Monday, February 17, 2020

Konvoi Penyatuan Ummah serah sumbangan kepada Tahfiz Al-Banna

Ustaz Wahid menyerahkan wang sumbangan kepada Ustaz Ustaz Afiq
Kelab Konvoi Penyatuan Ummah (KKPU) Temerloh sekali lagi melakukan aktiviti amal dengan menyerahkan sumbangan kepada Seri Tahfiz Al-Banna Bandar Tun Razak Jengka, semalam.

Diketuai Pengerusinya Ustaz Wahid Ghafar Ibrahim al-Hafiz, kumpulan bermotor tersebut telah menyerahkan sumbangan kepada Ustaz Afiq Roslan yang mewakili pusat pendidikan tersebut yang terbakar bulan lalu.


Sumbangan berjumlah RM2,200 dikutip daripada kalangan ahli.

KKPU mempunyai keahlian seramai 200 orang dari Kampung Teluk Ira, Teluk Mengkuang, Berhala Gantang dan Paya Luas yang sering berkonvoi sambil menjalankan aktiviti kebajikan dan dakwah.

Kelab yang berusia kira-kira dua tahun ini sebelum ini berkonvoi ke himpunan bantahan ICERD Kuala Lumpur, ceramah Penyatuan Ummah Kuantan, PRK Rantau, konvoi kebajikan ke Kampung Gusai Taman Negara dan PRK Tanjung Piai.

Mereka juga akan berkonvoi ke Haatyai selepas ini.

Seri Tahfiz Al-Banna ditimpa musibah kebakaran pada 18 Januari lalu kira-kira jam 9.20 malam ketika semua pelajar sudah berada di asrama yang terletak kira-kira 50 meter dari situ.

Pihak bomba yang sampai kira-kira dalam tempoh empat minit, mengsyaki musibah berpunca daripada suis utama yang gagal berfungsi dengan baik.

Kerugian ditaksirkan berjumlah RM328  ribu termasuk peralatan elektronik.

Bangunan Tahfiz Al Banna mulai dibina pada 2013 di atas tanah sewa beli hasil daripada sumbangan orang ramai berjumlah RM260  ribu.

Sessi pembelajaran bermula pada 2015.

Pada masa ini terdapat 10 kelas pengajian daripada darjah satu sehingga enam dengan tiga aliran iaitu Tahfiz, Kafa dan KSSR.


Jumlah pelajar pada masa ini seramai 173 orang dengan 33 orang kakitangan.

Pihak tahfiz dinasihatkan tidak lagi menggunakan bangunan kelas yang terbakar. Justeru bangunan asrama terpaksa diubahsuai dengan kos sekitar RM500 ribu.

Namun ia masih jauh daripada mencukupi.

Justeru orang ramai yang memiliki sedikit  kelapangan, bolehlah menyumbang tanpa mengira berapa jumlahnya untuk menyemai  saham akhirat.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5561 4101 9726 (Seri Tahfiz Al Banna). Pengesahan boleh dibuat dengan menghubungi 014 807 1036 (Kamaruzaman).

No comments:

Post a Comment