai agensi bertanggungjawab perlu mengeluarkan geran itu kepada peneroka yang menyelesaikan BK sejak beberapa tahun lalu.

Geran tanah itu penting sebagai jaminan pada masa depan terutama kepada mereka yang bersama Felda sejak 22 tahun lalu.

Mereka bimbang sekiranya geran itu tidak diserahkan, taraf atau keistimewaan mereka sebagai peneroka boleh dilucutkan serta-merta.

Justeru, peneroka berharap geran tanah itu diberikan segera supaya tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari memandangkan mereka sudah selesa tinggal di tanah rancangan itu.



BK selesai penduduk tuntut rumah



Seorang peneroka, Absah Daud, 56, berkata, kebanyakan penduduk di Felda Selendang 2 sudah menyelesaikan hutang pembangunan tanah masing-masing.

Bagaimanapun katanya, terdapat penduduk yang belum menyelesaikan hutang mereka kepada Felda, namun diharapkan supaya Felda memberi pertimbangan kepada penduduk yang sudah menjelaskan BK.

“Kebanyakan penduduk sudah menjelaskan BK kepada Felda dan kami merayu kepada kerajaan dan Felda supaya dapat menyegerakan pemberian tanah kepada kami.

“Kami amat khuatir dan bimbang mengenai nasib kami pada masa depan dan berharap dapat menikmati geran tanah ini sebelum kami menutup mata (meninggal dunia),” katanya kepada Sinar Harian.

Absah berkata, peneroka di Felda itu sering ditabur dengan janji-janji manis yang mendakwa Felda akan menyerahkan hak milik geran tidak lama lagi seperti yang dinikmati Felda Selendang 1.

“Saya tidak nampak usaha ini akan menunjukkan sebarang hasil dalam masa terdekat,” katanya.



Tanah diukur tetapi tiada serahan



Seorang lagi peneroka, Ahmad Syukri Abdul Wahid, 47, berkata, mereka juga dimaklumkan tanah sawit dan kawasan rumah peneroka di Selendang 2 sudah diukur pihak bertanggungjawab.

Bagaimanapun katanya, geran tanah sehingga ke hari ini belum menunjukkan tanda-tanda akan diserahkan kepada peneroka dalam masa terdekat.

“Kami bimbang dengan situasi ini kerana apa yang penting adalah untuk memiliki hak milik kekal tanah supaya nasib kami terjamin pada masa depan,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Othman Dolah, 47, berkata, peneroka di situ menanam semula sawit bersama Felda atau menanam secara bersendirian.

“Kebanyakan peneroka memasuki fasa menanam semula sawit, ada di antara mereka memilih untuk bersama Felda dan ada juga yang menanam sendiri sawit.

“Sehingga kini, peneroka yang melunaskan hutang mereka masih tertunggu-tunggu penyerahan hak milik itu dilakukan Felda,” katanya.



Bimbang masa depan generasi kedua



Seorang peneroka, Mohd Khir Idris, 53, berkata, pengeluaran hak milik tanah kepada peserta tanah rancangan itu adalah penting memandangkan kebanyakan peserta uzur malah sebahagiannya meninggal dunia.

Tanah rancangan itu memasuki peringkat penanaman semula dan perlu mendapatkan geran hak milik untuk menerima kemudahan,” katanya.

Menurutnya, Felda perlu membuat pertimbangan sewajarnya untuk memberi geran hak milik tanah kepada mereka yang sudah menjelaskan BK dan tidak menyerahkan geran kepada yang belum melunaskan hutang.

“Jika tidak, ia tidak adil kepada kami yang bermati-matian melangsaikan hutang, sedangkan orang yang tidak menjelaskan hutang Felda juga mendapat faedah yang sama,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Ramli Hasan, 63, berkata, apa yang dibimbangkan bukan sahaja masa depan mereka, malahan nasib anak-anak peneroka di Felda Selendang itu yang masih tidak mempunyai rumah.

Menurutnya, perumahan generasi kedua Felda perlu dibina di kawasan itu untuk menjamin masa depan anak-anak peneroka terutama mereka yang sudah berkahwin.

“Kami amat berharap Felda dapat membina perumahan generasi kedua di kawasan ini supaya nasib anak-anak peneroka terus diberi perhatian serius,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Felda Selendang 1 dan 2, Zainal Abidin Abdul Hamid berkata, masalah itu masih dalam penelitian dan tindakan pihaknya memandangkan sesetengah peneroka masih belum menyelesaikan BK.

“Kita hanya akan proses apabila semua peneroka menjelaskan BK dan sekiranya ada peneroka yang belum menyelesaikannya, ia tentu menyukarkan peneroka untuk mendapatkan geran tanah secepat mungkin,” katanya.

Sunday, September 19, 2010

Kes pembunuhan Sosilawati: ” ‘Polis juga bersalah’ - Nizam

TEMERLOH: Peguam Ahmad Nizam Hamid menganggap, pihak polis juga bersalah dalam kes pembunuhan jutawan kosmatik Datuk Sosilawati Lawiya kerana dikatakan sudah banyak aduan salah laku dibuat terhadap suspek iaitu peguam dua beradik, namun tidak ada tindakan diambil terhadap mereka.

Justeru kenyataan Pekida yang mahukan Majlis Peguam disiasat oleh Suruhanjaya Di-Raja, tidak relevan.

“Sudah puluhan aduan dibuat oleh pelanggan, mangsa tipu atau yang tidak senang dilaporkan kepada polis, namun keliahatan tidak ada tindakan yang diambil terhadap suspek.

“Malah suspek boleh terus berurusniaga dengan selesa, sehinggalah meletup cerita pembunuhan Sosilawati. Jadi ini sudah tentu menimbulkan banyak keraguan,” katanya.

Sosilawati, 47, yang juga pengasas empayar produk kecantikan, Nouvelle Visages, dibunuh kejam bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammed, 38.

Mereka diikat, dipukul dan ditikam berkali-kali hingga mati sebelum mayat dibakar dan abunya dibuang ke sungai di Tanjung Sepat, Morib pada 30 Ogos lalu.





Saturday, September 18, 2010

Batu Satu Banjir

TEMERLOH: Hujan lebat yang turun berterusan beberapa jam malam kelmarin menimbulkan kejutan besar kepada penduduk Kampung Batu Satu, Jalan Mentakab di sini disebabkan banjir sehingga menenggelamkan lima buah rumah dan dua buah kedai.

Menurut penduduk, banjir tersebut tidak sepatutnya berlaku, tetapi disebabkan kesilapan projek kerajaan yang dilaksanakan tidak menepati piawaian sehingga membuatkan kalbat yang menyalurkan air sebelah bukit ke arah paya, tersumbat.

Akibatnya, banjir tersebut menyebabkan kerugian kepada penduduk.

Menurut penduduk, Mohd Yusof Sidek, 48, kalbat yang dibina sejak 60 tahun dulu itu telah menjadi lebih rendah daripada saluran keluar (outlet) akibat projek naik taraf Jalan Temerloh-Mentakab beberapa tahun lalu.

“Kalbat ini dipasang masa zaman British lagi... masa naik taraf jalan dulu kalbat tidak diganti, itu menyebabkan dia tersumbat kerana air tak lalu.

“Projek pembinan bangunan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Temerloh yang berhampiran juga menambahkan lagi masalah kerana batu, pasir, kayu dan bahan binaan kesemuanya berkumpul dan tersumbat dalam kalbat,” katanya.

Beberapa pihak daripada MPT, kontraktor, JKR dan Bomba turut bertungkus lumus mengepam air.

Sementara itu, ramai juga penduduk yang kecewa dengan sikap Exco Kerajaan Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin yang seolah-olah mahu berlepas tangan apabila dihubungi dan diajukan perkara berkenaan kepada beliau.

“Saya hubungi Sharkar beritahu masalah dan minta dia datang tengok... tapi dia jawap dah maklumkan kepada Yang Di-Pertua Majlis. Itu saja...”







Tidak ada pertandingan AJK DHPP peringkat negeri – Balasubramaniam

JENGKA: Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)Pusat N. Balasubramaniam meminta ahli jawatankuasa (AJK) Dewan tersebut di peringkat negeri-negeri dikekalkan tanpa sebarang pertandingan.

Beliau membuat gesaan tersebut berikutan mendapat aduan terdapat pertandingan memilih AJK Dewan di negeri-negeri, sedangkan Presiden PAS sudah mengarahkan tidak ada pertandingan sehingga musim pemilihan pada tahun hadapan.

“AJK Dewan di peringkat Pusat sudah ditubuhkan dan Presiden arahkan pada tahun pertama ini tidak ada pertandingan dan AJK yang ada dikekalkan sehingga musim pemilihan.

“Saya dapat aduan dan saya mahu semua pihak menghormati arahan Presiden,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka & Himpunan Anak-Anak Perantauan anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) di simpang Jengka 15 dekat sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Bala berkata DHPP akan menghantar memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat dalam masa terdekat ini bagi membantah hasrat sebuah gereja di negara itu yang mahu membakar Al-Qur-an.

“Walaupun pihak berkenaan menangguhkan hasrat membakar kitab suci umat Islam itu, tapi kami akan tetap menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Amerika supaya ia tidak berlaku pada masa akan datang.

“Sebab pada kami ia satu perbuatan melampau dan biadab. Mungkin mereka ada alasan tapi yang salah bukan agama tetapi manusia. Jadi DHPP mengecam tindakan tersebut dan kami mahu semua pihak menghormati agama.

“Kami yang bukan Islam pun boleh sokong parti Islam. Saya yang beragama Hindu membantah orang Kristian mahu berlaku biadab terhadap Islam kerana ia akan mengakibatkan akan lebih banyak berlaku keganasan seluruh dunia,” katanya.

Bala berkata, sepatutnya Amerika sebagai sebuah negara maju di dunia sudah boleh melihat isu perdamaian dan keharmonian manusia di dunia, bukannya mengapi-apikan lagi isu perkauman dan perbezaan agama.







Thursday, September 16, 2010

Helikopter Milik Bomba Terhempas Di Lanchang

Sebuah helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat terhempas di kawasan ladang sawit, Felcra Kampung Kuala Kaung, dekat Lanchang Pahang kira-kira 9.30 pagi tadi.

Nasib empat anggota bomba dalam helikopter berkenaan masih belum diketahui, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood.

BERITA SELANJUTNYA AKAN MENYUSUL

-- BERNAMA

'Jamuan raya akan datang di kediaman MB Pahang' - Suhaimi

JENGKA: Ketua Pemuda PAS Pahang Suhaimi Md. Saad berkata Pakatan Rakyat (PR) mempunyai harapan yang cerah di Pahang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berikutan petunjuk sokongan golongan muda pada PRU lalu.

Ini membuktikan, gabungan tersebut boleh menguasai negeri ini pada masa akan datang sebagaimana.

“Saya bagi contoh di Kawasan lebih 90 peratus Melayu di Dun Jengka yang ditandingi Datuk Tuan Ibrahim ini, dalam PRU lalu daripada 13 saluran 3 dan 4, PAS menang 9. Ini membuktikan masa depan PR cerah di Pahang.

“Kemudian kita yakin undi orang-orang Cina dan India masih menyebelahi kita. Ini tidak dapat dibendung kerana perkembangan politik baru selepas PRU 12,” katanya ketika berucap di majlis Rumah Terbuka & Himpunan Anak-Anak Perantauan anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) di simpang Jengka 15 dekat sini, baru-baru ini.

Suhaimi dalam ucapannya juag turut berseloroh bahawa pada masa depan sambutan raya akan diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Pahang.

“Tahun ini kita menyambut majlis dalam cuaca yang agak panas, insyaAllah pada masa akan datang sambutan majlis seperti ini kan diadakan dikediaman MB Pahang. Dengan syarat anak Jengka di Perantauan mendaftar sebagai pemilih di Jengka dan jangan hanya pulang pada hari raya, tetapi juga pada hari plihan raya,” katanya.

Pada PRU lepas Tuan Ibrahim hanya tewas 500 undi sedangkan anak Jengka yang berada di luar melebihi 2,000 dan sebahagian besarnya tidka pulang mengundi.


Wednesday, September 15, 2010

Generasi kedua Felda perlu diiktiraf, diberi hak

Antara matlamat Felda ditubuhkan 50 tahun lalu ialah untuk membela nasib orang-orang Melayu yang tidak bertanah ketika itu, menangani masalah kemiskinan dan pengangguran serta meningkatkan taraf hidup penduduk Melayu luar bandar. Dalam masa yang sama tenaga kerja yang ada dapat meneroka dan memajukan tanah perladangan.

Namun mengapa pemimpin tertinggi tidak dapat memikirkan perancangan, hala tuju dan masa depan generasi anak-anak peneroka selepas itu? Adakah perkara ini terlepas pandang atau pemikiran pimpinan tidak pernah melewati hingga ke situ. Kenapa pengurusan tertinggi Felda hanya memikirkan keuntungan sahaja tanpa kebajikan zuriat peneroka yang telah bertungkus lumus menjayakan sektor pertanian.

Dengan lain-lain perkataan, setelah 50 tahun, Felda gagal melihat nasib generasi selepas peneroka 50 tahun akan datang di tanah-tanah rancangan.

Berdasarkan jumlah peneroka seramai 112,635 orang seluruh negara, kini dianggarkan terdapat lebih 800,000 generasi kedua dan ketiga Felda. Hasil kajian yang dibuat hanya 5 peratus daripada jumlah tersebut yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke institut pengajian tinggi. Selebihnya merupakan golongan yang terpaksa bekerja kilang, bekerja sendiri dan yang lebih malang menjadi penganggur atau penyumbang gejala sosial di tanah-tanah rancangan.

Semua ini terjadi kerana kelemahan dan tidak adanya perancangan teliti dari pihak berkuasa dalam menggariskan hala tuju anak cucu peneroka sebagaimana generasi pertama yang telah diperas tenaga dan keringatnya untuk membangunkan hutan belantara menjadi tanah ladang yang menyumbang hasil kepada negara.

Generasi kedua tidak diiktiraf dan diberi hak sepenuhnya mewakili ibu bapa

Tidak dapat tidak generasi kedua akan mewarisi tanah rancangan Felda daripada ibu bapa mereka. Namun sehingga kini status generasi kedua itu sendiri tidak jelas. Sehinggakan bila mereka berjumpa pihak pengurusan Felda, mereka akan ditanya “awak siapa? Begitu juga bila mesyuarat koperasi, anak-anak peneroka boleh dihalau. Ini membuktikan betapa anak-anak peneroka tidak diiktiraf setakat ini.

Mereka sepatutnya perlu diberi hak sepenuhnya untuk mewakili ibu bapa mereka di dalam apa juga perbincangan membabitkan masa depan peneroka. Dalam keadaan kebanyakan peneroka tergolong dalam warga emas, sepatutnya generasi kedua ini diberi pengiktirafan sewajarnya untuk menggantikan ibu bapa dalam apa juga perkara membabitkan perancangan dan masa depan Felda atau agensi-agensinya.

Bagi tujuan itu sudah tentu beberapa peruntukan dalam undang-undang tubuh Felda, koperasi Felda dan sebagainya yang sudah ketinggalan perlu dipinda bagi disesuaikan dengan keadaan semasa serta memberi ruang kepada generasi kedua memainkan peranan proaktif.

Pada masa ini kewujudan generasi kedua seolah-olah tidak mendapat pengiktirafan dari segi undang-undang untuk terlibat sama dalam badan-badan berkaitan kerana mereka bukan peneroka. Kedudukan mereka hanya sebagai anak kepada peneroka dan tidak diberikan apa-apa hak.

Generasi kedua terabai

i) Lot-lot kosong itu tidak serahkan kepada generasi kedua


Terdapat terlalu banyak bukti pihak Felda tidak berhasrat atau tidak serius membantu generasi kedua, zuriat daripada peneroka yang telah banyak menabur bakti untuk kekayaan negara. Contohnya seperti dalam soal tanah, rumah dan kerjaya mereka.

Berdasarkan hansard Parlimen, terdapat 1,427 lot-lot kosong dan seluas
353,245 hektar tanah ladang Felda tanpa peneroka. Pada masa ini lot-lot kosong dan tanah ladang itu diserahkan kepada Felda Plantation. Kenapa lot-lot kosong itu tidak serahkan kepada generasi kedua yang berkemampuan untuk diusahakan? Sedangkan memang terdapat ramai generasi kedua yang sudah sedia membanting tulang mengerjakan tanah ladang bapa mereka atau mengambil upah di ladang orang.

Ini membuktikan pihak berkuasa tidak berminat untuk membela nasib dan masa depan generasi kedua dan ketiga Felda. Seolah-olah matlamat asal Felda ditubuhkan dahulu hanya terhenti setakat generasi pertama sahaja. Lot-lot kosong di tanah-tanah rancangan dan Felda Plantation sudah selayaknya diisi dengan anak peneroka. Bayangkan terdapat ramai generasi kedua yang bekerja di ladang Felda Plantation sebagai kuli, iaitu setaraf dengan pekerja asing yang diimport. Sedangkan mereka mungkin boleh berjaya dan betul-betul mengusahakan kerja-kerja ladang jika diberi peluang.

ii) Tiada kemudahan pinjaman perumahan

Selain itu demi kebajikan sosial, pihak Felda juga sepatutnya perlu menyediakan tapak perumahan bagi generasi kedua dengan mempermudahkan prosedur pinjaman, harga yang munasabah dan mampu dimiliki.

Menurut laporan, pihak pengurusan Felda meraih keuntungan melebihi RM2 bilion setahun. Tapi kenapa yang kaya itu Felda dan yang miskin itu peneroka. Kenapa tidak dilaburkan sedikit untuk kebajikan 800,000 generasi kedua di tanah rancangan Felda seluruh negara. Bayangkan pinjaman untuk anak peneroka membuat rumah di tanah sendiri berjumalah RM40 ke RM50 ribu dan dikenakan pula faedah sebanyak 6.5 peratus. Kadar yang melebihi bank-bank konvensyenal kenakan itu sudah pasti mahal dan sama sekali tidak sepadan dengan bakti yang ditaburkan peneroka selama ini.

Kenapa tidak diwujudkan dana memudahkan generasi kedua membuat pinjaman perumahan. Dengan cara ini yang tinggal di tanah rancangan boleh memiliki rumah sendiri tanpa perlu menumpang di rumah ibu bapa. Sekarang ini kebanyakan generasi kedua masih tinggal dengan ibu bapa walaupun sudah berkeluarga. Di Lurah Bilut umpamanya, tanah rancangan Felda terawal di negara ini, ada tinggal tiga generasi dalam satu bumbung! Terdapat anak-anak peneroka yang terpaksa hidup berhimpit-himpit di atas tanah ‘sekangkang kera’ itu.

Masalah penempatan semula generasi kedua Felda perlu ditangani secara bijaksana. Difahamkan ada di kalangan anak-anak peneroka yang tidak berjaya dalam pendidikan terpaksa menumpang tanah ibu bapa mereka dengan membina rumah bersebelahan rumah ibu bapa mereka.

Dengan aset dan kekayaan yang ada, Felda sepatutnya tidak mengabaikan kebajikan generasi kedua peneroka.


iii) Felda sepatutnya banyak membantu generasi kedua dalam perniagaan latihan kemahiran


Kini sudah ramai di kalangan generasi kedua yang mampu bersaing dalam bidang perniagaan. Felda bertindak proaktif membantu generasi kedua yang berniaga sepertinya. Sepatutnya Felda memberi bantuan kewangan secukupnya untuk peniaga-peniaga seperti kami di sini. Ini agensi lain yang banyak membantu seperti Mara dan bank.Walhal tempat kami terletak di laluan utama Temerloh – Jengka, tidak jauh dari LPT dan seratus peratus Melayu. Akhirnya di sini kemajuan terjadi dengan sendirinya, tanpa bantuan Felda.

Saya percaya jika Felda berusaha membantu atau menyediakan perniagaan generasi kedua, kawasan ini pasti lebih cepat maju. Dengan demikian sudah tentu lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan dapat diwujudkan di tanah rancangan Felda. Pihak Felda memperbanyakkan pusat-pusat latihan kemahiran dan vokesyenal serta kursus-kursus profesional dalam pentadbiran perniagaan bagi anak-anak peneroka untuk membolehkan mereka bekerja dengan pendapatan yang baik. Memang ketika ini terdapat beberapa pusat latihan pelbagai bidang seperti di Trolak, Sungai tekam, pasir Basar dan Bukit Mendi. Namun jumlah anak peneroka yang menjangkau satu juta tidak mampu lagi menampung mereka. Anak-anak peneroka yang ada di tanah rancangan hanya dijadikan pekerja atau buruh sahaja di ladang-ladang yang diusahakan oleh Felda Plantations.

Graduan generasi kedua kurang diberi peluang

Felda gagal berbuat sesuatu dengan generasi kedua yang lulus universiti, seperti menyediakan peluang pekerjaan dan saluran untuk menyumbang idea. Tidak dapat dinafikan ramai generasi kedua Felda yang telah berjaya dalam lapangan pelajaran dan kerjaya, namun apa yang menyedihkan tidak ramai yang berbakti di Felda.

Sebenarnya ramai juga generasi kedua yang cemerlang dalam akademik tapi belum memiliki pekerjaan. Kenapa tidak dimanfaatkan mereka. Saya bagi contoh sekarang ini zaman biotek dan banyak lagi benda-benda baru yang sepatutnya diteroka. Felda ada tanah dan modal, kenapa peluang ini tidak diberi? Ini lebih baik daripada dibiarkan graduan ini dibiarkan merantau dan bekerja di tempat lain.

Golongan yang memiliki pencapaian rendah dalam pendidikan formal juga perlu dibantu supaya mereka menjadi produktif dari segi ekonomi. Jika tidak, mereka akan menghabiskan masa dengan perbuatan tidak berfaedah yang akhirnya menjurus kepada keruntuhan akhlak.

Bersarangnya semua penyakit masyarakat di Felda seperti lepak penyalahgunaan dadah, samseng, berjudi, rogol, rempit dan sebagainyanya kebanyakannya disebabkan generasi kedua yang tinggal itu sendiri ialah mereka yang gagal dalam pendidikan. Sedangkan generasi kedua yang berkualiti bekerja di luar tanah rancangan.

Sebab itu dasar pembangunan Felda sebenarnya dalam keadaan tidak seimbang kerana terlalu berorientasikan bisnes sehingga mengabaikan perhatian terhadap nilai-nilai kemanusiaan. Saya melihat peruntukan yang dibelanjakan Felda untuk belia melalui persatuan banyak dihabiskan untuk hiburan. Kalau tahun 80-an dulu banyak juga program-program agama. Satu lagi, dulu ada Penyelia Agama Felda (SDAU) yang sedikit sebanyak dapat juga merancang program-program bercorak keagamaan. Saya difahamkan khidmat mereka dihentikan sejak 1990-an. Jadi ini antara yang menyumbang kepada gejala sosial di Felda.

Penyelesaian masalah sosial di tanah rancangan Felda perlu kerjasama
masyarakat peneroka, pemimpin setempat, agensi kerajaan dan pertubuhan
sukarela. gejala sosial di kalangan belia dan lelaki dewasa di tanah rancangan itu mewujudkan pelbagai masalah seperti lepak, penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah, berjudi, rogol dan sumbang mahram. Semua pihak perlu meneliti realiti gaya hidup, aspirasi dan budaya yang menjadi anutan golongan bermasalah di tanah rancangan Felda. Kita mencadangkan Program Pembinaan Sahsiah untuk mengembalikan belia kepada identiti yang meyakinkan, memiliki kekuatan intelek, cergas dan tidak mudah dikuasai emosi serta nafsu.

Golongan yang memiliki pencapaian yang rendah melalui sistem pendidikan
formal perlu dibantu supaya mereka menjadi produktif dari segi ekonomi.
"Jika tidak, mereka akan menghabiskan masa dengan perbuatan tidak
berfaedah yang akhirnya menjurus kepada keruntuhan akhlak. Sehubungan itu, beliau berkata, lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan perlu diwujudkan di tanah rancangan Felda seluruh negara.

Strategi itu boleh dicapai antaranya melalui pembukaan pusat komersial yang berkembang sebagai pekan bersaiz sederhana. Salah satu cara menangani masalah sosial di Felda ialah dengan menyemarakkan semangat kesukarelawan dalam diri, keluarga, dan masyarakat sekeliling. Secara tidak langsung,
kegiatan sebegini mampu menyemai konsep masyarakat penyayang sekali gus
membanteras gejala sosial di kalangan peneroka dan generasi kedua,"
katanya.

Peratusan kecil generasi kedua berkhidmat dalam agensi Felda

Pada masa ini kurang daripada 10 peratus sahaja kakitangan eksekutif yang berkhidmat dengan Felda dan kumpulannya terdiri daripada anak-anak peneroka. Peratusan ini kecil dan ini tidak seharusnya berlaku.

Peranan yang diberikan kepada anak-anak peneroka tidaklah sebanding dengan jumlah keseluruhan kakitangan Kumpulan Felda yang berjumlah hampir 30 ribu orang. Kebanyakannya pula hanya diberikan peranan dalam tugas-tugas perkeranian dan penyeliaan dan juga buruh. Jumlah itu sepatutnya ditingkatkan kepada 30 peratus dan mencapai 80% dalam tempoh 10-20 tahun akan datang.

Sedikitnya bilangan anak-anak peneroka yang menjawat jawatan yang boleh menentukan dasar Felda menyebabkan banyak berlaku penyelewengan terhadap syarikat-syarikat Felda dan akhirnya merugikan dan juga membebankan peneroka sendiri.

Anak-anak peneroka wajar diberikan peluang menentukan dasar dalam syarikat-syarikat Kumpulan Felda agar pelaksanaannya akan memberikan manfaat dan menepati aspirasi kedua orang tua dan menurut cita rasa anak Felda itu sendiri. Anak-anak peneroka ini lebih memahami masalah peneroka berbanding orang luar kerana mereka dilahirkan, bersekolah dan dibesarkan dalam Felda sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti tempatan atau luar negara.

Setelah 50 tahun sebahagian generasi kedua sudah jauh ke hadapan. Sudah sampai masanya jawatan-jawatan penting seperti Pengerusi Kumpulan dan Pengarah Besar Felda diserahkan kepada anak peneroka. Sebetulnya sudah ada calon yang lengkap dari semua segi seperti pendidikan, pengalaman dan personaliti beramanah. Ini sebagai satu pengiktirafan kepada entiti peneroka yang banyak berbakti kepada negara. Lagi pun hanya di kalangan peneroka sendiri yang punyai roh untuk selesaikan pelbagai isu dan masalah yang lama tertangguh antara Felda dengan peneroka.


~ Dipetik dari buku Mazlan Aliman