Tuesday, January 8, 2019

Wujud desakan PAS bertanding di Cameron Highlands

KUANTAN: PAS Pahang mengakui wujudnya desakan daripada akar umbi parti itu di negeri ini yang mahukan wakilnya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari depan.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, berkata desakan itu timbul selepas mengambil kira pelbagai faktor serta sentimen politik semasa seperti kontroversi insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, November lalu.


“Kalau dikaji sekarang ini Pakatan Harapan (PH) sudah tentu akan meletakkan calon India dan Barisan Nasional (BN) juga akan mempertaruhkan calon daripada parti MIC (mewakili kaum India).

“Desakan datang selepas melihat isu kuil di Selangor yang mana akan menyebabkan undi orang Melayu berbelah bahagi untuk mengundi dua calon berkenaan, di situ timbulnya desakan mahukan PAS bertanding,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur berkata, PAS Pahang akur dengan keputusan dibuat kepemimpinan parti pada 19 Disember lalu untuk tidak meletakkan calon bagi menghadapi PRK berkenaan.

“Kita akur dan saya pun berpendapat ada beberapa faktor yang sudah kita pertimbangkan dengan sewajarnya untuk tidak bertanding. Jika ada desakan kita tidak perlu tunduk.

“Saya percaya keputusan diambil PAS Pusat bukan untuk memberi laluan kepada UMNO dan BN sebaliknya atas kajian melihat peluang PAS untuk menang amat sukar,” katanya.

Sementara itu, Rosli berkata sehingga kini PAS Pahang belum menerima sebarang arahan untuk terbabit secara langsung membantu kempen PRK di Cameron Highlands termasuk untuk membantu calon BN atau PH.

“Ia akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat sama ada kita akan terbabit atau tidak. Keputusan sama ada untuk bantu kempen calon PH atau BN juga belum dibuat...mereka akan mesyuarat dahulu,” katanya.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh, pada PRU-14 selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC, menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, M Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan keputusan PRU-14 untuk kerusi itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


~Bharian Online

No comments:

Post a Comment