Wednesday, January 9, 2019

Ahli PAS wajib faham perjuangan

Oleh: MUHAMMAD HADI 

KANGAR: Penglibatan dalam PAS mestilah didasari dengan kefahaman yang jelas berkaitan aqidah dan perjuangan hasil daripada pentarbiyahan yang diikuti, demikian ingatan yang disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Menurutnya, dengan kefahaman (ilmu), seseorang ahli dapat melaksanakan tugasnya dengan baik serta penuh keikhlasan hasil kesedaran yang lahir daripada kefahaman tersebut.

Faktor kefahaman juga katanya membantu melancarkan lagi gerak kerja jemaah, mengukuhkan kesatuan serta menambah keseronokan dalam bekerja.

“Apabila kita faham tentang perjuangan kita ini maka sudah tentulah di sana kita akan rasa seronok untuk bekerja.

“Apabila faham, rasa seronok untuk hadir ke program parti, rasa seronok untuk bekerja, kerana apa, kerana adanya kefahaman.

“Sebab itulah dalam hal seperti ini, kita tengok bagaimana kefahaman ini membantu kepada kelicinan dalam gerak kerja parti kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Liqa’ Fikri PAS Perlis yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama dalam program berkenaan, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hj. Hashim Jasin dan Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga ADUN Sanglang, YB Mohd. Shukri Ramli.

Memetik kata-kata Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau menjelaskan sebarang amal tanpa diasaskan dengan ilmu boleh mendedahkan kepada kerosakan berbanding kebaikan.

Ini kerana ujarnya, sesuatu amal atau gerak kerja yang dilakukan dikhuatiri menyalahi daripada cara yang sepatutnya kerana dilakukan tanpa pengetahuan yang sahih.

“Ertinya nak sebut, kalau kita tak ada ilmu, mafsadah itu lebih banyak berbanding maslahat (yakni) akan menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding kebaikan,” katanya.

 https://berita.pas.org.my/ahli-pas-wajib-miliki-kefahaman-dalam-berjuang/

No comments:

Post a Comment