Oleh : DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Gambang Pahang riuh geger dengan suara perbahasan
anak-anak muda yang datang daripada seluruh negara, menghadiri Muktamar Dewan
Pemuda PAS Malaysia kali ke-60. Dewan muktamar yang besar, selesa dengan sistem
audio yang canggih menambah kelancaran muktamar yang juga memancing pesona
pelbagai pihak media. Saya secara peribadi merasakan terdapat jurang generasi
dengan perwakilan kerana jarak umur kami yang semakin melebar.
Sebagian besar
yang ditamrinkan oleh program tajnid peringkat kampus dan perkaderan di
peringkat pemuda kawasan. Menjadi tenaga pengisi amal tarbawi lebih dua dekad
yang lepas memberikan saya peluang untuk bertemu dengan ramai anak-anak muda
bersemangat.
Tak kurang generasi pembinaan ini yang gugur di jalan
dakwah bahkan mengambil sikap menikam jamaah dan pimpinan. Teringat penulis
memasuki Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di Markas Tarbiah Taman Melewar pada
tahun 1996. Mewakili Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai, merasa kerdil melihat
perbahasan pembahas seperti Ustaz Fauzi Husein (Kedah), Aris Awang (Kedah),
arwah Mazlan Ibrahim (Kelantan), dan
lain-lain pembahas. Taman Melewar menjadi padat dan macet, di kawasan kebun
rambutan berhadapan dengan rumah almarhum Ustaz Hasan Shukri juga meriah dengan
pelbagai khemah. Khemah panitia masakan, khemah Unit Amal dan lain- lain.
Masjid surau dalam radius kurang lima kilometer
daripada markas Tarbiah menjadi meriah kerana itulah "hotel"
sebahagian pemerhati,bahkan perwakilan. Masjid Saidina Ali, masjid ar Rahimah,
Masjid As Sharif, Surau At Tarbiah, Surau Al Falah, Surau Ar Rashidin, Masjid
Batu 6 Gombak serta puluhan premis ibadah yang lain, luar biasa meriah.
Pembukaan Muktamar Dewan Pemuda dengan perbarisan Unit Amal dengan uniform kelabu ala polis Bangladesh
mencuit perhatian ramai. Otai-otai Unit Amal seperti Haji Jamaludin Elias,
Arwah Haji Ali, Ustaz Jamsari, Ustaz Masrizi, Azmi Anuar dan lain-lain tokoh Amal. Sebahagian mereka
juga telah kembali ke negeri abadi. Muktamar Dewan Pemuda mempunyai sejarahnya
yang tersendiri, bahkan Muktamar Dewan Pemuda merintis banyak perubahan kepada
harakatul ummah ini.
Muktamar Dewan Pemuda semenjak keberadaannya di medan
siasah dan dakwah negara ini sentiasa membuncah energi, merubah lanskap politik
dalaman PAS dan menjadi penanda aras akan keberhasilan PAS dimedan operasional.
Dewan Pemuda bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam ditubuhkan pada tahun
1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi. Ramai kalangan aktivisnya pada dekad
50an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz
Yunus Yatimi dan lain-lain nama besar dalam perjuangan.
Dewan Pemuda antara yang mengusahakan supaya PAS
dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr
Burhanudin al Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956,mengusahakan agar Dr
Burhanudin menjadi tonggak utama PAS.
Tokoh besar yang bergraduat daripada Universiti Aligagh India ini telah berjaya
membawa PAS memenangi negeri Terengganu dan Kelantan pada Pilihanraya tahun
1959.
Dewan Pemuda PAS Pusat menerjang badai yang bukan
kepalang dalam dekad 1960an dengan kewujudan pemuda tahan lasak UMNO. Program
dan pemimpin PAS diganasi anak-anak muda muda UMNO, sehingga pemuda PAS
merespon dengan gerakan Pemuda Syuhada. Ketua Pemuda PAS Pusat, Abdul Samad Gul
Mianji mati ditetak dengan kapak kecil di tanah serendah sekebun bunga. Haruman
darah inilah yang membugar semangat anak-anak muda PAS disepanjang zaman.
Dewan Pemuda dalam dekad 1970an menjadi rakan kongsi
strategik dalam pemuafakatan politik, dimana terlantiknya Ketua Dewan pemuda
PAS Pusat saat itu, Dato Mustapha Ali sebagai Timbalan Menteri. ABIM dalam
dekad itu sebagai rakan simbiosis yang akrab dengan Dewan Pemuda PAS, mencetak
kader-kader dakwah.
Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di
Madrasah Masriyyah Bukit Mertajam pada
tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama. Usul penting inilah yang
membentuk orientasi perjuangan PAS selama berdekad -dekad selepas itu. Pemuda
PAS telah melangkah gagah dipelbagai sektor, mereka memulakan rangkaian
jaringan pendidikan PAS . Bermula dengan pendidikan prasekolah PASTI, merambah
kepada SRITI, memotori pendidikan menengah Islam dan juga peringkat kolej
Universiti yang disempurnakan oleh Dewan Ulama.
Gerakerja kebajikan dan kemasyarakatan secara
munazzomah dicetuskan oleh Dewan Pemuda dengan munculnya Unit Amal yang
kemudiannya dijenamakan sebagai Jabatan Amal. Pelbagai jaringan sivil, gerakan
swadaya masyarakat digerakkan oleh Dewan Pemuda, yang akhirnya PAS dilihat
indah pada kacamata masyarakat awam. Dimana ada bencana dan tragedi dalam dan
luar negara, maka entiti PAS terus berada di barisan paling hadapan sehingga
diyakini publik.
Dewan Pemuda PAS terus menjaring dan merengkuh pelbagai
sektor masyarakat untuk menyertai PAS. Antaranya dengan ARC, menjadikan
kelompok anak-anak muda yang minat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh
harakatul ummah ini. Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang
kompeten dan berdaya saing, malah jentera tajnid Dewan pemuda terus mengilang
kader-kader dakwah yang istiqomah memperjuangkan Islam.
Dewan Pemuda PAS yang menghampiri enam dekad perjuangan
ini telah meninta perjuangan ini dengan catatan emas. Merekalah paling ramai
mendekam dalam tahanan ISA, dibunuh serta dikucilkan oleh jentera regim . Maka
jangan dirosakkan kegemilangan sejarah emas Dewan Pemuda ini dengan pemuda yang
berwatak " kain batik", berada di zon selesa serta manja dibelai.
Teruskan era pengukuhan jamaah ini serta usaha menarik
seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini. Pemuda adalah
benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah. Tulang belulang mereka
adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan
mardhotillah. Demi Islam!
(Penulis ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda
Malaysia, mantan Ketua DPP Wilayah Persekutuan)
No comments:
Post a Comment