Thursday, May 30, 2019

Jabatan Amal yang dicemburui lawan

Gambar hiasan
Oleh: DR RIDUAN MOHAMAD NOR

 
Entahlah!, aku juga tidak memahami kegilaan manusia dizaman edan ini. Kebencian tanpa sebab hatta atas alasan yang paling kecil sekali pun. Dicarut, dimaki dan diseranah sesedap mulut dan jari dipapan kekunci. Isunya berakar daripada kes jenayah membakar kereta Mufti Perlis, tanpa perlu melepasi proses siasatan dan penghakiman, pembenci terus memuntahkan kebencian mereka pada Jabatan Amal atau dahulunya kenali sebagai Unit Amal.



RBA dan juga macai terus galak menyerang dan menuduh tanpa bukti, meminta kerajaan mengharamkan JAM. Mereka menista dan melabel dengan galak sehingga aku merasa sedih, mengapa hodohnya perut manusia. Walhal reputasi Amal sangat cemerlang sehingga diiktiraf oleh pelbagai agensi kerajaan dalam usaha membantu manusia dan kemanusiaan. Politik itu juga jika dimasuki dengan pintu yang salah, maka natijahnya cukup hancing dan memualkan. Itulah yang aku perhatikan pada sebahagian aktivis dakwah (dulunya gemar meratib rukun baiah, akhlak Islam) yang dulunya kelihatan sopan dan warak  namun bertukar watak seperti serigala gila bila berada dimedan siasah. Mereka penyokong tegar harbi yang secara terangan menentang apa sahaja citra Islami.

Jika anda memulakan langkah dalam jemaah bersama Dewan Pemuda, maka Unit Amal adalah segmen yang wajib disertai. Dalam organisasi ini, kita akan diajar berkerja dan mentaati arahan serta disiplin berjemaah. Aku juga memulakan langkah pertama dalam harakatul ummah ini melalui penglibatan dalam Unit Amal. Unit Amal Lembah Pantai, semuanya bermula di sini. Cinta dan pengorbanan.

Aku menoleh kiri dan kanan pada anak-anak muda yang berdesakan mengiringi Tuan Guru Haji Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS yang juga ahli Parlimen Marang. Sosok ini seperti tarikan magnet kepada orang ramai terutama anak muda yang berfikrah Islam.

Senario ini pada tahun 1992, saat aku masih menyandang gelaran mahasiswa Universiti Malaya, masa terluang mengikuti Unit Amal Lembah Pantai yang dipimpin oleh Haji Uzir Ahmad. Seorang kontraktor lanskap lulusan UiTM berjanggut panjang. Haji Uzir berasal dari Perak dan menjadi jemaah tetap Masjid Ar-Rahman.

Tidak ramai anak-anak kampus Universiti Malaya yang terlibat dengan Unit Amal kerana gerakan pelajar lebih mempunyai tarikan pesona berbanding gerakan kepermudaan di Kawasan Lembah Pantai.

Pada masa itu, Unit Amal masih lagi begitu baru di medan masyarakat, walaupun Pemuda PAS mempunyai gerakan kepanduan mereka sendiri semenjak era dekad 1960an dan 1970an.

Aku teringat almarhum Ustaz Hasan Shukri yang menceritakan bagaimana gerakan pemuda Syuhada di zamannya yang mengadakan mukhaiyam, aktiviti berkawad, juga aktiviti seni silat. Apatah lagi pemuda UMNO yang terkenal dengan pemuda tahan alasak, mengganggu aktiviti yang diadakan oleh PAS.

Kewujudan gerakan kepanduan Pemuda PAS ini dibuktikan dengan gambar-gambar kawad dan perbarisan setiap kali majlis besar yang diadakan oleh PAS.

Kewujudan gerakan kepanduan berteraskan khidmat kebajikan dan sukarela bagi gerakan Islam, bukanlah sesuatu yang baru atau hanya muncul di negara ini.

Gerakan fenomenal dunia seperti Ikhwanul Muslimin, jauh lebih awal mempunyai sayap kepanduan Syabab Ikhwan (Abdul Muiz: 2001). Begitu juga Jamiat Islami di belahan sub kontinen, mempunyai gerakan kepanduan yang berkhidmat untuk membantu masyarakat dan juga sayap gerakan yang penting.

Di Indonesia pula, Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia), mempunyai gerakan kepanduan yang menghimpunkan ramai anak muda, sehinggalah wadah politik Islam ini diharamkan oleh Soekarno, akhirnya memaksa sebahagian aktivis mengangkat senjata.

Unit Amal mengorak langkah menjuarai bidang kebajikan, membantu program-program PAS di semua peringkat, menghimpunkan anak muda yang cenderung dalam bidang kepanduan (pengakap), menarik anak muda kepada fikrah perjuangan Islam bahkan terlibat dengan misi-misi bantuan di seluruh dunia.

Bukan sedikit ujian melanda badan sukarela ini, termasuk cuba mengaitkan mereka dengan tujuan ketenteraan, namun Unit Amal membuktikan mereka hadir di tengah masyarakat untuk berbakti dan berbudi.

Apabila negara dilanda musibah banjir, mereka 'beruniform merah' ini berada di barisan hadapan, jauh lebih awal daripada agensi kerajaan sendiri.

Kelompok relawan berbaju merah ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan masyarakat, mengikis imej parti ekslusif pak lebai dan agamawan. Unit Amal dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang keanggotaan, daripada buruh sehinggalah ahli akademik, usahawan, profesional muda.

Kepelbagaian latar belakang ini merencahkan Unit Amal menjadi pasukan yang kuat, disegani malah dihormati oleh pihak polis sendiri. Aku secara peribadi menemui pegawai-pegawai kanan polis dan mereka memuji Unit Amal berkerja tanpa mengharapkan habuan duniawi, berpanas terik serta bermandi hujan.

Mereka berkerja tanpa upah, mampu diarah, berdisiplin tinggi, menjaga reputasi sebagai barisan hadapan jemaah Islam, berembun dan berpanasan untuk program PAS dan masyarakat.

Negara ini tidak mampu berbohong tentang asas dan kepakaran Unit Amal, mereka mengawal peserta-peserta bantahan awam daripada bertindak liar, menjaga keselamatan peserta dan juga mendisiplinkan para demonstran.

Unit Amal membantu pihak keselamatan, bomba dan penyelamat jika berlaku kes kemalangan, hilang di hutan atau sungai, bencana kebakaran besar, malah turut menjadi aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah Islam. Unit ini dikenali sebagai kadet amal serta dilatih daripada awal untuk menjadi aktivis yang berorientasikan khidmat masyarakat.


(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat)

No comments:

Post a Comment