Maahad Tahfiz Al Istiqamah (MTIS) merayu sumbangan
orang ramai bagi pembinaan asrama pelajar di maahad tersebut.
Terletak di Kampung Padang Lalang, Jalan Maran, maahad
itu memerlukan kos kira-kira RM190,000 untuk menampung pembinaan asrama tersebut.
Mudirnya, Zarimi Abu Zih memberitahu, pihaknya
menjangkakan asrama terbabit dapat disiapkan pada tahun depan.
Menurutnya, kewujudan asrama itu dapat menampung hingga
60 pelajar dan ia melibatkan fasa satu.
"Apabila asrama ini siap, kita boleh menambahkan
jumlah pelajar kerana buat masa ini kita hanya boleh menerima 28 pelajar
sahaja.
"Kita turut merancang untuk penambahan jumlah
pelajar antara 30 atau 40 orang bagi sesi pembelajaran 2020 nanti,"
katanya lagi.
Maahad yang mula beroperasi pada tahun lalu terdiri 18
pelajar lelaki dan 10 perempuan berusia 14 tahun dan memiliki 15 tenaga
pengajar iaitu enam guru tetap dan sembilan separuh masa.
Sementara itu, Zarimi turut memberitahu dua pelajar
MTIS berjaya menjadi juara Majlis Ujian Kelayakan Tilawah dan Hafazan Al Quran
Tenaga Nasional Berhad (TNB) Peringkat Negeri Pahang 2018 di Uniten, Muadzam
Shah, kelmarin.
Dengan kemenangan tersebut, Muhammad Aqasya Zulkelfe
dan Hafsah Mohd Saiful, masing-masing berusia 14 tahun bakal mewakili Pahang
pada Majlis Ujian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Zon Pantai Timur di
Terengganu pada Ogos ini.
Menurutnya, sejuta penghargaan dan tahniah kepada semua
tenaga pengajar, ibu bapa dan semua yang telah banyak menyokong maahad
tersebut.
Orang ramai dan mana-mana pihak yang ingin menghulurkan
sumbangan boleh menyalurkan terus ke dalam akaun Maybank (556057511595) ataupun
CIMB (8602558450) di bawah nama Akademi Al Istiqamah ataupun hubungi talian
0199610849 untuk sebarang pertanyaan lanjut.RM190,000 kos diperlukan bina
asrama.