Oleh ABDUL MUEIN ABADI
1. Dilaporkan bahawa Dr. Mohamed Morsi – Presiden Mesir
yang sah dari Ikhwan Muslimin yang digulingkan oleh tentera pro-Israel pimpinan
al-Sisi pada 2013 – telah syahid meninggalkan kita.
2. Beliau dilaporkan rebah dan pengsan sewaktu sesi
perbicaraan di mahkamah dan disahkan meninggal dunia pada usia 67 tahun.
3. Sebelum ini banyak pemerhati antarabangsa
mempersoalkan layanan ke atas beliau. Dr. Morsi dilayan dengan kejam di penjara
Tora yang digelar penjara ‘Kala Jengking’ – malah hingga ke tahap di mana
sebuah panel yang dinamakan Detention Review Panel (DRP) yang turut dianggotai
para peguam dan ahli parlimen Britain mengecam kaedah tahanan ini yang dicela
sebagai ‘di bawah tahap yang sepatutnya berdasarkan undang-undang
antarabangsa’.
4. Melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), Dr.
Morsi mengetuai Jemaah Ikhwan Muslimin memenangi pilihan raya presiden pada Jun
2012. Kerajaan Dr. Morsi dituduh hanya melantik anggota Ikhwan yang merupakan
ahli politik FJP sahaja dalam kerajaan sedangkan sebenarnya Dr. Morsi telah
melantik tiga orang wanita dan dua orang ahli politik Kristian ke jawatan utama
pada Ogos 2012.
5. Ramai pihak menuduh kononnya Dr. Morsi tergesa-gesa
dalam cubaan mereformasi angkatan tentera Mesir – contohnya tindakan beliau
melucutkan kedudukan Panglima Mohamed Hussein Tantawi dan Leftenan Jeneral Sami
Hafez Anan serta memecat Pengarah Perisikan Murad Muwafi.
6. Namun pada hakikatnya Dr. Morsi telah berusaha
mengimbangi tuntutan tentera – langkah sama yang dilakukan Erdogan di Turki –
termasuklah memberi pelbagai kelebihan kepada belanjawan dan syarikat milik
tentera. Contohnya ialah pengecualian pemotongan subsidi minyak, imuniti
daripada semakan dan kawalan belanjawan, dan juga autonomi sistem buruh yang
diamalkan syarikat milik tentera Mesir.
7. Malah, tentera Mesir melalui SCAF juga menerima
beberapa keutamaan dalam projek kerajaan seperti projek automotif Al-Nasr
Automotive Manufacturing Company (NASCO) yang diserahkan kepada Kementerian
Pengeluaran Pertahanan dan juga projek tablet ala-iPad Mesir, Inar yang diberi
kepada Benha Electronics Company (Benha) yang sebahagiannya juga milik
Kementerian Pengeluaran Pertahanan Mesir.
8. Kerajaan FJP pimpinan Dr. Morsi juga bertindak
menghentikan rancangan penswastaan besar-besaran aset kerajaan – termasuklah
syarikat-syarikat milik tentera Mesir. Selain itu, Dr. Morsi turut memberikan
posisi yang tinggi kepada para pegawai tentera di Autoriti Terusan Suez,
Pertubuhan Arab untuk Perindustrian, dan juga kedudukan di Kementerian
Pertahanan – di samping berjanji mewujudkan kehadiran tentera Mesir di Sinai
dan juga mempelbagaikan sumber persenjataan asing dan latihan buat tentera
Mesir.
9. Walau bagaimanapun, kerajaan Dr. Morsi juga
mengusahakan pengurangan monopoli tentera dalam projek berskala besar dan berimpak
tinggi Mesir seperti dalam kes Projek Pembangunan Koridor Terusan Suez.
Rancangan Dr. Morsi untuk menjadikan Terusan Suez sebagai hab logistik dan
pusat pembuatan barangan berat global ini tentulah menarik firma-firma
berkaitan tentera yang dominan di Mesir seperti kilang pembuatan menara, kotak
gear, dan juga bilah fiberglass yang digunakan dalam turbin angin.
10. Namun begitu, kerajaan Dr. Morsi bertindak
meletakkan posisi pembuatan keputusan tertinggi projek gergasi ini di tangan
Timbalan Perdana Menteri yang melapor secara terus kepada beliau, sekali gus
mengetepikan kedudukan dominan tentera Mesir. Langkah inilah sebenarnya yang
membawa kepada rampasan kuasa tentera menjatuhkan kerajaan Dr. Morsi.
11. Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir menjadi ancaman
seterusnya yang berusaha menggugat kerajaan Dr. Morsi dahulu. Contoh yang
paling nyata apabila ia bertindak membubarkan Dewan Perwakilan Rakyat yang
dipilih rakyat pada Jun 2012 – sejurus sebelum Dr. Morsi memenangi pilihan raya
Presiden dalam bulan yang sama. Pembubaran ini susulan kejayaan Ikhwan Muslimin
melalui parti FJP menguasai majoriti kerusi parlimen pada waktu itu.
Kerajaan Dr. Morsi juga difitnah cuba menjadi diktator
semata-mata kerana mengusahakan pemusatan kuasa eksekutif di tangan Presiden.
Hakikat sebenarnya ialah langkah ini terpaksa diambil bagi melindungi proses
penggubalan Perlembagaan Mesir agar selari dengan keseimbangan antara hak asasi
manusia dan Syariah. Langkah ini jelas bersifat pencegahan kerana kuasa
eksekutif yang kuat diperlukan untuk melindungi Perlembagaan daripada disabotaj
para hakim pro-bekas diktator, Hosni Mubarak yang jelas menguasai Mahkamah
Tinggi Perlembagaan Mesir.
13. Akibat pakatan tentera Mesir dengan firma-firma gergasi
(yang sengaja menjahanamkan bekalan tenaga dan keperluan asas rakyat selepas
kemenangan FJP pimpinan Dr. Morsi) serta media (seperti Nilesat yang menguasai
satelit strategik dalam menyiarkan berita palsu dan fitnah), emosi sebahagian
rakyat Mesir telah dibakar untuk sekali lagi berhimpun – kali ini memberi
tekanan ke atas kerajaan Morsi agar meletak jawatan.
14. Sejarah menjadi saksi betapa akhirnya Dr. Morsi
telah ditahan dan digulingkan oleh tentera Mesir di bawah al-Sisi – yang hari
ini telah membawa kerosakan dahsyat ke atas kehidupan rakyat Mesir dan juga
sistem politik mereka akibat ketiadaan ilmu pentadbiran dan juga kerakusan
membolot hasil negara ke tangan kroni tentera.
15. Campur tangan asing juga jelas menjadi faktor besar
dalam konteks politik Mesir ini – negara seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE)
dikesan menyalurkan dana berulang kali kepada para jeneral tentera Mesir dalam
merencana gerakan Tamarroud bagi menjatuhkan kerajaan FJP Dr. Morsi. Arab Saudi
juga secara terbuka dinamakan sebagai antara perancang utama gerakan rampasan
kuasa tentera ini dengan kerjasama erat Jeneral al-Sisi yang ketika itu
merupakan Menteri Pertahanan.
16. Tidak menghairankan sama sekali apabila hanya
seminggu selepas Dr. Morsi dijatuhkan, UAE telah menjanjikan sokongan sebanyak
USD3 bilion manakala Arab Saudi pula menjanjikan USD5 bilion kepada rejim
tentera Mesir pro-Israel pimpinan al-Sisi itu (UAE juga didakwa kerajaan AKP
pimpinan Erdogan sebagai dalang rampasan kuasa Turki pada 2016).
17. Sesungguhnya kita kehilangan seorang tokoh Islamis
yang bukan sahaja menghafal al-Quran dan cemerlang sebagai teknokrat
kejuruteraan dengan PhD dari University
of Southern California, Amerika, serta berpengalaman diiktiraf NASA, tetapi
juga pemimpin Mesir yang mampu menguatkan Ummah dan menggerunkan Zionis. Ayuh
kita doakan semoga Allah gantikan kehilangan ini dengan pemimpin yang tidak
kurang hebatnya.
Ya Allah! Kami sepenuhnya yakin dan percaya, kami ini
milik Allah dan hanya akan kembali kepada-Nya. Duhai Allah! Berilah kami
kebaikan untuk ujian yang kami terima, dan gantilah apa yang hilang dari diri
kami dengan sesuatu yang lebih baik.
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
No comments:
Post a Comment