Monday, January 14, 2019

Maran Bandar Purba, pusat ayam kampung dan lain-lain

Apabila dipilih sahaja sebagai Adun Luit pada PRU 14, YB Mohd Sofian Abdul Jalil merasa tidak kekok lagi kerana mewarisi legasi keluarganya yang diangkat sebagai wakil rakyat di situ yang dulunya dikenali sebagai Dun Bandar Maran.

Almarhum ayahandanya YB Cikgu Abdul Jalil Mohd Seh menjadi wakil rakyat selama sepenggal dan kemudiannya disambung oleh kekanda beliau Datuk Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil (kedua-duanya dari Umno BN) selama tiga penggal (1999 – 2013).


“Ketika dua ahli keluarga saya berkhidmat sebagai wakil rakyat, saya rapat dan membantu yang sikit sebanyak mengajar saya menyebabkan sudah biasa bergaul bersama rakyat dan mengenali masyarakat. Saya dah pernah menjadi pemandu YB. Akhirnya saya sendiri mengambil tempat mereka, cuma melalui wadah yang berlainan (PAS),” katanya ketika ditemuramah Tvmakmur baru-baru ini.

Dun Luit meliputi dua bandar iaitu Maran yang merupakan pejabat pentadbiran dan Sri Jaya yang dikenali sebagai pekan Cina, dua tanah rancangan Felda Bukit Tajau dan New Zealand serta kampung-kampung tradisional.

Bercakap mengenai ucapannya dalam sidang dewan undangan negeri mewakili kawasannya baru-baru ini, beliau telah membawakan tiga isu khas iaitu keperluan sebuah hospital, bangunan yang terbiar di tengah bandar dan peruntukan untuk asrama sekolah yang terbakar.

“Bandar Maran ini amat memerlukan sebuah hospital kerana kita lihat jika berlaku sesuatu kes penduduk di sini terpaksa mendapatkan rawatan  sama ada di hospital Temerloh atau Kuantan. Ini memakan masa sehingga satu jam. Kemudahan pusat kesihatan di bandar Maran inipun sekarang terpaksa menampung permintaan yang sangat tinggi melebihi kapasitinya.

“Jadi, itu saya katakan amat perlukan sebuah hospital. Lagipun polisi Kerajaan Negeri Pahang satu daerah sebuah hospital. Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Mutalib sendiri telah beberapa kali bawa ke parlimen kepentingan hospital di Maran ini dan dua tapak telah dicadangkan oleh beliau dan saya difahamkan pembinaannya sudahpun dimasukkan ke dalam bajet. Tetapi sehingga kini belum terdengar bila mahu dimulakan, ” ujarnya.

Satu lagi permasalahan yang disebutnya di dalam dewan ialah digelarnya ‘Maran Bandar Purba’. Maksudnya, terdapat bangunan yang sudah naik pembinaannya sejak tahun 1974 tetapi terbengkalai.

Katanya, gugusan bangunan yang hanya terletak di belakang pejabatnya itu, sudah dirimbuni belukar sehinggakan beliau sendiri tidak berani masuk ke situ.

“Saya sebut dalam dewan dan dah dibangkitkan hal ini dua kali iaitu bulan Julai dan November, supaya dilihat kembali. Saya juga cadangkan Jika hospital tiada tapak, bolehlah bangunkan hospital di situ tak kira sama ada hospital kerajaan atau swasta.

“Perkara lain ialah mengenai asrama pelajar Sekolah Menengah Agama Maran yang ditimpa  kebakaran pada tahun 2013 dan telah dijanjikan oleh mantan Menteri Besar (MB) bantuan sebanyak RM4.2 juta. Isu ini dah dapat perhatian serius daripada MB baru. Kita harap kali ini asrama itu dapat dibangunkan. Kasihan kepada anak-anak yang dengan menumpangnya, sempitnya... keadaan sekolah teruk.”  

Bercakap mengenai bandar Maran, Sofian berkata yang menariknya lokasi Maran bukan sahaja berada di tengah-tengah negeri Pahang, malah berada di tengah-tengah segi tiga Sabah – Aceh – Singapura. Ini menjadikannya satu lokasi strategik untuk dibangunkan. Cuma selepas siapnya lebuh raya Pantai Timur keadaannya agak suramlepas pembinaan lebuh raya LPT tak nampak sangat.

Isu-isu lain, isu perjudian, anak-anak muda yang berkeliaran kita bangkitkan dalam dewan dan kita harap dapat perhebatkan elemen-elemen keislaman  bagi membendung gejala sosial.

Sofian melihat bandar Maran berpotensi menarik pelancong kerana jauh daripada kesibukan bandar-bandar besar dan kaya dengan alam semula jadi. Air Terjun Teladas yang memiliki tujuh tingkat itu umpamanya, ada kemudahan rekreasi dan perkelahan keluarga.

“Kita mohon juga kepada Majlis Daerah Maran supaya ambil perhatian jika ada tempat-tempat yang rosak di situ.”

Maran juga, katanya, sesuai dijadikan tempat untuk pusat pengeluaran produk sebab berdekatan dengan pelabuhan Kuantan di pantai timur dan pelabuhan Kelang di pantai barat. Juga sesuai untuk dibina pusat pendidikan yang sesuai kerana alam semula jadi.

“Dulu di Maran ini ada usaha untuk dimajukan industri ayam kampung tapi usaha itu tidak ke mana. Dulu pasal ada masalah bekalan sebenarnya. Saya tengok RnR Maran di LPT agak lengang. Mengapa tidak dijadikan pusat ayam kampung di situ. Buatkan pemusatan makan ayam kampung, beli ayam kampung, termasuk pusat kajian ayam kampung dan sebagainya. Maknanya sepanjang perjalanan dari pantai barat ke pantai timur jika orang teringin makan ayam kampung, mereka boleh singgah di Maran. Ini boleh memberi sumber rezeki kepada penduduk. Saya nampak idea ini boleh diketengahkan. Begitu juga dengan kemewahan ikan air tawar dari Lubuk Paku

“Di Dun Luit ini juga saya tengok ada nilai-nilai seni muzik tradisi yang boleh diangkat dan disemarakkan semula iaitu dipanggil Gendang Senggora. Pada masa ini ia dimainkan di majlis-majlis perkahwinan, bersilat dan majlis perasmian. Sekarang dah mula menarik minat ramai. Cita-cita saya untuk mengangkat kumpulan gendang agar dapat juga memberi minat anak-anak muda. Kalau boleh kerajaan negeri sendiri bawa ke tengah-tengah masyarakat,” katanya.

Satu hal lagi di bandar Maran terdapat padang golf yang mulai menarik minat pelancong luar untuk bermain di situ. Sofian bercerita, beliau pernah menemui seorang usahawan Jepun iaitu presiden syarikat Isuzu bermain golf di situ.

“Pernah saya cadangkan kepada beliau supaya padang golf itu dijadikan sebagai kawasan angkat Isuzu supaya menarik minat orang luar khususnya dari Jepun. Dia berminat tapi setakat ini belum bermula. Itu juga satu usaha menarik pelabur sekali gus jadi peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.”

No comments:

Post a Comment